Rosmah Mansur - TMI |
“Sama ada defendan (Rosmah) mematuhi undang-undang Malaysia atau tidak, contohnya Akta Kastam 1967, adalah satu isu yang perlu diputuskan,” kata Halimeh dalam afidavit yang dilihat oleh The Malaysian Insight.
“Sekiranya defendan gagal mematuhi undang-undang tersebut, barangan kemas itu mungkin tertakluk kepada penyitaan, yang sekali lagi mengganggu hak plaintif terhadap barang kemas itu,” kata Halimeh yang juga pemilik Global Royalty Trading SAL.
Tukang emas itu menyaman Rosmah selepas 44 barangan kemas yang terdiri daripada tiara, kalung berlian, cincin, gelang dan anting-anting yang dihantar kepadanya, disita dalam satu serbuan pihak berkuasa pada Mei.
Setiap barangan itu bernilai antara AS$124,000 dan AS$925,000 dengan nilai keseluruhan AS$14.8 juta (RM60 juta).
Dalam pernyataan tuntutannya, Halimeh berkata barang kemas itu diserahkan kepada Rosmah secara konsainan atas permintaan isteri bekas perdana menteri itu yang mahu menilainya terlebih dulu, dan akan membeli barangan tersebut setelah itu.
Barangan yang dihantar akan disertakan dengan memo penghantaran, menerangkan barang dan harga, bersama dengan terma dan syarat.
Perhiasan itu dihantar dengan tiga kali penghantaran iaitu di Dubai, Singapura dan di kawasan transit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum pintu masuk Jabatan Kastam, kata peguam Halimeh, David Guraputham.
“Ia diambil oleh wakil Rosmah, ini menimbulkan isu mengenai pengisytiharannya, sama ada dia mengisytiharkan barang kepada kastam atau tidak, bagaimana ia berlaku dan apakah ia melanggar mana-mana undang-undang yang perlu ditentukan dalam perbicaraan,” katanya.
Barang kemas itu didakwa ditempah dari butik Halimeh di Knightsbridge, London.
Rosmah, 66, menafikan pembelian barang kemas dari firma milik warga Lubnan itu.
Beliau memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan itu dengan alasan bahawa Halimeh tidak boleh menuntut wang melalui mahkamah sivil tanpa persetujuan peguam negara, memetik undang-undang anti pengubahan wang haram.
Permohonan itu akan dibaca di hadapan Hakim Wong Chee Lin pada 14 Oktober.
Halimeh, yang senarai pelanggannya termasuk selebriti Oprah Winfrey dan Angelina Jolie, mempunyai cawangan di New York, London, Cannes dan Arab Saudi. Sebuah kedainya di Kuala Lumpur sudah ditutup.
Seorang lagi tukang emas, Adi Hasan AlFardan Jewellery yang berpangkalan di Dubai, sedang mencari cara mendapatkan semula tiga barang kemas yang dihantar kepada Rosmah antara Januari dan April tahun ini. Pemilik Adi AlFardan menghantar surat pada Julai ke Bukit Aman untuk mendapatkan kembali barang kemas bernilai lebih AS$5 juta, termasuk dua kalung yang terdiri daripada berpuluh-puluh berlian kuning.
Polis menyerbu premis yang dikaitkan dengan Najib pada Mei, selepas beberapa hari Pakatan Harapan menguasai kerajaan persekutuan dan membentuk kerajaan baharu.
Pihak berkuasa merampas 12,000 barang kemas, 567 beg tangan, 423 jam tangan dan 234 cermin mata hitam. Rampasan itu yang terbesar dalam sejarah Malaysia, dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1.1 bilion. - 3 Oktober 2018.