Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 23 Oktober 2017

Projek Perumahan Di Atas Tanah Rata Bukannya Cerun Kata Timbalan Ketua Menteri Penang.

Tapak pembinaan sebenarnya di atas tanah rata dan bukannya di lereng bukit. Demikian penjelasan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy kepada pihak media ketika ditanyakan oleh wartawan dari portal Free Malaysia Today hari ini.

“Dakwaan pembangunan lereng bukit punca tragedi sebenarnya tidak betul. Tapak pembinaan itu bukan di atas bukit tapi tanah rata. 

“Persoalan sekarang ini sama ada jurutera perunding mengikut kaedah yang betul dalam memastikan cerun berdekatan dalam keadaan selamat. 

“Pulau Pinang sebenarnya tidak bertolak ansur dengan projek lereng bukit. Projek melepasi 76 meter tidak dibenarkan sama sekali. Di tempat lain seperti Kuala Lumpur, ada tolak ansur sehingga 300 meter,” katanya ketika diminta memberikan respon tentang insiden tanah runtuh di Lorong Lembah Permai, Tanjung Bungah yang mengorbankan nyawa 11 pekerja syarikat pembinaan. 

Kenyataan itu juga bertujuan untuk menafikan dakwaan Penang Forum yang mengatakan projek tersebut dibina di kawasan cerun.




Dalam pada itu, Ramasamy juga meluahkan kekecewaan kerana liputan media yang keterlaluan atas insiden tersebut. 

“Liputan media ke atas runtuhan tanjakan di jambatan kedua dan struktur konkrit bangunan Umno tidak seberapa. 

“Adakah begini caranya sesetengah media membongkar kebenaran runtuhan cerun di Tanjung Bungah? 

“Menyerang kerajaan negeri tanpa sebab yang betul bukan caranya untuk memberi maklumat kepada masyarakat. Sementara kerajaan negeri terkesan dengan tragedi itu, kami tidak akan melepaskan tanggungjawab kami kepada rakyat Pulau Pinang,” katanya. 

Dalam pada itu, ketua menteri berkata kontraktor bangunan dan perunding pakar projek itu akan disenaraikan hitamkan buat masa ini oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sehingga suruhanjaya membersihkan nama mereka.

“Walaupun kita tidak mahu berspekulasi, kecuaian profesional, kelemahan pemantauan dan ketakpatuhan prosedur keselamatan pekerjaan disyaki berlaku. 

“Ada sesuatu yang tidak betul sudah berlaku di tapak pembinaan itu kerana tiada hujan turun dalam beberapa hari kebelakangan ini yang boleh menyebabkan cerun runtuh. 

“Pemaju tidak akan dibenarkan memulakan kerja membina projek perumahan mampu milik sehingga suruhanjaya selesai menjalankan siasatan dan mengemukakan penemuan mereka,” kata Guan Eng, memetik laporan Free Malaysia Today hari ini. 

Beliau berkata MBPP sudah diarahkan untuk memeriksa semua tapak pembinaan, terutamanya berkaitan cerun bagi memastikan garis panduan keselamatan dipatuhi.

“Saya mahu mengesyorkan suruhanjaya siasatan diberi kuasa untuk menyiasat semua perkara sampingan yang berkaitan dengan projek itu,” kata Lim.

Dalam perkembangan yang berkaitan, tinjauan drone yang dilakukan oleh The Star mengesahkan tapak pembinaan tersebut sangat hampir dengan cerun yang sedang diratakan malahan sangat berdekatan dengan tapak kuari yang masih lagi aktif. 


Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...