Lapan peti besi di Seri Perdana yang merupakan kediaman rasmi bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya berjaya dibuka semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengesahkan kepada NST Online bahawa peti besi tersebut berjaya dibuka dengan bantuan 2 tukang kunci selepas beberapa jam berusaha membukanya.
Laporan itu menyebut peti besi tersebut tidak mengandungi wang tunai atau barang berharga lain.
Polis menjalankan penggeledahan bagi mencari bukti berkaitan penyiasatan mereka ke atas salah urus melibatkan dana pelaburan negara 1MDB.
Terdahulu sebuah peti besi di rumah Najib di Jalan Duta juga dibuka, tetapi hanya mengandungi wang tunai lama mata wang asing.
Najib berkata peti besi tersebut tidak dibuka lebih 20 tahun lepas dan tidak lagi digunakan kerana kuncinya hilang.
Ia juga mengandungi beberapa dokumen, termasuk sijil nikah bekas perdana menteri itu dengan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.