Isnin, 30 April 2018

Hati Bonda Bagai Ditembak Tepat Ke Jantungnya Kerana 'Kemalangan' 2 Hari Lepas, Kata Nik Abduh. #GE14

Selepas dua hari, Nik Abduh calon PAS di Bachok akhirnya buka mulut mengenai tindakan abangnya Nik Omar yang bertanding di DUN Chempaka atas tiket Amanah dalam pilihanraya umum ke 14.


Pada sabtu penyokong PAS dan Amanah menerima kejutan apabila Husam Musa mengumumkan DUN Chempaka ditandingi oleh Nik Omar yang juga anak kedua kepada Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz, bekas Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun.

Gambar-gambar Nik Omar menyerahkan borang pencalonan atas tiket Amanah - Pakatan Harapan menjadi tular di laman sosial. Serentak dengan itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan kemudiannya memecat Nik Omar sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta-merta kerana bertanding melawan parti.

Nik Omar juga dikecam bertubi-tubi oleh penyokong PAS dan anak Nik Omar juga meluahkan kekecewaannya apabila melihat bapanya diserang hebat oleh netizens yang menyokong PAS.

Baca : Luahan sayu anak Nik Omar

Gila kuasa, derhaka pada ibu, iman tak dapat diwarisi antara tuduhan yang dilemparkan ke atas Nik Omar yang memilih untuk bersama Pakatan Harapan bagi mengalahkan kerajaan PAS dan parti BN di Kelantan.

Nik Abduh yang mendiamkan diri selama dua hari akhirnya membuka bicara mengenai hal itu dalam satu kenyataan di Facebook petang tadi.

Menurut Nik Abduh 'kemalangan yang berlaku pada dua hari lepas' adalah sesuatu yang tidak dijangka.



Ibunya kata Nik Abduh lagi kini sedang berehat selepas terluka ditembak tepat ke jantungnya yang membayangkan Nik Omar adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan ibu mereka kesedihan dan kecewa kerana Nik Omar memutuskan menentang PAS di Kelantan.

Dalam pada itu, Nik Abduh turut menjelaskan yang ibunya akan turun berkempen di Chempaka bagi memenangkan PAS selepas Nik Omar memutuskan untuk melawan PAS di sana. 

Nik Abduh turut berkata sehingga kini Nik Omar masih lagi belum pulang ke rumah ibunya. Dan menyeru agar Nik Omar bersegera berjumpa dengan bonda.

Berikut adalah kenyataan penuh Nik Abduh;

Oleh : Nik Abduh 

Daripada Kami Sekeluarga
 
Insya Allah, bonda kami Datin Hajjah Tuan Sabariah binti Tuan Ishak akan turut berkempen di DUN N06 Chempaka dan Parlimen P020 Pengkalan Chepa bagi memenangkan calon PAS, al Fadhil al Ustaz Ahmad Fathan bin Mahmood dan al Fadhil al Ustaz Ahmad Marzuk bin Shaari.

Bonda asalnya akan hanya menumpukan kempennya di P025 Bachok atas faktor kesihatannya yang sedikit membataskan pergerakannya, selain mengukuhkan lagi pengenalannya bersama jentera PAS dan rakyat di Bachok, tetapi disebabkan ada sedikit gangguan daripada dalam keluarga kami terhadap PAS di DUN Chempaka khususnya, maka bonda memutuskan untuk turut bersama jentera muslimat PAS di sana.

Saya bagi pihak seluruh keluarga al Aziziyah dengan ini, dengan penuh rasa dukacita yang amat sangat ingin memohon banyak-banyak kemaafan kepada jentera PAS di seluruh negara dan juga seluruh rakyat Malaysia amnya di atas kemalangan yang berlaku pada 2 hari lepas. Ia sesuatu yang amat sukar.

Bonda kini memilih untuk berehat beberapa hari bagi merawat luka hatinya yang dalam akibat tembakan yang dilepaskan semenjak lebih 30 tahun lepas oleh seorang lelaki bernama Ikram. Dua hari lepas, tembakan itu tepat singgah ke jantung bonda.

Ini adalah tembakan kedua yang terpaksa ditanggung oleh bonda selepas tembakan pertama yang meranapkan jiwanya oleh Tun Dr Mahathir lebih 15 tahun lepas apabila salah seorang anaknya di-ISA-kan. Tun dan Ikram itu hari ini bersama-sama bersatu bekerja keras meruntuhkan kerajaan Islam negeri Kelantan di bawah pemerintahan PAS.

Oleh kerana kekanda saya al fadhil al ustaz Nik Omar bin Nik Abdul Aziz belum balik ke rumah bonda, suka saya menasihati dan menyarankan beliau untuk merujuk kepada kisah agung seorang khalifah Islam yang sah dibai'ah oleh umat Islam selepas kematian Yazid bin Muawiyah iaitu al sahabiy al 'Aa'iz bil Bait Abdullah Ibn al Zubair radhiaLlahu anhuma.

Hayati bait-bait penuh air mata antara beliau dan bondanya Asma' binti Abu Bakar (kakak kepada Ummul Mukminin 'Aisyah binti Abu Bakar) radhiaLlahu anhum saat beliau memohon pandangan dan restu bondanya itu bagi menempuh kemuncak kesukaran di dalam membuat keputusan di sepanjang hidupnya. Ia samada menyerah diri kepada panglima perang Bani Umayyah yang telah berbulan-bulan mengepung ka'abah dan kota Makkah atau terus memerangi bala tentera kejam itu sehinggalah rebah syahid.

Itulah fiqh al sahabiy al jalil di dalam memahami 'peranan seorang ibu di dalam politik dan jihad.'

Ibu adalah menara kehidupan. Jangan bicara pasal ayahanda jika bonda tiada di sisi. Siapa ayahanda tanpa seorang bonda yang paling memahami pahit getir kehidupan seorang suami bergelar pejuang. Siapa kita tanpa bonda? Sekadar air mani terbuang hina.. - 30 April 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...