Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 5 Oktober 2018

Isu Kereta Nasional Ke 3 : "Khazanah Bukan Kerajaan, Mereka Syarikat Yang Bebas Melabur," Kata Mahathir.

BERNAMA | PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad menepis kebimbangan potensi pembabitan SilTerra Malaysia Sdn Bhd dalam projek kereta nasional ketiga.

 
Ini merupakan reaksi beliau terhadap kenyataan Timbalan Presiden MCA Dr Wee Ka Siong yang menyatakan potensi kerjasama anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd dalam projek tersebut akan menimbulkan keraguan terhadap janji kerajaan bahawa dana awam tidak akan digunakan bagi projek berkenaan.

“Khazanah bukan kerajaan, ia adalah sebuah syarikat dan mereka bebas untuk menjalankan perniagaan. Jika ada syarikat dalam Khazanah yang berminat (menyertai projek tersebut), mereka boleh melabur,” kata Dr Mahathir pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, di Kuala Lumpur hari ini.

SilTerra adalah projek kepentingan nasional strategik untuk mempromosikan pengeluaran semikonduktor dan pemangkin bagi pelaburan teknologi tinggi di Malaysia.

Sejak ditubuhkan pada 1995, SilTerra telah menyediakan kepada banyak syarikat reka bentuk dan produk fabless utama dunia merangkumi segmen elektronik pengguna, komunikasi dan pengkomputeran, dan pasaran peranti modal.

Mengenai idea industri Aeroangkasa Asia Timur dan sama ada Malaysia akan menyertainya, Dr Mahathir berkata Malaysia mengalu-alukan pelaburan.

“Kita tidak mempunyai pengetahuan atau kemahiran dalam membuat kapal terbang tetapi kita telahpun membina bahagian-bahagian daripada semua pesawat yang kita terbangkan. 


Bahagian-bahagian itu datang daripada CTRM dan industri-industri lain di Malaysia. Jadi, kita akan menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam perniagaan aeroangkasa,” katanya. - 5 Oktober 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...