Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 26 Januari 2018

The Lesser Evil Kini Adalah Barisan Nasional..

Oleh : Aiman Firdaus'

Lesser evil itu kini adalah BN.

1. Jadi ada ramai pihak yang berseru janganlah membuat #undirosak.

2. Undi rosak suatu pembaziran, buang masa, bodoh, masuk neraka, patut kena bunuh dan lain-lain lagi, itu yang saya baca.

3. Sementara itu ada juga diantara mereka yang menasihati agar yang undi rosak beralih ke undi "the lesser evil".

4. Kata mereka, politik beginilah. Tiada perfection. Pasti ada yang buruk, yang teruk, yang tidak elok di sana sini yang tak boleh nak ikut kesesuaian dan taste kita sepanjang masa.



5. Politik dan kepimpinan berdiri bukan mengikut citarasa individu. Ia perlu diputuskan secara kolektif untuk kebaikan majority, itu saya diberitahu.

6. Gerakan undi rosak nampaknya gagal faham. Mereka marahkan Mahathir tetapi mereka juga cuba nak hancurkan negara dengan membuat undi rosak, itu yang diceritakan pada saya.

7. Mengikut statistics undi rosak telah wujud sejak pru pertama kali diadakan.

8. Ada banyak sebab kenapa orang membuat undi rosak samada dengan sengaja atau tidak sengaja, dan ada juga dikalangan mereka yang malas keluar mengundi.

9. Demokrasi di Malaysia meraikan keputusan rakyat selagi mana ianya tidak melanggar undang-undang dan bukannya berbuat jenayah, itu saya difahamkan. Ringkasnya awak nak mengundi BN, mengundi PH, mengundi PAS, mengundi PSM, mengundi calon bebas, malas undi, undi rosak, dan sebagainya itu hak mutlak awak semata-mata.

10. Seseorang boleh respon & berkata "eh awak bodohlah awak, buat undi rosak". Tetapi hadnya hanya setakat itu sahaja. Dia sama sekali tidak boleh menyekat atau menggunakan sebarang bentuk pemaksaan & tekanan ke atas diri mana-mana pengundi dengan menghalang mana-mana pengundi dari berbuat apa sahaja dengan kertas undi milik pengundi tersebut.




11. Begitu juga dengan gerakan undi rosak. Mereka boleh bersuara dan meluahkan kenapa mereka mahu membuat undi rosak - tetapi mereka tidak boleh menggunakan tekanan dan pemaksaan ke atas mana-mana pihak untuk turut mengundi rosak.

12. Dalam erti kata lain, undi awak, awak punya hal, begitulah saya memahaminya.


13. Untuk PRU kali ini saya tidak akan membuat #undirosak dan saya tidak akan mengundi mengikut emosi dan diperbodohkan oleh parti politik lagi.

14. Saya telah mengundi sebanyak dua kali. Azimat kata ASAL BUKAN UMNO dan choose the lesser evil sentiasa dijadikan hujah kenapa harus memilih pembangkang bagi membuat perubahan. Dan. Saya buat. Saya mengundi mereka.

15. Saya kini 33 tahun. Ini menjadikan undian kali pertama dan kali kedua saya telah pergi ke tangan pembangkang dan saya menyesal untuk itu. Dan saya sememangnya menyesal.

16. Saya menyesal dan berasa begitu bodoh sekali apabila terpengaruh dengan doktrinisasi pembangkang bahawanya mereka boleh membuat perubahan. 

17. Hakikatnya barisan pembangkang dan barisan umno tidak banyak berbeza malahan saya sudah cukup letih dengan permainan propaganda politik pembangkang yang sepertinya tiada titik noktah.

18. Saya ambil contoh isu GST dan ECRL. Pembangkang mengatakan mereka mahu menukarkan GST kepada zero rated andai memerintah negara. Mereka menyemai begitu banyak kebencian terhadap GST. Mereka mahu kembalikan SST. 

19. Saya berpendapat pembangkang patut menilai pada sistemnya berbanding menumpukan pada kadarnya. Sistem GST menyebabkan ramai pembayar cukai yang menipu gagal berbuat demikian dan dihadapkan ke mahkamah, bukankah ia satu perkara yang bagus? 

20. Masalah GST yang sebenarnya ialah meletakkan GST pada barangan dan perkhidmatan tertentu yang sepatutnya dikecualikan GST dan kadarnya yang mendadak kepada 6% serta GST kepada orang miskin.

21. Ini yang harus pembangkang beri tumpuan. Bukan dengan menjaja hujah populis janji bulan bintang syurga bidadari, minyak turun 1.00, GST zero rated, kita menang esok harga barang turun, percuma EPL. Kita bukan sedang bermimpi. Kita bukan di dalam drama. Kita hidup atas dunia realiti.

22. Pembangkang harus mencari kaedah terbaik bagaimana mengekalkan GST dalam masa yang sama, mengecualikan orang miskin dari terus membayar cukai yang tidak mereka mampu, kecualikan lebih barang barangan dari GST ataupun bagaimana orang miskin boleh mendapat kembali cukai GST yang telah dibayar dengan sokongan sistem bantuan yang cekap dan bersepadu.

23. Pembangkang terlalu retorik dan begitulah respon mereka pada ECRL juga. Kita semua tahu masalah ECRL yang sebenar ialah pada kosnya, pada tender kontraktornya, pada syarikat China yang diberikan hak membinanya tetapi mengapa cara pembangkang berhujah seolahnya projek ini satu pembaziran dan tidak sepatutnya diteruskan? Pengangkutan yang effisien, tidak tertumpu hanya dikawasan bandar Kuala Lumpur dan sekitar Selangor, apakah pembangkang sedar impaknya kepada mereka-mereka yang mengharapkan kepada kemajuan dan tambahbaik (naiktaraf) sistem jaringan pengangkutan di kawasan mereka?

24. Begitulah juga dengan Putrajaya. Satu masa mereka mengatakan ia suatu pembaziran dan satu masa yang lain mereka rebutkan yang pernah didakwa sebagai pembaziran.

25. Kegagalan pembangkang yang terlalu, dan terlalu, sangat terlalu, bermain sentimen kebencian dan mengabaikan politik idea meresahkan, menyusahkan, membingungkan dan mengelirukan.

26. Dan mereka berhujah sekali lagi. Setiap 5 tahun ia datang kembali. Undilah the lesser evil.  

27. The lesser evil kali ini bukan lagi pembangkang, tetapi adalah Barisan Nasional.

28. Memilih Mahathir sebagai calon perdana menteri tidaklah dia hadir bersendirian. Dia datang membawa beban. 22 tahun dibelakangnya. 2 tahun usia Pakatan Harapan. Anda kini 24 tahun. 

29. Najib cuma 9 tahun. Ditambah usia Pak Lah 3 tahun. UMNO sekarang cumalah anak kecil yang berusia 12 tahun. UMNO asal sudah lama dibunuh Mahathir.

30. Dengan Najib yang 12 tahun, dia mahu membina lebuhraya tanpa tol, dia menghapuskan konsep bailout MAS dan PROTON, pengangkutan awam kini dibawa PRASARANA, lebih banyak sistem jaringan pengangkutan untuk semua, dalam dan luar bandar.

31. Pembangkang malahan meniru Najib dalam BRIM. Satu masa BRIM adalah dedak. Satu masa BRIM adalah rasuah. Dan satu masa PEMBANGKANG mahu meneruskan pembayaran BRIM.

32. Tidaklah menafi 1MDB merupakan masalah besar dan Najib seharusnya bertanggungjawab. Setuju kiranya Perdana Menteri diganti dengan mereka yang lebih berintergriti.

33. Tetapi orang itu bukanlah Mahathir. Mahathir lebih mudarat dari Najib.

34. Mahathir ada isu Memali, isu Tun Salleh Abbas, kerugian Forex, dan skandal pembunuhan pegawai bank Abd Jalil. Tetapi itupun kita masih ada isu Auku, ISA, Fitnah Liwat, Astro, Soros, dasar penswastaan, hapuskan peruntukan sekolah agama, IPP, PKFZ, Bakun, perjanjian tol berat sebelah, pembangunan tidak seimbang antara bandar & luar bandar, sistem pendidikan yang tidak dinaiktaraf mengikut perkembangan teknologi, Maminggo, Proton, monopoli, MAS. (https://www.roketkini.com/…/mahathir-tak-boleh-pura-pura-t…/)

35. Terlalu banyak. Tidaklah dikira isu royalti yang dinafi haknya atas Kelantan dan Terengganu suatu ketika dahulu. Dan sepertinya tidak mahu berhenti, Mahathir tetap mahu meneruskan polisi yang menyusahkan rakyat dengan bercadang membuat PROTON yang KEDUA - begitu pentingkah cita-cita peribadinya berbanding kepentingan rakyat jelata? Tidakkah dia sedar tindakannya menaikkan cukai kenderaan bagi melindungi kepentingan kereta nasional sebenarnya menyusahkan rakyat? Pernahkah dia menyesal? Jika kereta kita ketika itu dijual pada harga yang berbaloi dengan kualiti yang ditawarkan tidaklah ia jadi ungkitan tetapi semua pihak tahu betapa teruknya dan mahalnya kereta nasional pada ketika itu. Dan semua itu berlaku atas tangannya.

36. Inilah dia watak yang mahu menyelamatkan negara dari kerosakan yang datang dari tangan dia sendiri. Mahathir itu sendiri merupakan satu masalah. 

37. Saya teringat. Ketika dulu. Media juga berkongsikan gambar Mahathir pergi ke Mekah. Wataknya disucikan dengan amalan agama. Najib juga meniru langkah yang serupa. Doktrinisasi media nampaknya tidak berubah walaupun zaman sudah berbeza. Hanya nama watak sahaja yang tidak sama.

38. Doktrinisasi yang serupa diamalkan media pembangkang. Mencuci diri Mahathir dengan melupakan, mengabaikan, tidak mahu menyebut, mengelak dari memperkatakan, dengan azimat undilah the lesser evil.

39. Mereka sembunyikan masalah lama, dengan membangkitkan masalah lain atas alasan masalah itu lebih besar dari masalah lama hakikatnya mereka lupa yang mereka sedang membawa masalah lama berhadapan dengan masalah besar atas matlamat mahu menyelamatkan negara.

40. Masalah lama dan masalah besar apabila mereka bertembung kita akan dapat masalah lama yang besar.

41. Saya tidak mahu masalah lama. Saya tidak mahu masalah besar. Saya mahu mengelak dari dua perkara ini.

42. Melihat Pulau Pinang, melihat Selangor, saya melihat tiadalah beza antara keduanya. 

43. Jika ADUN selantang Tanjung Bungah pun mereka tergamak tindas sedangkan itu orang mereka sendiri, orang yang sama-sama berjuang dari bawah untuk parti, hanya kerana dia menjadi berbeza dan memilih bersama rakyat, maka apatah pula saya yang bukan siapa-siapa dalam hati mereka.

44. Dengan kepimpinan Selangor yang begitu bercelaru, yang saya keliru seperti isu Adam Rosly, isu gerbang, isu rasuah pasir dan pelbagai lagi jenis skandal yang tidak mahu saya sebut, ya kepercayaan saya terhakis. 

45. Saya kira ada benarnya kenyataan Mahathir, apabila anda memerintah terlalu lama anda akan mudah menjadi korup. Jika dikembalikan Selangor dan Pulau Pinang kepada Barisan Nasional, dan negeri-negeri lain kepada pembangkang, mungkin ia boleh menjadi lebih baik untuk semua.

46. Tetapi apakah daya, kepercayaan saya sudah terhenti pada saat tiang seri Pakatan Harapan berubah menjadi Pakatan Mahathir.

47. Ditikam musuh berkali-kali, kita menjadi lali. Ditikam kawan baik sendiri walaupun hanya sekali, sakitnya terasa hingga ke ulu hati.

48. Kenapa anda berubah sejauh ini? Putrajaya yang dikejarkan itu, sudahkah anda lupa? Ia adalah bangunan yang diguna hasil perjanjian sewaan, gagasan Mahathir sendiri. Berapa banyak kerugian yang ditanggung kerajaan untuk projek berat sebelah seperti ini? Adakah anda menyebutnya lagi? Tidak. Kesemua kesalahan Mahathir telah hilang berterbangan bagaikan angin lalu, masuk ke dalam lipatan sejarah, kisah silam yang tidak akan diungkit pembangkang sampai bila-bila. 

49. Tanggungjawab saya memilih anda untuk memacu perubahan telah saya lakukan sebanyak dua kali, tanpa pernah rasa ragu.

50. Dan untuk kali, tanggungjawab saya hanya memilih calon yang boleh buat kerja, yang pasti bukanlah lagi kamu. Dan usahlah merasa bimbang, kamu punya banyak jutaan penyokong, tidak terbanding dengan saya yang satu lagi kerdil ini. Mereka akan sentiasa berada di hadapan kamu, mempertahankan kamu, menyucikan kamu, tanpa pernah rasa jemu. Dan bermula sejak saat ini langkah saya dan kamu tidak akan lagi senada.

Nota : Penulis adalah Aiman Firdaus' yang berusia 33 tahun, kakitangan swasta. Penulisan ini telah disunting, telah diedit dari segi ejaan, penggunaan bahasa, susunan bagi tujuan penyebaran di blog.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...