Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 6 Oktober 2018

Equanimity Mungkin Terjual Akhir Tahun Ini..

The Malaysian Insight | KAPAL persiaran mewah The Equanimity dijangka akan terjual menjelang akhir tahun ini, lapor Malaysiakini.

Ini berikutan Mahkamah Tinggi (Admiralti) di Kuala Lumpur hari ini meluluskan pelantikan broker dan penilai antarabangsa untuk kapal berkenaan, menurut laporan itu.

Pakar undang-undang maritim Sitpah Selvaratnam, yang mewakili kerajaan dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju untuk melantik broker dan penilai.

Dengan ini, proses menjual kapal berkenaan boleh dimulakan, katanya.

“Penilai berpangkalan di United Kingdom boleh memulakan penilaian harga kapal berkenaan yang akan menjadi maklumat sulit, manakala broker boleh mula menerima bidaan.

“Pembeli akan membida dan kita akan memilih pembeli terbaik dan kembali ke mahkamah. Ia adalah pasaran niche, jadi bidaan boleh diuat dan jualan dilakukan dalam tempoh sebulan. Diharapkan kita boleh jual kapal ini menjelang pertengahan November atau pada awal Disember,”
katanya kepada pemberita.

Sitpah juga berkata tiada cabaran yang difailkan oleh ahli perniagaan yang dikehendaki Jho Low yang dikatakan pemilik kapal berkenaan.

Equanimity
Equanimity
Bulan lalu syarikat penilai kapal dalam talian VesselsValue berkata kapal mewah berkenaan mungkin berada di pasaran selama setahun sebelum ia terjual.

Ketua bahagian kapal mewah syarikat berpangkalan di London itu, Sam Tucker berkata proses biasa penjualan kapal akan bermula dengan penjual mendapatkan broker.

Katanya, broker akan memasarkan kapal menerusi pelbagai agensi media, termasuk media cetak dan dalam talian, dan juga menerusi emel.

“Sekiranya pembeli hadir, kemudian proses tinjauan dan rundingan akan bermula,” katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyatakan rancangan kerajaan untuk membuka bidaan untuk kapal mewah yang dinilai pada harga AS$175 juta (RM716 juta) oleh VesselsValue. - 6 Oktober 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...