Ini susulan Ketua Pemuda PPBM itu menyiarkan luahan beberapa pelajar yang bingung dengan caj kenaikan mendadak itu di laman sosialnya pada 24 Januari lepas.
Beberapa luahan yang ditulis oleh pihak yang berbeza itu mendakwa;
1. Pengurangan pinjaman hanya akan diproses dalam masa 6 bulan hingga ke setahun.
2. Kenaikan kadar baru rm700 sebulan ini dikenakan pada batch yang perlu membuat pembayaran pinjaman bermula tahun Feb 2018. Batch terdahulu tidak termasuk dalam perubahan itu.
3. Sehingga diluluskan oleh pihak MARA, pihak pelajar perlu membayar pinjaman 700 sebulan sehinggalah dimaklumkan sebaliknya atau akan berdepan dengan kegagalan untuk membuat permohonan pengurangan bayaran.
Bagaimanapun selepas menyiarkan luahan-luahan tersebut dan mendapat respon pelbagai pihak, MARA kemudiannya tampil menafikan dakwaan tersebut.
"MARA menafikan dakwaan kenaikan mendadak bayaran balik pinjaman pelajaran MARA yang dikatakan meningkat dari RM100 ke RM700 sebagaimana yang tersebar di media sosial kini," kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Agensi itu turut mendakwa pelajar yang baru tamat pengajian telah menerima jadual pembayaran balik pinjaman sebelum diberi pengurangan, di mana pelajar perlu memohon untuk mendapat keistimewaan ini, katanya.
Namun penafian itu mengundang lebih banyak kritikan di laman sosial.
Dan ada yang berkongsikan bukti pembayaran balik pinjaman sememangnya telah dinaikkan, bukan cerita fitnah rekaan Syed Saddiq.
Perkara itu kemudiannya diakui sendiri oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri dalam satu kenyataan di The Malaysian Insight pada semalam.
"Sudah dibatalkan. Bayar seperti yang lama," katanya kepada wakil media portal itu.
Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan berkata tiada kenaikan bayaran pinjaman sebaliknya perkara itu masih dalam peringkat cadangan awal.
“Tiada rombakan (kenaikan), kekal (pembayaran). Hanya cadangan di peringkat pegawai. Belum pun dibawa dan diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Mara,” katanya kepada portal The Malaysian Insight.
Tindakan MARA menarikbalik keputusan mereka bagaimanapun melegakan rata-rata pelajar yang terkesan dengan polisi baru itu.
Menurut mereka, graduan yang baru tamat belajar dan perlu membayar rm700 sebulan adalah sesuatu yang bukan sahaja tidak munasabah malahan membebankan di saat ramai mahasiswa gagal mendapatkan kerja yang bersesuaian dengan kelayakan, kos sara hidup yang mahal dan harga barang yang kian naik. - 26 Januari 2018.