Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 10 Mei 2019

Setahun PH : Amanah Berjaya Mencipta Kejutan Besar..

Faeez Azahar | AKU DAN MALAYSIA BARU

Tidak tahu nak gambarkan bagaimana perasaan melainkan rasa puas apabila Barisan Nasional berjaya dijatuhkan pada setahun yang lalu. Secara peribadi, aku bangga dengan diri aku kerana telah berikan komitmen yang sepenuhnya dalam memastikan Pakatan Harapan menang dalam PRU14.

Aku tidak punya ilmu dan kelulusan yang tinggi, namun aku memanfaatkan kemahiran kerdil yang Allah kurniakan kepada aku untuk perjuangan ini. Ia perlu dimanfaatkan, berkhidmat selagi mana ia relevan dan diperlukan.

Aku membuat tindakan gila hingga terpaksa hilang mata pencarian bagi bersama-sama memencak AMANAH di persada politik Malaysia sejak di awal penubuhannya. Walaupun ramai 'bomoh' dan 'tukang telek' yang dengan yakin menganggap tidak akan kekal lama, namun aku optimis parti ini mampu berpencak di dalam area politik negara setanding dengan parti-parti besar yang pada ketika itu di sebelah oposisi.

Setahun menjelang PRU14, aku bersama rakan-rakan yang lain telah meningkatkan lagi peranan Media Oren dalam arena arus perdana. Media Oren semakin dilihat dan mengusai media baharu dan dilihat menjadi medium paling berperanan membawa mesej Pakatan Harapan pada ketika itu. Setiap bahan yang kami keluarkan pasti ada target dan mesej yang tertentu, bukan sekadar hanya asal ada sahaja.

Berbekalkan dana hasil pencarian sendiri, Media Oren terus mengorak langkah melalui team yang kecil mengusai media baharu terutama FB Live yang mana kami membawakan secara langsung program-program Pakatan Harapan. Sehinggakan Tun Dr Mahathir memberikan kepercayaan mengendalikan program Policy Talk yang berlangsung setiap minggu secara langsung melalui Facebook.

Sebaik sahaja Perdana Menteri pada ketika itu mengumumkan pembubaran parlimen, aku terus memberikan khidmat sepenuhnya kepada parti khususnya media oren dalam merencana strategi menarik sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan. Aku mendapat sokongan yang padu daripada isteri tersayang yang sentiasa memahami dan memberi sokongan kepada aku.

Di sebuah bilik kecik di Wisma Amanah Negara di Kuala Lumpur menjadi pusat kami bekerja, tetapi kami tidaklah selalu berada disana kerana kami terpaksa keluar ke medan bagi menjayakan propaganda kami. Seluruh negara kami perlu turun membuat liputan secara langsung program Jelajah Pakatan Harapan. Di ceruk mana pun kami turun untuk semarakkan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan.

Dan di dalam masa yang sama, aku perlu membahagi masa menyiapkan bahan kempen semua calon AMANAH di negeri Perak. Poster, flyers, banner, banting, billboard dan sebagainya terpaksa aku tekuni satu persatu. Ia bukanlah satu perkara yang mudah, memerlukan penelitian agar setiap bahan itu mesejnya sampai kepada masyarakat. Aku berulang banyak kali balik ke Perak untuk menyiapkan tugas itu.

Alhamdulillah, peranan Media Oren pada ketika itu semakin menjadi perhatian dan peranan yang sangat besar. Tontonan live kami tidak lagi ratusan dan ribuan, tetapi mula mencecah puluhan ribu bagi setiap live yang kami siarkan. Media Oren pada ketika itu menjadi sumber rujukan utama di media sosial.

Tontotan yang diluar jangkaan ini telah menimbulkan kegusaran BN hingga menuduh kami memanipulasi jumlah tontonan. Satu perkara yang tidak masuk akal, tetapi tuduhan lucu itu telah dilakukan oleh pemimpin Umno pada ketika itu.

Semasa hari penamaan calon, Media Oren ditugaskan untuk membuat liputan di Langkawi iaitu parlimen yang di tandingi oleh Pengerusi Pakatan Harapan yang juga calon Perdana Menteri Malaysia. Pada ketika itu aku agak terkilan kerana tidak berkesempatan mengiringi ke KLIA menghantar mak abah aku yang mengerjakan ibadah umrah. Namun Alhamdulillah, mak abah aku sangat memahami komitmen aku.

Sehari sebelum hari pengundian, aku pulang ke Perak untuk persiapan tugasan di hari pengundian. PRU14 adalah kali pertama aku layak untuk mengundi. Seawal pagi aku dan isteri yang pada ketika itu sarat mengandung telah pergi ke pusat pengundian. Semasa aku beratur, aku dapat berjumpa sahabat-sahabat yang sebaya dengan aku. Mereka juga adalah pengundi pertama.

Aku tidak nampak tanda-tanda yang ketara sokongan mereka kepada Pakatan Harapan, mereka mengambil sikap bersederhana dan hanya menatijahkan undi mereka di dalam kertas undi. Sebaik sahaja mengundi, aku mengambil sedikit masa untuk meraih undi di pondok panas Pakatan Harapan. Bersebelahan kami adalah pondok panas Pas, sempatlah jumpa sahabat-sahabat lama. Kami berbual dengan penuh harmoni.

Selepas itu, aku bergegas ke Wisma Amanah Perak untuk mengumpul maklumat dari semasa ke semasa kerusi yang di tandingi oleh AMANAH. Harapan kami sangat sederhana tetapi optimis dengan kemampuan AMANAH untuk melakar sejarah. Selepas tamat waktu mengundi, kami telah udpate dari semasa ke semasa undi yang diperoleh oleh calon AMANAH.

Alhamdulillah, satu persatu keputusan positif yang kami peroleh disamping keputusan semasa di peringkat persekutuan. Antara yang mengujakan aku ialah kemenangan besar Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dengan majoriti lebih 70 ribu. Selepas itu kami dimaklumkan banyak nama besar di dalam AMANAH turut memenangi kerusi masing-masing.

Kira-kira jam 11.00 malam, kami mendapat keputusan rasmi yang pertama untuk Dun di Perak yang mana Pengerusi AMANAH Perak, Haji Asmuni Awi berjaya memenangi Dun Manjoi menewaskan calon BN dan Pas. Pada ketika itu, kami bersama Haji Asmuni berada di Wisma AMANAH Perak menunggu keputusan daripada wakil-wakil parti di pusat kiraan undi. Kami bersorak girang hingga tidak sedar linangan air mata tanya syukur.

Aku dan Haji Asmuni serta anggota ARiF bergegas ke pusat kiraan undi selepas dimaklumkan secara rasmi kemenangan AMANAH di Dun Manjoi. Lebih menggembirakan, kami dikhabarkan Pakatan Harapan sapu bersih semua kerusi di Parlimen Tambun.

Dalam masa yang sama, kami terus menunggu maklumat keputusan di Dun lain. Alhamdulillah, AMANAH mendapat kerusi yang kedua iaitu Dun Sungai Rapat apabila Dato' Seri Nizar Jamaluddin berjaya menang di kerusi tersebut. Selepas itu, aku mendapat maklumat yang paling menggembirakan apabila sahabatku, Hasnul Zulkarnain berjaya mencipta kejutan besar memenangi Dun Titi Serong.

Pada masa itu, Tun Dr Mahathir telah mengumumkan bahawa Pakatan Harapan telah berjaya mengambil alih pentadbiran Malaysia biarpun pada ketika itu SPR masih gagal untuk mengumumkan secara rasmi. Namun Pakatan Harapan telah menyatakan keyakinan bahawa BN telah berjaya di tumbangkan.

Kami di Perak pula masih gusar sama ada mampu atau tidak untuk mendapat kerusi yang majoriti. Mana tidaknya, kami dimaklumkan PPBM pada ketika itu memaklumkan kepada kami bahawa mereka tidak mendapat keputusan yang membanggakan, hanya satu kerusi sahaja menang daripada 15 kerusi yang ditandinginya. Keadilan pula gagal mempertahan Dun Kuala Sepetang, tetapi berjaya merampas Dun Hulu Kinta. DAP pula solid menang semua kerusi Dun iaitu 18 kerusi.

Alhamdulillah, satu persatu keputusan positif kami terima selepas itu yang mana kami berjaya memperoleh tiga lagi kerusi Dun iaitu Kamunting, Behrang dan Pasir Panjang. Lebih manis Dr Mujahid berjaya mempertahankan kerusi Parit Buntar manakala Dr Hatta Ramli mencipta kejutan di Lumut.

Satu keputusan yang sangat membanggakan aku, AMANAH berjaya menang separuh daripada kerusi yang di tandingi. Walaupun ditakdirkan bertanding sedikit, tetapi AMANAH di Perak telah menzahirkan kemampuan yang sebenar.

Alhamdulillah Adun-Adun dan pimpinan Pakatan Harapan terus bergegas ke sebuah hotel untuk membuat sidang media bahawa Pakatan Harapan telah memenangi kerusi terbanyak. Di hotel itu kami bertemu semua kepimpinan, jentera dan pemdokong yang setia. Kami bersorak kegembiraan apabila berjaya mencoret sejarah baharu Malaysia.

Episod dan drama politik di Perak sangat rencam dan unik, tidak terhenti pada malam itu sahaja. Namun cukuplah aku menceritakan sedikit sebanyak perjalanan yang aku lalui hingga malam tarikh ini pada tahun lalu....

Selamat Ulangtahun kematian kleptokrat!

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...