Isnin, 3 September 2018

Selepas Dikritik, Kerajaan Kini Kecualikan SST Untuk Makanan Laut Termasuk Ketam, Kerang, Sotong, Udang Dan Abalon.

Berita Harian | Udang, ketam dan kerang serta lebih 10 makanan laut mewah lain dalam kategori Crustaceans (haiwan laut berkulit keras) dan Molluscs (haiwan berkerang) dikecualikan daripada senarai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus berkuat kuasa serta-merta.


Antara senarai makanan laut lain yang dikecualikan termasuk abalon, udang kara, tiram, sotong, kupang, kekapis, udang Norway, udang laut sejuk dan lala.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng, berkata pengecualian itu dibuat demi membolehkan makanan laut itu dinikmati oleh rakyat berpendapatan sederhana dan rendah tanpa dikenakan sebarang cukai.

Beliau berkata, sebelum ini, ramai yang mempersoalkan kewajaran bahan mentah seperti udang, ketam dan kerang dikenakan SST 10 peratus, justeru pengecualian dilakukan bagi mengelak kekeliruan orang ramai.

“Sebelum ini, makanan laut itu dikenakan cukai jualan pada kadar 10 peratus dan ia dilonggokkan dalam kategori barang makanan mewah lain seperti abalon dan udang kara.

“Saya mengingatkan kepada peniaga supaya tidak mengenakan atau membayar cukai SST 10 peratus kepada makanan berkenaan,”
katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, beliau mendapati makanan laut seperti udang, ketam dan kerang dimasak bersama makanan kegemaran rakyat Malaysia seperti nasi kandar dan char kuey tiaw, justeru bahan mentah berkenaan perlu dikecualikan cukai.

Guan Eng berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan untuk meneliti semula arahan pengecualian itu pada masa depan dan kembali mengenakan cukai SST 10 peratus kepada beberapa makanan laut mewah seperti abalon.

Dalam pada itu, beliau berkata, senarai barangan yang dikenakan SST bersifat dinamik dan organik yang mana kerajaan pada bila-bila masa boleh mengurangkan kadar cukainya daripada 10 peratus kepada lima peratus atau dikecualikan cukai.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Paddy Abdul Halim pada sidang media sama berkata, pihaknya turut memaklumkan bahawa ikan masin atau ikan kering turut dikecualikan daripada cukai SST 10 peratus.

“Kami akui terlepas pandang kerana tidak mengecualikan ikan masin daripada SST 10 peratus. JKDM meminta maaf atas kesilapan ini dan akan mengeluarkan arahan pengecualian seperti yang diarahkan dengan segera.

“Peniaga juga diminta tidak mengutip SST untuk ikan masin,”
katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya sudah mewartakan Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai) 2018 dan Perintah Cukai Jualan (Barang Yang Dikecualikan Daripada Cukai) 2018.

“Justeru, JKDM mengeluarkan ‘Guide on Proposed Sales Tax Rate for Various Goods’ bertarikh 25 Ogos lalu yang dimuat naik ke laman web http://mysst.customs.gov.my.

“Menerusi panduan itu, sebanyak 3,564 barangan disenaraikan bertujuan membantu dan menjadikan rujukan kepada pengguna serta industri,”
katanya.

Paddy berkata, panduan itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan akan digantikan dengan ‘Guide on Salex Tax Rate for Various Goods’ berdasarkan pewartaan perintah dan perundangan. - 3 September 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...