Mekanisme yang akan digunapakai oleh kerajaan adalah seperti berikut;
Mulai Januari 2019:
• Isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000;
• Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 akan menerima bantuan berjumlah RM750; dan
• Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima bantuan berjumlah RM500.
Selain itu Pakatan Harapan juga memperkenalkan satu jenis bantuan baru yang dikhususkan bagi anak-anak yang berusia 18 tahun ke bawah untuk kumpulan B40.
Setiap anak-anak ini akan menerima bantuan rm120 setahun dan hanya tertakluk untuk 4 orang anak sahaja bagi setiap isi rumah.
"Selain itu, Kerajaan akan memperkenalkan kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada 4 orang, kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur mereka.
Sebagai contoh, sekiranya isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 ke bawah dan mempunyai 4 orang anak, maka jumlah BSH yang akan diterima adalah sebanyak RM1,480.
Ini adalah lebih banyak daripada jumlah BR1M sedia ada sebanyak RM1,200.
Oleh itu, dianggarkan sebanyak 4.1 juta isi rumah akan terus menerima bantuan kewangan daripada Kerajaan dengan peruntukan RM5 bilion," kata Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat semalam.
Pengumuman terbaru itu juga sekaligus mengesahkan penghapusan pemberian BR1M bujang kepada mereka yang berusia 21 hingga 30 tahun.
BR1M bujang pertama kali diperkenalkan kerajaan pada tahun 2013. Ketika itu bayaran sebanyak RM250 diperuntukan kepada anak muda. Bayaran itu kemudiannya dinaikkan secara berperingkat sehingga mencapai RM450 pada tahun 2018.
Berdasarkan semakan, setakat ini kerajaan belum lagi membuka permohonan kepada orang ramai. Samada yang baru hendak memohon ataupun mengemaskini pendapatan/status terkini masing-masing.
Perkara itu dijangkakan akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat. - 3 November 2018.