Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 25 Jun 2018

Wartawan Bidas Tindakan Guan Eng Guna Bahasa Cina Sedangkan Manifesto PH Kata Pertahankan BM.

Oleh : Arif Atan
 

Guan Eng hanya membuka ruang untuk kerajaan PH dibelasah.

Padahal, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kerajaan Malaysia sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Guan Eng tidak patut membebankan kerajaan PH dengan penggunaan bahasa Cina dalam kenyataan medianya.

Sudahlah sebelum ini, ramai pemberita bukan Melayu jelas tidak fasih berbahasa kebangsaan sehingga cenderung guna bahasa Inggeris ketika sidang media kerajaan.

Gambar - Arif Atan
Adakah selepas ini, pemberita Cina bebas pula menyoal manakala menteri Cina seperti Guan Eng pula menjawab dalam bahasa Cina di pejabat kementerian mahupun di sidang Parlimen?

Malaysia Baru patut terus maju dari segi urus tadbir yang baik dan tugas kerajaan PH adalah menterjemahkan apa yang dikritik kepada kerajaan BN sebelum ini.

Menteri PH bukan Melayu hentilah menonjolkan diri sebagai Menteri kaum masing-masing. Sebelum ini pun, sebahagian bukan Melayu lebih suka sebut "bahasa Malaysia" walaupun Perlembagaan masih guna "bahasa Melayu".

Jadi, mengapa Guan Eng mahu menonjolkan bahasa Cina pula? Adakah bahasa Cina itu mereka fahamkan juga sebagai "bahasa Malaysia"? Di mana ikhlasnya menyebut "bahasa Malaysia" selepas panggilan "bahasa Melayu" digelapkan. Guan Eng selepas ini jangan marah kalau dilabel rasis, perkauman kerana dia sendiri pencetus semangat perkauman.


Gambar - TTKM
Pada masa sama, mengapa menteri PH lain juga mereka dalam Majlis Penasihat Kerajaan termasuk yang Melayu pun galak menerangkan dasar kerajaan dalam bahasa Inggeris?

Sibuk mahu guna bahasa Cina selepas bahasa Inggeris begitu berleluasa diguna dalam kenyataan media dan urusan rasmi kerajaan sekali gus memperlekeh hal yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Tidakkah sikap Guan Eng ini mencabar Perlembagaan? Tidakkah Guan Eng dan Menteri PH lain lupa diri bahawa rata-rata pegawai kerajaan yang kini terpaksa bekerja dengan mereka sebenarnya jauh lebih bijaksana dan memiliki akal budi setia luhurnya yang tidak berbelah bahagi kepada Malaysia termasuk mengutamakan bahasa kebangsaan?

PH belum pun sampai 100 hari memerintah tapi sikap Guan Eng itu hanya akan mengalih perhatian rakyat daripada isu ekonomi dan memajukan sahsiah supaya kita semua hidup lebih sejahtera kepada hal yang kemudiannya hanya akan membangkitkan sentimen kaum.

Sia-sia, bazir masa dan tenaga sedangkan majoriti masyarakat Cina tiada masalah pun dengan penggunaan bahasa kebangsaan dalam segala urusan kerajaan. Dasar kerajaan juga tidak menafikan penggunaan bahasa lain.

Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan bagi negara Malaysia itu fungsinya menyatukan semua rakyat berbilang kaum apa lagi selepas lebih 60 tahun negara merdeka.

Guan Eng bahkan menteri Melayu yang sibuk bercakap bahasa Inggeris dalam urusan rasmi kerajaan mesti difahamkan tentang makna sebenar mencintai tanah air dengan menjunjung asas-asas Perlembagaan termasuk keutamaan kepada penggunaan bahasa Melayu.

Malaysia bukannya salinan kepada Singapura yang mentakrifkan bahasa rasmi mereka terdiri daripada bahasa Melayu, bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa Inggeris.

Bahkan, komposisi kaum dan nilai sosio-budaya masyarakat Malaysia juga jauh berbeza dengan Singapura yang etnik Melayunya adalah minoriti bahkan ramai daripadanya lidah mereka sudah tergeliat bertutur dalam bahasa Melayu.

Guan Eng dan sebahagian pemimpin PH yang cenderung bercakap tentang keputusan atau dasar baru kerajaan dalam bahasa Inggeris barangkali lupa isyarat jelas daripada keputusan PRU lepas.

Negeri-negeri yang ramai Melayu seperti Kelantan dan Terengganu serta sejumlah besar kawasan Parlimen majoriti Melayu di Kedah bahkan Perak juga kawasan-kawasan kampung Melayu di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor serta kejayaan BN mempertahankan Perlis dan Pahang bukti majoriti pengundi Melayu rata-ratanya bukan penyokong tegar PH.

Ramai pengundi Melayu termasuk yang memberi undi kepada PH juga masih was-was dengan iltizam PH dalam memelihara hal berkaitan Melayu termasuk bahasa Melayu. Tapi, apabila Guan Eng sudah "buat hal isytihar perang", itu hanya menguatkan lagi rasa sangsi mereka kepada PH terutama DAP.

Guan Eng pernah beritahu bahawa dia orang Malaysia bukan menteri Cina sekali gus cukup baik menggambarkan jiwa patriotiknya. Namun, nafsunya kini mahu pula menggunakan bahasa Cina dalam kenyataan medianya hanya menyumbang rasa meluat rakyat malah menjejaskan sokongan kepada DAP dan PH dalam pilihan raya akan datang.

Atau PH memang hanya mahu memerintah sepenggal saja dengan bersikap perkauman dan mencipta jurang bahasa sehingga mengukuhkan kembali prejudis kaum antara satu sama lain?

Padahal, dalam PH ramai saja pemimpin DAP yang terbukti bagus dalam mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan seperti Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Pemimpin Cina PKR pun ramai menguasai bahasa kebangsaan tanah air ini bahkan lebih baik daripada sesetengah pemimpin Melayu PH.

Jadi, Guan Eng tidak harus jadi nila setitik yang merosakkan susu sebelanga. Terus berkeras mendedahkan penyelewengan kewangan kerajaan terdahulu itu bagus. Berkeras mahu guna bahasa Cina dalam urusan rasmi kerajaan itu pula boleh menyebabkan kerajaan PH 'hancus'.

Guan Eng juga cubalah faham tentang kelangsungan politik rakan-rakan PH di AMANAH & PPBM yang masih bergelut untuk meraih sokongan dan kepercayaan pengundi Melayu yang selama lebih 60 tahun ditakutkan itu, ini oleh Umno.

Konsensus PH sebelum PRU-14 sudah sebut pun soal apa termaktub dalam Perlembagaan termasuk bahasa kebangsaan tidak dikacau. Atau persetujuan dan pematuhan bersama itu sudah tamat tempohkah sekarang?

Sayangnya, tidak sampai 100 hari diberi mandat rakyat berbilang kaum, Guan Eng sudah buat pusingan U dengan menonjolkan 'keCinaannya' yang dikhuatiri menyebabkan PH terbabas pada PRU akan datang.

Pimpinan PH sekarang sudah jadi kerajaan. Sepatutnya, PH terus tumpu pada usaha memperkasa urus tadbir yang baik bukannya memperkasa bahasa yang tidak diiktiraf sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di Putrajaya.

Ruang yang diberi Perlembagaan kepada bahasa dan budaya kaum lain bukannya bermaksud kerajaan PH hari ini boleh langgar sewenang-wenangnya dengan menyalahgunakan istilah keadilan dan hak asasi.

Atau Guan Eng sengaja mahu menarik kembali rakyat pada era Malaysia Baru ini ke dalam kancah polemik kaum dan agama yang tidak sudah-sudah walaupun itu jelas hanya menjadikan PH seperti menghulur tengkuk disembelih rakyat pada PRU-15 nanti?

Teguran ikhlas:

Mohd Arif bin Atan,
Bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik,
Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan,
Jabatan Perdana Menteri.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...