Khamis, 6 September 2018

SPRM Siasat Hishammudin Hussien Berhubung Peranan Bawa Masuk AS$12juta.

Malaysiakini | Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengambil keterangan bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung kemungkinan memainkan peranan dalam membawa masuk wang berjumlah AS$12 juta ke negara ini.

 
Sumber yang rapat dengan siasatan itu berkata SPRM menyiasat sama ada pemimpin Umno itu memainkan peranan untuk mengaturkan pertemuan yang didakwa berlaku di Timur Tengah antara bekas ketua pengarah risikan, Datuk Hasanah Abdul Hamid dan pihak lain.

"Hishammuddin adalah antara beberapa saksi yang dikehendaki penyiasat SPRM bagi membantu siasatan berhubung pertemuan antara Hasanah dan satu lagi pihak di negara Timur Tengah.

"Ini juga sebab yang diberikan oleh SPRM kepada Mahkamah Majistret Putrajaya apabila mereka meminta untuk melanjutkan perintah reman terhadap Hasanah pada Ahad,"
kata sumber itu kepada Malaysiakini hari ini.

Pegawai tinggi penyiasat yang enggan namanya didedahkan itu merujuk kepada Hasanah, yang merupakan bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO).

Hasanah sebelum ini ditahan reman oleh SPRM selama enam hari untuk membantu siasatan berhubung wang berkenaan.

Sumber bagaimanapun tidak mendedahkan bilakah masa mesyuarat itu berlangsung.

Satu lagi sumber berkata antara perkara yang disiasat oleh pegawai SPRM ialah mengenai bagaimana sejumlah besar wang tunai berjaya diseludup ke Malaysia beberapa bulan yang lalu.

"Daripada maklumat yang diterima oleh SPRM, terdapat satu perjanjian yang dibuat dengan pihak tertentu di Timur Tengah untuk membawa wang tunai itu ke Malaysia.

"Pegawai penyiasat ingin menyoal Hishammuddin untuk mengetahui sekiranya dia terlibat dalam mengaturkan pertemuan ini"

Sumber berkata, Hishammuddin yang juga bekas timbalan presiden Umno, menghabiskan masa selama dua jam di ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberikan keterangannya semalam.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani mengesahkan pihak berkuasa itu telah mengambil kenyataan Hishammuddin dan bekas menteri itu memberikan kerjasamanya sepenuhnya.

Bagaimanapun, Simi enggan mengulas lanjut mengenai kes itu.

Minggu lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki memberitahu sidang akhbar bahawa mereka telah merampas sejumlah wang berjumlah AS$ 6.3 juta berhubung siasatan terhadap Hasanah dan lapan yang lain termasuk tujuh pegawai MEIO dan seorang ahli perniagaan. - 6 September 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...