"Pihak kabinet berpendapat bahawa ini tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh agama Islam.
"Sebaliknya kita tahu bahawa ini adalah kes pertama bagi mereka dan biasanya dalam kes pertama kita perlu memberi nasihat dan tidak seterusnya melakukan (hukuman) sebat sehingga diketahui oleh seluruh negara.
"Ini memberi gambaran yang buruk kepada agama Islam," jelas kerajaan dalam kenyataannya hari ini.
Menurut kabinet dalam keadaan tertentu, Islam membolehkan hukuman yang lebih ringan dijatuhkan selain nasihat diberikan kepada tertuduh.
Mahkamah Tinggi Syariah pada 3 September lalu menjatuhkan hukuman sebat terhadap dua wanita yang dipercayai melakukan hubungan sesama jenis.
Hukuman itu yang dijalankan di bilik mahkamah Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu adalah pertama kali berlaku di negara ini, disaksikan lebih 100 orang termasuk pengamal media, keluarga dan peguam syarie.
Hukuman tersebut mendapat reaksi daripada pelbagai pihak - ada yang menyokong dan menentang pelaksanaan undang-undang tersebut.
Menurut kabinet amat penting agama Islam tidak ditunjukkan sebagai agama yang 'bengis, suka menjatuhkan hukuman berat serta mengaibkan orang'.
"Ini bukan cara-cara yang digalakkan oleh agama Islam.
"Ini adalah pendapat kabinet Kerajaan dan kami harap kita berhati-hati dalam mempamerkan Islam sebagai agama yang tidak ada tolak ansur, tidak ada bertimbang rasa.
"Sedangkan kita selalu apabila memulakan sesuatu dengan “Bismillahirrahmanirrahim”, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani tetapi kita tunjuk seolah-seolah dalam Islam ini tidak ada perasaan pemurah sama sekali," jelasnya.
Menteri Undang-undang Datuk Liew Vui Keong sebelum ini berkata kerajaan persekutuan tidak boleh campur tangan dalam soal undang-undang syariah negeri walaupun dianggap tidak selari dengan hak asasi manusia. - 6 September 2018.