Menulis dalam satu kenyataan di Facebook, Nik Muhammad Abduh berkata;
"Rakaman fitnah : Hal saman dan sumpah
1) Almarhum ayahanda beratus kali difitnah sepanjang hayatnya, tetapi beliau tidak pernah saman. Malulah saya pada keteguhannya. Dia memilih mahkamah Allah nanti. Itu mahu dia, itulah mahu saya. Itu mahkamah yang pasti tidak akan tersembunyi walau sekecil zarah kebenaran atau kebatilan.
2) Perakuan penafian keras saya adalah benar dan mencukupi. Bukan kuasa saya untuk memaksa sesiapa mempercayai atau mendustakan saya.
YB yang menuntut saya bersumpah dengan nama Allah itu, dulu dia telah pun bersumpah dengan nama Allah dan berbai'ah dengan nama-Nya.
Kemudian dia langgar dan langgar tanpa rasa takut. Apa kalau saya bersumpah, dia akan percaya? Tidak. Dia akan berkata Nik Abduh berbohong dalam sumpahnya. Mengapa?
Ya, kerana dia kira saya juga akan berbohong sepertinya. Piirraahh.. Sumpah adalah untuk perkara besar atau di tempat yang besar seperti mahkamah atau di hadapan pemimpin kita.
Pada saya, 'rakaman bohong' itu kecil saja. Bebudak PAN saja yang bertawaf di sekelilingnya, menjadikannya makanan buat jiwa mereka yang lemah dan sakit.
Fitnah akan lebur dan kebenaran pasti kekal. Mereka mahu menjadikannya bahan bukti?
Ah, saya juga akan menjadikannya bahan bukti di sana nanti, di hadapan Allah, pemilik suara saya dan anda," tulis Nik Abduh dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, tindakan Nik Abduh yang berkata ATGNA tidak pernah saman mengundang 'backfire' kepada dirinya semula apabila kenyataan itu membuatkannya dikecam oleh beberapa netizens yang dipercayai pro Amanah.
Kumpulan netizens itu kemudiannya bersegera menghadirkan bukti bahawanya ATGNA juga pernah membuat proses permohonan saman atas fitnah yang dilakukan oleh Utusan kepada tokoh agamawan terulung itu.
Selepas dibetulkan, Nik Abduh kemudiannya mengakui kesilapannya dan bersegera membuat tindakan pembetulan termasuklah mengedit post sebelumnya.
"RALAT.
Saya menerima teguran kawan saya, saudara Hisyam Fauzi yang menafikan pernyataan lisan saya di parlimen semalam dan tulisan saya selepas itu yang menyatakan al marhum ayahanda saya tidak pernah mengambil tindakan saman terhadap fitnah ke atasnya.
Saya terkhilaf untuk mengingati kes saman tersebut. Ia mungkin kerana ianya tidak panjang dan berjaya diselesaikan di luar mahkamah selepas itu. Saya akui kesilapan.
Apa pun, butiran yang saya ingin pertegaskan ialah sepanjang puluhan tahun sejarah perjuangan ayahanda yang dipenuhi tuduhan dan fitnah ke atasnya, beliau hanya memilih untuk menafikannya dan menganggap ia kemuncup perjuangan.
Saman bukan pilihan pertamanya. Mahkamah Allah adalah lebih menenangkan hatinya. Fitnah seperti kata para hukama', senjatanya adalah diam, kembali kepada Allah dan mengadu kepadaNya. Itu, sehinggalah pilihan kedua menjadi pilihan hati. Terima kasih saudara Hisyam Fauzi. Semoga Allah merahmati tuan," tulisnya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini beberapa pimpinan Amanah telah mencabar Nik Abduh untuk menyaman dan bersumpah menafikan suara dalam audio yang mengalakkan makan duit UMNO seperti yang tersebar itu bukanlah suara miliknya. - 7 April 2018.