Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 22 Disember 2018

P. Waytha Moorty Kini Adalah Ikon Menteri Perpecahan..

A.Kadir Jasin | SAYA mulakan dengan memohon maaf. Pandangan saya mungkin berbeza dengan orang lain dalam banyak hal dan perkara.

Ada yang menuduh saya lebih utamakan pendarahan Umno daripada kematian anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim akibat diserang ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman Seafield 26 November lalu.


Saya menulis mengenainya dalam tampalan 28 November dan menyesali tindakan polis ketika itu yang hanya menangkap dan menahan perusuh Melayu dan Cina tapi tidak seorang pun India. Sejak itu ramai perusuh India/Hindu telah ditahan.

Saya pun disentuh perasaan (emosi) tetapi tidaklah sampai hilang akal dan pertimbangan. Tidak wajar membenarkan emosi menguasai diri.

Bukan saya tidak mahu keadilan dilakukan. Bukan saya tidak mahu Menteri Wayta Moothy dikenakan tindakan.

Malah sekarang pun saya setuju dengan sentimen umum bahawa Moorthy telah hilang kelayakan dan kedudukan untuk terus menjadi menteri apatah lagi menteri yang menjaga perpaduan nasional.

Beliau telah menjadi watak yang memecahbelahkan (divisive). Eloklah beliau menarik diri secara sukarela daripada membebankan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun Tun berkata beliau “puas hati” dengan Moorthy.


Minta maaflah kalau saya kata, Moorthy telah diberi peluang dan penghormatan amat tinggi menjadi anggota Kabinet tetapi mensia-siakannya.

Kawal Emosi

Kita boleh terus membakar emosi kita, dan jika kita orang yang tidak bertanggungjawab, kita juga boleh mengapi-apikan emosi orang lain atas nama Almarhum Adib.

Tetapi adakah itu yang kita mahu dan lebih-lebih lagi adakah itu yang Almarhum Adib mahu apabila dia memilih untuk menjadi anggota bomba dan penyelamat?

Dalam apa pun pekerjaan yang kita pilih, mesti ada unsur risiko. Kalau tidak banyak, sikit mesti ada. Pasti Almarhum Adib tahu risiko kerjayanya.

Jadi tidak perlulah kawan saya, budak Perak yang jadi kaya-raya kerana Umno dan konsesi lebuh raya sehingga mampu berumah di Bukit Tunku berkhutbah kepada saya mengenai tragedi dan keadilan.

Kalau ada duit lebih, bantulah ibu bapa Almarhum Adib atau kalau duit banyak sangat, buatlah yayasan kebajikan berjuta ringgit atas nama beliau. Banyak lagi orang susah di negara kita ini.

Punca tragedi bukanlah kesilapan Almarhum memilih kerja. Yang tragis adalah dia terbunuh ketika bertugas menyelamatkan nyawa dan harta benda dalam satu rusuhan ganas.

Penjenayah atau kumpulan penjenayah yang menyebabkan kematian beliau, tidak kira bangsa atau agama, wajib diburu dan dijatuhkan hukuman yang setimpal.

Niat Jahat

Kesialan peristiwa ini adalah apabila tuan punya tanah yang berupa sebuah syarikat besar berkaitan Filipina secara tidak bertanggungjawab dan provokasi telah mengupah sekumpulan Melayu untuk “mengawal” sebuah kuil Hindu yang sedang dalam proses “pengambilan alih” dan “pemindahan”.

Melayu itu pula, sama ada kerana kemaruk duit RM150 hingga RM300 atau kerana tujuan lain menerima tugas luar biasa dan berisiko itu.

Secara sengaja atau kerana kejahilan, Melayu upahan itu terjebak dalam politik kuil yang sudah berlarutan berdekad-dekad lamanya.

Perebutan di kalangan penganut bagi menguasai kuil tersebut bukan sahaja kerana hendak beribadat, tetapi tidak kurang juga kerana duit. Kuil itu banyak duit.

Saya juga kurang emosi kerana sudah melalui peristiwa seperti ini beberapa kali dalam sejarah kerjaya saya sebagai wartawan sejak tahun 1969.

Kuala Lumpur masih terbakar dan mayat mangsa masih belum habis dituntut sewaktu saya menjadi pemberita di Bernama pada 16 Jun 1969.

Kemudian peristiwa beberapa orang pelajar Melayu yang diradikalkan di Amerika Syarikat merosakkan kuil di Kerling, Selangor. Beberapa orang terbunuh apabila penganut Hindu menyerang mereka.

Lepas itu pada tahun 2001 berlaku apa yang disebut sebagai rusuhan Kampung Medan di antara orang Melayu dan India/Hindu di sekitar Taman Datuk Harun, Kampung Lindungan, Kampung Medan, Kampung Gandhi dan Taman Desa Ria.

Dalam pergaduhan tiga minggu itu, enam terbunuh, 24 dimasukkan ke hospital, 183 ditangkap terdiri daripada 100 Melayu, 14 Indonesia dan 69 India.

Ketika peristiwa itu sedang berlaku, saya menulis memberi amaran bahawa pergaduhan kaum pada masa depan, sekiranya berlaku, berkemungkinan melagakan orang Melayu dengan India/Hindu.

Ini kerana kemiskinan yang merapatkan mereka akan juga menjadi punca perbalahan disebabkan berebut pekerjaan dan tempat tinggal di lokasi yang sama atau berhampiran.

Sebagai wartawan dan pengarang saya bukan sahaja terpaksa melaporkan peristiwa ini, tetapi memastikan ia tidak menjadi lebih buruk.

Jadi bukan saya tidak emosi atau tidak peduli kematian tragis Adib, tetapi saya tidak mahu emosi terus dibakar dan api permusuhan dikipas.

Justeru itu, secara peribadi, saya sarankan agar rancangan memindahkan Kuil Sri Maha Mariamman seperti yang diperintahkan oleh mahkamah diteruskan dengan harapan ia akan meredakan emosi dan mengurangkan ketaasuban.

Wallahuaklam.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...