Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 7 Mei 2019

Jangan Tunjuk Kuasa, Ambil Aset Rakyat Jelata.

A.KADIR JASIN | Sebarang percubaan merampas atau mengambil alih dengan harga murah harta syarikat dan tabung berkaitan kerajaan (GLC/GLIC) adalah dilarang sama sekali.

Ia adalah perbuatan jahat dan khianat yang akan merosakkan matlamat pembinaan ekonomi dan pembahagian kekayaan secara sihat dan lestari.

Saya tergerak memberi amaran ini setelah dimaklumkan oleh Sime Darby Plantations Berhad (SDP) tidak berapa lama dulu dan setelah membaca laporan sebuah akhbar perdagangan berbahasa Inggeris hari ini.

Isunya adalah percubaan sebuah syarikat milik Taiwan mengambil alih dengan harga murah tanah milik SDP di Merlimau, Melaka. Boleh baca lanjut DI SINI.

SDP adalah antara anak syarikat utama Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan dengan itu adalah milik kongsi 13.8 juta Bumiputera dan bukan Bumiputera yang melabur di dalam pelbagai skim saham amanah tajaan PNB.

Sedikit sebanyak saya terlibat menyekat perbuatan ini apabila SDP memaklumkan hal ini kepada saya dan saya memohon bantuan salah seorang Ahli Majlis Kerja (Exco) Kerajaan Negeri Melaka.

Sejak itu, proses pengambilan tanah tersebut telah ditangguhkan.

Secara ringkasnya, pemodal asing ini cuba membeli dengan harga murah tanah seluas 75 hektar (185.3 ekar) milik SDP dengan “memperalatkan” kerajaan negeri supaya mengambil alih tanah tersebut menggunakan undang-undang pengambilan tanah.

Harga yang ditetapkan secara lisan ialah RM35.282 juta, yang menurut SDP adalah di bawah harga pasaran.

Peranan Media Melayu

Di peringkat ini, saya menggesa akhbar-akhbar dan saluran-saluran media berbahasa Melayu agar lebih berani membuat laporan penyiasatan dan mendedahkan tipu helah korporat seperti ini.

Apa yang membimbangkan dalam kes ini adalah dakwaan bahawa syarikat kawalan Taiwan tersebut bertindak bagi pihak bekas Yang di-Pertuan Agong merangkap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, atau menggunakan nama baginda.

Syabas kepada SDP kerana mengambil tindakan tegas dan berani memfailkan permohonan Semakan Kehakiman (Judicial Review) terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam percubaan itu.

SDP menamakan syarikat Taiwan, GIA Resources Sdn Bhd, Kerajaan Negeri Melaka, Jabatan Tanah dan Galian Melaka dan Pejabat Tanah Daerah Jasin sebagai responden.

Saya cadangkan semua GLC/GLIC mengambil tindakan tegas mempertahankan aset mereka – sama ada tanah, bangunan atau saham – daripada diambil alih secara paksa atau tipu helah oleh sesiapa jua.

Saya dimaklumkan oleh sumber-sumber SDP bahawa “orang hadapan” projek yang melibatkan pengambilan paksa tanah SDP itu adalah seorang mualaf Cina dari Singapura.

Dia dikatakan berkahwin dengan seorang perempuan Melayu dari Melaka dan rapat dengan Sultan Kelantan.

Pelabur saham amanah PNB: jangan sabotaj harta mereka
Perbuatan menyasarkan aset PNB untuk tujuan pengambilan alih murah telah berlaku pada tahun 1990-an, tetapi berjaya disekat hasil arahan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, berikutan rayuan Pengerusi PNB waktu itu, Almarhum Tun Dr Ismail Mohd Ali.

Selain PNB, saya nasihatkan GLC dan GLIC lain seperti Khazanah, Lembaga Urusan dan Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Kumpulan Wang Amanah Pesara (KWAP), bertindak tegas mempertahankan aset mereka.

Kalau ada pihak yang berminat membeli aset mereka, ia wajiblah dilakukan mengikut amalan pasaran korporat yang telus dan mengikut nilai pasaran.

Sekiranya dakwaan mengenai pembabitan Sultan Kelantan itu benar (saya harap tidak) ia sekali lagi membuktikan bahawa raja-raja tidak patut dan tidak boleh terlibat dengan perniagaan.

Apabila raja-raja atau suku-sakat mereka terlibat dengan perniagaan maka sukar atau mustahil bagi orang biasa bersaing atau mendapatkan keadilan jika berlaku pertikaian.

Kerajaan negeri pula, khususnya yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH) janganlah menjadi tali barut dan agen “merampas” aset GLC dan GLIC atau mana-mana pihak pun. Mereka wajib berpegang kepada prinsip ketelusan dan keadilan.

Wallahuaklam.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...