Tun Mahathir Si Mantan Diktator Tua Yang Mudah Lupa
1) Semua kesilapan yang berlaku pastinya akan dipersalahkan orang lain, bukan dirinya sendiri. Dia juga sering memberi alasan tidak tahu dan terlupa apabila ditanya pelbagai tuduhan yang dikaitkan dengan dirinya.
a. Isu Memali : Amanat Haji Hadi dan para Mufti yang dipersalah
b. Isu Pemecatan Ketua Hakim Negara : Peguam Negara yang dipersalah
c. Isu Tangkapan Ops Lalang ISA : Polis yang dipersalah
d. Isu Kerugian RM 32 billion Skandal Forex : Gabenor Bank Negara yang dipersalah Media Pro PH punyalah bersungguh melaporkan kononnya Tun M meminta maaf di penghujung ucapan dasar PPBM sedangkan ketika sidang media selepas itu, Tun M berkata permohonan maaf secara umum itu hanyalah kerana memenuhi tradisi bangsa Melayu dan ianya bukanlah tanda mengakui sebarang kesalahan. Hebat bukan? Mohon maaf tetapi tidak mengaku salah.
2) Hebat sungguh Tun M ini kerana sesiapa sahaja yang tidak mengikut kehendaknya pasti akan dilawan sehabisnya. Mungkin ada yang sudah terlupa ketika zaman Tun M menjadi PM selama 22 tahun dulu, sekalian TPM tersingkir samada secara sukarela atau paksa.
a) TPM Tun Musa Hitam (1981-1986) : letak jawatan
b) TPM Tun Abdul Ghafar Baba (1986-1993) : letak jawatan
c) TPM Dato' Seri Anwar Ibrahim (1993-1998) : dipecat
d) Tun Abdullah (1999-2003) : terselamat
Walaupun Tun Abdullah berjaya menjadi PM yang baru tetapi, nasibnya tidakkah lama. 19 Mei 2008 : Tun M isytihar keluar UMNO sebagai tanda protes kepimpinan Tun Abdullah.
Selepas Tun Abdullah berundur pada Mac 2009, PM Najib dilantik sebagai pengganti dengan restu dan sokongan padu Tun M sendiri.
Apabila PM Najib tidak membantu Mukhriz Mahathir untuk memenangi jawatan Naib Presiden UMNO dan menyingkirkan Mukhriz daripada jawatan MB Kedah, Tun M memulakan kempen mendesak PM Najib berundur. 29 Februari 2016 : Tun M isytihar keluar UMNO sebagai tanda protes kepimpinan PM Najib pula
3) Hebat sungguh Tun M ini kerana dulu dia begitu dibenci dan dimusuhi oleh pemimpin PKR, DAP, dan PAN. Sekarang, dia begitu disanjungi dan disucikan pula oleh pemimpin Pakatan Harapan di samping memberikannya peranan sebagai Pengerusi PH. Bahkan, Tun M bakal dinobat sebagai PM Idaman Pakatan Harapan. Lawak apakah ini.? Bukankah dulu, pemimpin PH juga yang menggelar Tun M sebagai diktator yang mahazalim. PM Najib yang ada pada hari ini adalah pewaris legasi kepimpinan Tun M juga.
4) Sungguh amat geli hati ini apabila melihat Tun M bercakap mengenai kebebasan bersuara, hak berpolitik, sistem demokrasi, anti rasuah sedangkan selama 22 tahun dia berkuasa dahulu, apa yang dia tidak buat.?
Rekod sejarah berikut tidak pernah terpadam bahawa;
a) Tun M menggunakan ISA untuk menahan tanpa bicara para musuh politiknya
b) Tun M menggunakan OSA untuk menyekat penyebaran dokumen perjanjian berat sebelah kerajaan yang menguntungkan kroninya
c) Tun M menggunakan Akta Mesin Cetak untuk menyekat penerbitan akhbar dan majalah yang menentangnya
d) Tun M menggunakan Polis, FRU untuk menyekat demontrasi dan ceramah pembangkang
e) Tun M meminda Perlembagaan bagi menghapuskan imuniti Raja-Raja dan kuasa Agong bagi memperkenankan sesuatu Rang Undang-Undang
f) Tun M menyusun atur pelantikan Ketua Hakim Negara (judisiari) agar mengikut selera institusi eksekutif
g) Tun M menggunakan wang Petronas bagi menyelamatkan (bail-out) syarikat anaknya, Mirzan Mahathir
h) Tun M melantik rakannya, Eric Chia untuk mengetuai Perwaja Steel yang akhirnya kerugian sehingga RM 10 billion
i) Tun M berpakat secara rahsia dengan Tun Daim mengarahkan Tan Sri Tajuddin Ramli membeli saham MAS bagi membantu Bank Negara Malaysia mengatasi kerugian sebanyak RM 32.5 billion akibat skandal tukaran asing (Forex) pada tahun 1992.
j) Tun M menganugerahkan projek kepada sekalian kroni dan proksinya sehingga kekayaan negara berpusing di kalangan jutawan seperti Vincent Tan, Robert Kuok dan Ananda Krishnan.
5) Setelah puas Tun M memusnahkan institusi negara, kini dia mahu kembali memerintah Malaysia. Kasihan melihat pemimpin Pakatan Harapan yang begitu terdesak untuk menawan Putrajaya sehingga tidak sedar diri mereka sedang dipergunakan dan diperbodohkan oleh Tun M. Segala ludahan dan cacian mereka terhadap Tun M sudah dijilat kembali dan digantikan dengan semburan wangian dan hamparan permaidani indah untuk Tun M.
6) Hanya PAS yang tidak mampu ditipu oleh Tun M. Oleh sebab itu, janganlah kita terkejut apabila saban hari Tun M menyerang dan memfitnah PAS kerana PAS yang dipimpin oleh Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tidak mengikut selera dan kehendak nafsu Tun M. Hari ini Tun M menggelar Tuan Guru Presiden PAS sebagai pengkhianat kerana tidak mahu bersama PH menjatuhkan PM Najib. Tun M sepatutnya cermin dirinya sendiri dahulu.
Adakah dia menyangka rakyat sudah lupa dengan pengkhianatan amanah yang dilakukan olehnya selama 22 tahun dahulu.? UMNO yang rosak membarah hari ini pun adalah hasil warisan gaya pemerintahan Tun M juga.
PAS memperjuangkan perubahan dasar bukannya sekadar menukar individu. Islam hanya akan tertegak dengan keruntuhan sistem jahiliyyah bukannya digantikan pula dengan sistem jahiliyyah yang baru.
Malaysia akan meniti hari kegelapan bukannya sinar harapan yang cerah seandainya Mantan Diktator Tua ini kembali ke puncak kuasa.
Catatan oleh ;
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS
3 Januari 2018