Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 20 Mei 2018

Dr Maszlee Malik Calon Tepat Sebagai Menteri Pendidikan - ZF Zamir.

Oleh : ZF Zamir

Paling sedih sebenarnya bila aku lihat orang yang tolak Dr Maszlee ni sebenarnya orang yang tak pernah kenal Dr Maszlee Malik depan-depan, berbual, baca buku atau faham pemikiran dia macam mana.



Aku rasa sedih sebab kita semua ada peluang yang tak pernah kita semua bayangkan. Untuk betulkan semula sistem pendidikan kita. Kita hanya ada satu peluang ini sahaja.

Dan bagi aku yang sejak 2010 bercakap tentang pendidikan & sekolah nasional, Dr Maszlee Malik adalah calon paling tepat. Yang mahu bercakap tentang guru. Serta yang paling penting punya idea mengenai apa bentuk pendidikan yang anak-anak kita harus jalani sepatutnya.

Tapi inilah politik. Orang menyerang Dr Maszlee kerana alasan pelik-pelik. Bukan kerana kebolehannya untuk menerajui Kementerian. Bukan kerana kebolehannya untuk kerja dalam ruang lingkup yang satu itu.

Dan kita semua, yang selama ini berada di dalam ruang pendidikan sebagai guru, sebagai ibu bapa, sebagai sukarelawan dan sebagai mahasiswa atau pensyarah - kita semua hanya ada satu peluang ini sahaja.

Dan kalau kita semua benarkan politik sentimen, politik fobia serta politik anti pemikiran - yang selama ini kita perjuangkan sebagai hak asasi kita semua - mengatasi fikiran logik & menutup satu-satunya peluang untuk kita semua kerjasama dan perbetul apa yang kita sepatutnya betulkan - paling sedih sebenarnya adalah nasib anak-anak kita di sekolah dan universiti nanti.

Kita telah sampai ke hari di mana kita semua boleh berganding-bahu untuk meneliti & bekerja bersama-sama membetulkan apa yang selama ini kita nampak salah - dari sistem peperiksaan sehingga beban kerja guru. Ya kita berjaya sampai ke tahap ini.

Tetapi jika kita benarkan orang-orang yang sebelum ini tak pernah sekalipun bercakap tentang anak di sekolah, atau faham masalah guru di kelas, atau bersuara tentang pendidikan nasional - bercakap bagi pihak kita menggunakan logik yang salah dan menutup peluang yang kita ada hari ini - kita kelak harus menjawab semula semua ini kepada anak-anak kita.

Dan aku bercakap atas kapasiti sebagai seorang bekas guru dan aktivis pendidikan yang nampak potensi untuk bekerja bersama beliau untuk membetulkan sistem pendidikan nasional kita. Sejak 8 tahun yang lalu kita semua bercakap mengenai reformasi pendidikan.

Jangan rosakkan peluang hari ini semata-mata kerana sentimen atau fobia yang kita tak pernah pasti. Tanya diri Tuan-tuan sekalian. Tanya semula - yang kita mahukan hari ini adalah untuk perjuang idea kita - atau untuk bina lebih banyak peluang untuk anak-anak kita?

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...