Sabtu, 8 September 2018

2 Aktivis Ditahan Kerana Berdemo & Ini Penjelasan Maszlee Malek.

KENYATAAN MEDIA YB MENTERI PENDIDIKAN 

KENYATAAN BERHUBUNG PROTES DAN PENAHANAN DUA ORANG MAHASISWA

BERHUBUNG insiden protes dan penahanan dua orang mahasiswa oleh polis awal pagi tadi, saya amat prihatin dengan kebebasan bersuara untuk menzahirkan pandangan dan pendirian para mahasiswa atau mana-mana individu sebagaimana dijanjikan oleh Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.



Seperti mana telah saya sebutkan semasa sidang media di Kuching pada 7 September 2018, saya menghargai dan menghormati pandangan semua pihak dalam isu pelantikan saya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Atas prinsip itu, saya yang kini berada di Sarawak sempena lawatan kerja selama tiga hari telah mengarahkan pegawai-pegawai saya membenarkan mereka yang memprotes di Blok E8, Parcel E Putrajaya, yang menempatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), melahirkan suara mereka dengan aman dan memberi layanan yang baik termasuk menyediakan makanan, minuman dan keperluan asas lain.

Pada awalnya saya dimaklumkan kesemua mereka yang terlibat adalah pelajar, tetapi maklumat terperinci menunjukkan sebahagian adalah aktivis dari beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Sepanjang berada di kawasan Blok E8 KPM, kumpulan yang memprotes telah diberi layanan yang baik dan pandangan mereka telah diambil maklum oleh pegawai-pegawai saya.

Saya juga telah mengarahkan Penasihat Khas saya, Encik Wan Saiful Wan Jan sendiri untuk bertemu dengan mereka pada waktu petang dan malam, dan saya memberi jaminan akan bertemu dengan mereka secepat yang mungkin untuk mendengar sendiri pandangan mereka. Sebagai tindakan susulan saya telah meminta pegawai saya untuk mengaturkan masa yang sesuai iaitu pada Rabu ini untuk bertemu dengan kumpulan yang mengadakan protes itu.

Langkah itu diambil memandangkan saya tidak dapat memenuhi permintaan kumpulan yang memprotes yang berkeras mahu bertemu dengan saya secara bersemuka serta-merta, dan serta-merta juga mengikut tuntutan mereka agar meletakkan jawatan sebagai Presiden UIAM. Saya berada di Sarawak untuk lawatan kerja.

Meskipun kami mendengar isu yang dibawa oleh mereka dan memberi jaminan yang saya akan bertemu dengan mereka secepat mungkin, mereka terus duduk di tangga masuk bangunan KPM dan bertegas tidak akan bergerak selagi YB Menteri Pendidikan tidak meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, pada sekitar jam 11 malam, mereka mengambil keputusan bergerak keluar dari kawasan Kementerian Pendidikan dan membentang tikar di hadapan pagar masuk utama Parcel E, yang merupakan lokasi bagi pelbagai kementerian. Mereka berkumpul di atas jalan masuk utama.

Sekitar jam 11.30 malam para pegawai KPM sekali lagi cuba memujuk mereka agar bersurai ataupun kembali ke kawasan KPM kerana pagar utama adalah kawasan awam bagi pelbagai kementerian. Bagaimanapun mereka enggan bersurai dan enggan kembali ke kawasan KPM di mana saya memberi jaminan mereka boleh kekal memprotes dengan aman.

Bagi mengelakkan sebarang kemungkinan, pihak polis juga telah menasihatkan agar mereka tidak menjalankan protes di hadapan pagar utama atas faktor keselamatan.

Setelah mereka enggan bersurai, pihak polis mengambil tindakan menyuraikan protes tersebut sekitar jam 2.00 pagi.

Difahamkan majoriti anggota kumpulan yang memprotes sebenarnya bersetuju untuk bersurai. Hanya dua orang yang enggan dan dua orang ini disoal siasat oleh pihak berkuasa. Meskipun ditahan polis, pegawai-pegawai saya atas sifat kemanusiaan dan mengambil berat akan kebajikan dua orang mahasiswa terus mengadakan perbincangan dengan pihak polis di Putrajaya sehingga 7 pagi tadi agar membebaskan mereka. Mereka akhirnya dibebaskan dengan jaminan awal pagi tadi.

Walaupun kumpulan memprotes itu mendesak agar saya mengikut cakap mereka serta-merta tanpa sebarang kompromi semalam, saya tetap menghormati hak mereka untuk bersuara. Menghormati hak bersuara dan kebebasan bersuara mahasiswa merupakan salah satu daripada lebih 40 inisiatif 100 hari pertama saya menerajui Kementerian Pendidikan.

Sekali lagi saya ingin memberi jaminan bahawa saya amat prihatin dalam soal kebebasan untuk bersuara mahasiswa. Kebebasan bersuara mahasiswa dan autonomi universiti akan terus diperkasakan. Saya akan meneruskan dasar pintu terbuka untuk bertemu dengan pemegang-pemegang taruh demi memartabatkan sistem pendidikan negara.

YB DR MASZLEE MALIK
MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

8 SEPTEMBER 2018

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...