Ahad, 29 April 2018

Polis Nafi Halang Calon #PakatanHarapan DUN Rantau Serah Borang - KPN. #GE14

Polis menyifatkan dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bahawa calon parti itu dihalang polis ketika proses penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Dewan Seri Rembau, Negeri Sembilan, hari ini, tidak berasas.



Menurutnya, kebenaran untuk setiap bakal calon memasuki pusat penamaan adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Pegawai Pengurus (RO) daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya hanya berperanan menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di pusat penamaan calon di seluruh negara.

"Mengenai isu bakal calon Dr Streram Sinnasamy, dia didapati tidak memiliki pas keselamatan dikeluarkan SPR, sekali gus polis tidak membenarkannya masuk ke kawasan pusat penamaan di Dewan Sri Rembau.

"Tindakan dilakukan pegawai dan anggota polis yang ditugaskan mengawasi semua pusat penamaan calon adalah berdasarkan arahan diberikan oleh SPR sendiri,"
katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kenyataan Rafizi mendakwa polis menghalang calon terbabit adalah tidak berasas.

"Kami tidak teragak-agak memanggil atau mengambil tindakan terhadap pihak yang terus menyebarkan dakwaan tidak berasas seperti ini jika ia berterusan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Saya tidak dapat mengulas lebih terperinci mengenai perkara itu namun ingin saya tegaskan dakwaan polis melakukan halangan terhadap calon adalah tidak betul,"
katanya.

Mengulas mengenai situasi di seluruh negara sepanjang proses penamaan calon semalam, Mohamad Fuzi menyifatkan tiada insiden buruk dan semuanya berjalan lancar.

"Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada calon, pengiring dan penyokong setiap parti bertanding kerana dapat mewujudkan suasana yang aman dan harmoni dalam proses hari ini," katanya.

Sumber : Berita Harian Online

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...