Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 5 Januari 2018

Diberhentikan, Tak Dapat Gaji Dan Berpindah Kepada Kontrak Gaji Seribu Sebulan - Wartawan Harakah Nak Makan Apa?

Oleh : The Malaysian Insight
 

AKHBAR lidah rasmi PAS, Harakah kini berdepan tekanan pasaran sehingga terpaksa memberhentikan semua kakitangannya berkuat kuasa 31 Disember yang lalu, kata sumber.

Semua 20 kakitangan itu kemudian ditawarkan perkhidmatan secara kontrak selama enam bulan dengan tawaran gaji satu pertiga daripada gaji asal atau minimum RM1,000, kata kakitangan terlibat yang enggan dikenali.

Selain gaji lebih rendah, kontrak yang dilihat oleh The Malaysian Insight itu menetapkan syarat-syarat perkhidmatan lebih rendah, termasuk cuti sehari bagi setiap bulan.


 
Kontrak baru dengan Galeri Media Serbanika Sdn Bhd ditawarkan berkuat kuasa serta merta selepas pemberhentian iaitu pada 1 Januari tahun ini. Semua mereka sebelum ini digajikan oleh Jabatan Penerangan PAS Pusat. 

"Beberapa orang antara kami ambil keputusan untuk tolak tawaran dan bekerja di tempat lain," kata sumber itu kepada The Malaysian Insight.

Beberapa kakitangan terlibat juga belum menerima bayaran penuh gaji November tahun lalu, tambah sumber.

Sebahagian salinan kontrak itu turut tersebar di media sosial dengan kritikan terhadap pengurusan akhbar itu.

The Malaysian Insight menghubungi pengurusan Harakah dan Jabatan Penerangan PAS untuk mendapatkan maklum balas namun tidak mendapat jawapan.

Pengurusan Harakah baru-baru ini mengesahkan akhbar itu menanggung hutang RM2.2 juta dengan syarikat pencetaknya dan sedang dalam proses rundingan untuk melunaskan hutang tersebut.

 
Ketua Pegawai Eksekutif Harakah, Zainal Abidin Kidam bagaimanapun kesal isu perniagaan dipolitikkan oleh sesetengah pihak sehingga tular di media sosial.

Sebelum ini, beberapa pengarang dan wartawan kanan Harakah berhenti atau diberhentikan selepas perpecahan dalaman parti Islam itu susulan pemilihan PAS pada Jun 2015 yang membawa kepada penubuhan parti serpihan Amanah.

Pada sekitar tempoh yang sama juga, Harakah berdepan kontroversi selepas pengurusan akhbar itu meminta ketua pengarangnya, Ahmad Lutfi Othman, yang mengalami masalah kesihatan, untuk letak jawatan. Kontrak dua pengarang kanannya, Tarmizi Md Jam dan Roslan Hamid kemudian turut ditamatkan.

Harakah mula diterbitkan pada 1987 dengan kekerapan seminggu sekali, sebelum terbit dua kali seminggu tiga tahun kemudian. Ia pernah mencatatkan rekod edaran tertinggi sehingga 400,000 naskhah terjual ketika demam pilihan raya umum 1999.

Tiada angka rasmi edarannya sekarang namun pada muktamar yang lalu Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan menyebut sasaran jualan sebanyak 60,000 naskhah.

Akhbar itu disyaratkan oleh Kementerian Dalam Negeri dijual kepada ahli PAS sahaja namun bebas dibeli oleh mereka yang bukan ahli.

Pemimpin kanan PAS tahun lalu menyebut parti Islam itu mempunyai lebih kurang sejuta ahli, dengan trend pertambahan ahli baru yang memberangsangkan selepas merosot 20% susulan penubuhan Amanah.

Mei tahun lalu, Nasrudin turut menggesa ahli PAS supaya lebih serius menjayakan kempen 3B Harakah iaitu “membeli, membaca dan memberi” untuk meningkatkan semula jualan akhbar tersebut.

Bulan lalu, Media Prima Berhad, konglomerat media terbesar di Malaysia yang memiliki antaranya TV3 dan New Straits Times, menawarkan kakitangannya pilihan untuk rehat sementara tanpa gaji, bagi mengurangkan tekanan kewangan syarikat.

Langkah itu dibuat beberapa bulan selepas ia melaksanakan skim pemisahan sukarela (VSS) melibatkan kakitangannya yang berumur lebih 50 tahun sebagai sebahagian langkah mengurangkan kos operasi.

Selain Media Prima, Kumpulan Star Media yang memiliki akhbar bahasa Inggeris terbesar negara The Star turut melaksanakan beberapa siri VSS sepanjang 2017

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...