Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 15 Januari 2015

Kelantan Umum Sedia Disiasat Oleh SPRM Isu Pembalakan Punca Banjir - MB Mahu Bincang Punca Banjir Secara Tertutup Utk Elak Rakyat Salah Faham.


Dalam satu laporan yang diterbitkan oleh Utusan memaklumkan bahawa Kerajaan Pas Kelantan sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya badan itu melakukan siasatan berhubung kewujudan aktiviti penerokaan tanah dan pembalakan haram di negeri ini sehingga dikatakan menjadi punca berlakunya ‘bah kuning’.

Utusan dipetik melapor menteri besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya memandang serius pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa mempunyai maklumat terperinci mengenai kegiatan pembalakan haram yang wujud di negeri ini.

“Sila... sila... (siasat), kita sedia ikut saluran undang-undang. Kita di Kelantan bersedia lebih dahulu lagi... bukan 24 jam... tapi 25 jam kita buka. Saya menghormati kenyataan menteri itu (Shahidan) dan kita ambil maklum apa yang dibangkitkan beliau,” katanya kepada sidang media menurut laporan itu.


Pada semalam, Ahmad dilaporkan mengakui aktiviti penerokaan tanah dan pembalakan haram memang wujud di negeri ini berdasarkan maklumat dikumpulkan oleh beliau sendiri termasuk menerusi tinjauan dari udara.

Pengakuan beliau sebagai respon kepada kenyataan Shahidan bahawa kerajaan mempunyai maklumat me­ngenai aktiviti haram berkenaan dan sedia mendedahkan kepada umum nama-nama individu atau penaja yang terlibat termasuk ahli politik.


Mengulas lanjut, Ahmad menegaskan, beliau sebelum ini sekadar mengakui kewujudan penerokaan tanah serta pembalakan haram, namun menafikan kegiatan itu menjadi penyumbang utama kepada bencana banjir baru-baru ini.


“Saya kata ada pencerobohan secara haram di hutan, memang ada. Kita tak boleh nafi tetapi itu bukan sebab utama banjir besar.


“Yang menjadi penyumbang, sebagaimana laporan Jabatan Meteorologi dan Jabatan Perhutanan adalah kerana fenomena hujan terlampau lebat sehingga paras air sungai utama naik secara luar biasa,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Utusan.


Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya isu berkaitan punca bencana tidak disebut secara terbuka menerusi media, sebaliknya dibincangkan mendalam oleh semua pihak dalam mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) bagi mengelak rakyat salah faham dan mengundang persepsi negatif.


“Apabila berbangkit perkara ini, adalah lebih baik kita bincang secara ikhlas dalam MTN, jangan bincang di luar secara terbuka kerana rakyat mungkin tidak faham. Di MTN kita akan kemukakan kajian kita.


“Untuk makluman juga, saya sudah tetapkan tarikh dalam masa terdekat ini untuk panggil semua jabatan atau agensi berkaitan di negeri ini beri taklimat supaya kita dapat butiran jelas mengenai semua perkara,” katanya. 

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...