Sebenarnya pada 17 November 2017 yang lepas, Bernama sendiri mengesahkan dan melaporkan anggota bomba adalah antara pihak yang diberikan kelonggaran untuk mengundi secara pos disebabkan 'masa bekerja' mereka yang mengikut shift.
Selain pihak bomba, petugas kesihatan, pekerja maritim, kakitangan jabatan penjara dan RELA turut menerima kemudahan yang serupa.
Baca berita dibawah ini ;
Oleh : Bernama
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) yang bertugas ketika pilihan raya umum (PRU) antara lima kategori yang akan dibenarkan mengundi secara pos pada PRU akan datang.
Perkara itu diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mesyuaratnya pada 25 September lepas yang menetapkan lima kategori di bawah skim anggota keselamatan dan kesihatan sebagai pengundi pos.
Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah dalam satu kenyataan berkata selain anggota JPBM, kemudahan turut merangkumi anggota dan petugas kesihatan (hospital dan klinik kerajaan sahaja), anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, anggota Jabatan Penjara Malaysia dan anggota Sukarelawan Polis.
"Kemudahan ini diberikan atas justifikasi bahawa anggota terbabit merupakan pemilih yang tidak dapat meninggalkan tugas mereka pada hari berkenaan untuk mengundi demi memastikan aspek keselamatan dan kesihatan rakyat terjamin,” katanya.
Sebelum ini kategori pengundi dalam negara yang boleh memohon untuk menjadi pengundi pos ialah anggota tentera dan pasangan serta anggota polis dan pasangan yang tidak dapat hadir semasa Hari Pengundian Awal, petugas media dan petugas pilihan raya yang terpaksa mengundi di luar pusat mengundi.
Mohd Hashim berkata kemudahan itu akan dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan pewartaannya telah dibuat pada 23 Oktober lalu berdasarkan kepada Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2013.
Manfaat yang diberikan ini adalah bertujuan memberikan hak mengundi kepada semua rakyat Malaysia tanpa diskriminasi dan halangan untuk melakukan pengundian.
Bagaimanapun pihak kami tidak pasti samada penyebaran surat mengenai arahan pengundian pos ke atas pihak bomba seperti yang tersebar itu adalah sah ataupun tidak.