Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 1 Mei 2018

Jika #PakatanHarapan Menang Besar Dengan Mahathir Tanpa Anwar.. #GE14

Oleh : Fathi Aris Omar / Ketua Editor Projek MMO

Kalau 2018 lebih baik daripada 2013, legasi Anwar Ibrahim sebagai kepala pembangkang sejak 20 tahun lalu akan terjejas teruk.

Apabila dipecat, dia disambut bagai pahlawan yang gugur. Negara bergolak kerananya. Pembangkang menguat. Dia di luar penjara, pembangkang lagi kuat dan makin menguat.




Tetapi kini Anwar di penjara. Maka pembangkang harus dilihat kuat atau dilihat tidak terlalu kuat? Faktor baru wujud, Anwar dipenjara tetapi Dr Mahathir Mohamad mengambil alih puncak kepemimpinan.

Kalau tahun ini lebih baik daripada Mei lima tahun lalu, orang pembangkang akan selalu terbayang-bayangkan Dr Mahathir dan mengimpikan tokoh seumpamanya dalam imaginasi perjuangan mereka.

Bayangkan dalam masa begitu suntuk dan tergesa-gesa, Dr Mahathir dapat mengarahkan keputusan semua tenaga kepada satu logo. Walau idea ini selalu muncul sebelum ini, Anwar tidak dapat melakukannya.

Bahkan usahanya mengekalkan PAS bersama pembangkang gagal menjelang krisis menteri besar Selangor. Sebagai pemimpin besar, Anwar gagal menyekat tsunami perpecahan PAS-DAP.

Orang akan nampak jelas, tanpa Anwar dan tanpa PAS, gabungan pembangkang terus mendaki kejayaan. Secara tidak langsung, Anwar dan PAS tidaklah terlalu relevan untuk menang lebih besar [ulang: kalaulah menang lebih besar. Kalaulah].

Tahun ini kemungkinan besar pusingan terakhir Dr Mahathir tetapi belum lagi bagi Anwar. Dia mahu bermain lagi sehingga usia 75 tahun atau 80 tahun, sekurang-kurangnya.

Malah Dr Mahathir, pada usia 93 tahun, diletakkan di situ bagi menetapkan satu tanda aras umur kepemimpinan pembangkang. Yakni, Anwar masih ada masa sebanyak itu, jika masih sihat.

Begitu saya dimaklumkan oleh ahli strategi parti. Mungkin Anwar terus diperlukan sehingga dia yakin dapat memastikan warisan keluarganya terjamin kukuh. Selagi itu dia harus ada di dalam gelanggang.

Persoalan seumpama ini, agak aku, menjadi pertimbangan Anwar di penjara dan hospital. Dia dihantui sosok besar Dr Mahathir dan bagaimana mengekalkan legasinya. Dia juga mungkin was-was pada pemimpin muda yang bakal meneruskan kepemimpinan PKR (kecuali yang direstuinya).

Anwar terpenjara bukan sahaja di Sungai Buloh atau wad hospital tetapi juga tersepit antara tokoh tua yang teruji dengan orang muda yang menguji. Inilah akibat kalau kita banyak main, kita terbelit dalam permainan kita sendiri.

NOTA : Kita sama-sama lihat ada jadi selepas 9 Mei ini dan selepas 8 Jun ini. Boleh jadi politik kita nanti jauh lebih menarik daripada pilihan raya umum. Anggap sahaja PRU kali ini hanya treler sebuah filem mendebarkan. Ingat, pentas PRU sekadar treler sebuah filem lebih mendebarkan dan mencemaskan.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...