Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 4 Mei 2018

Isu Memali - PAS Terima Permohonan Maaf Mahathir. #GE14

Oleh : Malaysiakini

PAS menyambut permohonan maaf dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa kematian penyokong parti itu di Memali lebih 30 tahun dulu sebagai "mati katak". 

Namun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan pendirian parti itu tidak berubah - bahawa semua 14 penyokong serta pemimpin PAS yang terbunuh dalam insiden berdarah itu sebagai syahid. 


“PAS melalui ulama-ulama yang masih hidup pada masa itu, yang menyaksikan peristiwa Memali, sudah membuat keputusan bahawa mereka (mangsa korban) itu para syuhada. 

"Sebabnya kerajaan mengaku bersalah dalam tindakan dan ini diakui pihak kerajaan sendiri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sembang Santai Bersama Ayah Cik di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, petang tadi. 

Semalam Dr Mahathir sekali lagi menyentuh isu Memali yang sangat sensitif kepada PAS. Dalam insiden pada 1985 itu 14 penduduk kampung Memali dan empat anggota keselamatan terbunuh dalam usaha mereka menangkap seorang ustaz yang juga pemimpin PAS setempat, Ibrahim Mahmud. 

Tokoh itu yang lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya enggan menyerah dan ketegangan itu berakhir dengan pertumpahan darah. 

Serang cuma buat letih 

Dr Mahathir mendakwa, “Amanat Hadi” yang merujuk kepada ucapan Abdul Hadi pada 1981 menjadi punca berlakunya peristiwa hitam itu. 

Kata Dr Mahathir orang awam yang terbunuh itu bukan mati syahid, sebaliknya "mati katak". Bagaimanapun beliau membuat permohonan maaf petang tadi. 

“Saya dalam ucapan-ucapan saya, kadang-kadang tersilap kata. Saya minta maaf kalau saya menyebabkan kemarahan orang-orang tertentu,” katanya. 

Kata Abdul Hadi beliau mendengar penjelasan dibuat Dr Mahathir itu. 

“Dia (Dr Mahathir) terlanjur dan saya dengar dalam kenyataan (itu) dia minta maaf atas keterlanjuran dia, dan kita terima maaf itu. 

"Tapi kita tetap anggap sahabat kita itu mati sebagai para syuhada (mati syahid),” katanya. 

Sementara itu dalam sesi soal jawab, Abdul Hadi berkata beliau memaafkan Dr Mahathir jika pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) berkenaan melakukan kesalahan ke atasnya. 

“Kalau kesalahan berkaitan dengan saya, saya maafkan dia. Kalau berkaitaan dengan tuhan, dia kena taubat sebab dia dengan Allah,” katanya. 

Dalam perkembangan sama Abdul Hadi berkata beliau tidak kisah jika Dr Mahathir terus menyerangnya kerana memahami memang itu sikap bekas perdana menteri terbabit dan tidak pernah berubah. 

“Sehari dua ini dia mengamuk dan serang saya. Tak apa, nak serang saya seranglahm tapi buat dia letih sahaja,” katanya. 

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...