Sabtu, 3 November 2018

Nelayan, Pekebun Bersedih Belanjawan 2019 Meminggirkan Golongan Itu. #Belanjawan2019.

THE MALAYSIAN INSIGHT | PEKEBUN dan nelayan kecewa dengan Belanjawan 2019 apabila masalah mereka berhubung kejatuhan harga kelapa sawit dan kesukaran menangkap ikan seperti tidak diberi perhatian oleh kerajaan.

Pekebun sawit di Batu Pahat, Idris Miskan, 38, berkata mereka mengharapkan kerajaan dapat mengambil inisiatif untuk menaikkan harga kelapa sawit yang sedang mengalami kejatuhan sangat teruk, dan bukannya mengumumkan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sebenarnya berkala.

Katanya, tindakan kerajaan meneruskan BSH dirasakan seperti cubaan untuk meraih sokongan rakyat sedangkan pada masa yang sama kerajaan seolah-olah gagal memahami isu sebenar yang mereka hadapi.

“Kita tahu banyak isu melibatkan kerajaan baru, ini caranya untuk mereka beli jiwa rakyat. Bagi BHS tapi banyak lagi yang turun.

“Kita ambil contoh, sejak kerajaan Pakatan Harapan ambil alih, harga kelapa sawit terus jatuh merudum. Kali terakhir RM480 masa Najib masih perdana menteri, kemudian terus jatuh sehingga sekarang RM300. Trend tidak menunjukkan sebarang kenaikan.

“Dengan BHS ini kalau nak tampung, apalah sangat. Lebih baik harga sawit yang naik. Kami pekebun ini sedap sikit nak hidup,”
katanya kepada The Malaysian Insight.

Pendapat sama dikongsi Emmy Hazrul, 33, yang mencari makan dengan berkebun selepas dibuang kerja pada Mei lalu.

Emmy mendakwa, akibat harga kelapa sawit yang turun sehingga RM280 setan, ada pusat pengumpulan kelapa sawit yang tidak lagi dibuka kerana kilang tidak lagi mahu menerima komoditi itu.

“Minggu lepas pusat pengumpulan tutup, katanya kilang tidak mahu terima. Jadi kita hendak tolak kelapa sawit ini ke mana?

“Ingat dalam bajet ini adalah usaha kerajaan untuk bantu. Tetapi kita tidak nampak apa pun,”
katanya yang menetap di Kuala Selangor.

Bagi Zulkarnain Sidek, 27,nelayan di Sungai Besar, beliau sebenarnya berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan untuk golongan sepertinya membeli peralatan menangkap ikan di laut.

Kata Zulkarnain, beliau kecewa dalam pembentangan Belanjawan 2019 selama dua jam semalam yang bukan sahaja langsung tidak menyebut peruntukan untuk nelayan, malah bantuan yang diberikan selama ini pun tidak diteruskan.

“Saya rasa tak patutlah. Kalau cuaca buruk seperti ribut atau musim hujan nelayan tak boleh keluar. Kalau sebelum ini ada elaun sara hidup RM300, orang kata untunglah jadi nelayan. Tapi sebenarnya tampung serba sedikit,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Dengan pekerjaan sebagai nelayan, kata Zulkarnian, mereka tidak mempunyai keupayaan untuk membeli peralatan yang nilai puluhan ribu ringgit.

Katanya, disebabkan sesetengah nelayan tidak mampu, mereka terpaksa menggunakan peralatan yang lusuh untuk menangkap ikan.

“Harga membeli peralatan bernilai berpuluh ribu ringgit. Benda itu nak beli tak boleh buat hutang. Bayar secara tunai.

“Kalau nak bagi peruntukan, perlu cari yang betul-betul layak. Memang ada yang dapat bantuan daripada pusat zakat untuk beli sampan atau bot tapi dijual kepada pihak lain,”
katanya yang bekerja sebagai nelayan sejak sembilan tahun lalu. - 3 November 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...