Sabtu, 6 Oktober 2018

Kos Sara Hidup B40 Malaysia Naik Berkali Ganda, Kata Bank Dunia.

BERNAMA | KENAIKAN harga makanan dan rumah serta pertumbuhan upah yang tidak menentu di Malaysia telah meningkatkan kos sara hidup kumpulan berpendapatan rendah secara lebih cepat dan beberapa kali ganda berbanding bagi kumpulan berpendapatan pertengahan dan tinggi, menurut Kumpulan Bank Dunia.

Kenaikan Kos Sara Hidup
 
Ketua Pakar Ekonomi dalam Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan, Richard Record berkata jumlah yang tinggi daripada pendapatan isi rumah yang dibelanjakan golongan berpendapatan rendah ke atas makanan dan perumahan telah melonjakkan inflasi kumpulan itu melebihi kadar purata.

“Sekiranya melihat kepada corak penggunaan mereka yang berada di peringkat akhir pengagihan pendapatan, kumpulan ini lebih berbelanja ke atas makanan dan perumahan, oleh itu mereka mengalami kadar inflasi yang lebih tinggi,” katanya semasa taklimat mengenai Perkembangan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik di Kuala Lumpur hari ini.

Pada separuh pertama tahun ini, inflasi teras berada pada 1.4% didorong kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan sifar peratus.

Beliau berkata, pertumbuhan upah yang amat tidak menentu serta sebahagian ekonomi menikmati pertumbuhan upah lebih tinggi berbanding yang lain telah memburukkan lagi situasi itu.

“Pertumbuhan upah secara purata adalah agak sederhana, namun ia amat terpecah-pecah sebagai contoh upah dalam sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan lebih pantas berbanding sektor perkhidmatan.
“Anda boleh lihat mengapa sebahagian besar daripada penduduk mengalami pertumbuhan upah yang rendah, lebih rendah daripada yang ditunjukkan oleh angka dan menghadapi kenaikan kos sara hidup yang lebih tinggi,” katanya.

Pakar Ekonomi Kanan, Kemiskinan dan Ekuiti Dr Kenneth Simler berkata kajian semula bantuan sara hidup isi rumah yang terancang akan mewujudkan satu sistem yang lebih cekap dan berkesan dari segi kos bagi kumpulan isi rumah berpendapatan rendah berbanding mekanisme sebelum ini, Bantuan Rakyat 1Malaysia.

Menurut laporan Bank Dunia, 20% isi rumah rakyat Malaysia, berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan, memperuntukkan hampir 40% daripada bajet mereka untuk makanan dan minuman bukan alkohol.

Ia berkata tekanan kos sara hidup amat ketara di kawasan bandar memandangkan harga makanan dan perumahan meningkat lebih pantas berbanding di kawasan luar bandar. - 5 Oktober 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...