Sabtu, 12 Mei 2018

Rancangan Najib, Rosmah Untuk Bercuti Ke Indonesia Gagal Selepas Tak Dapat Naik Kapal Terbang.

Dikemaskini : 12.19 tengahari.

Semalam tular laporan dan tangkaplayar yang memaparkan jadual penerbangan Najib Razak bersama isterinya Rosmah Mansur ke Indonesia yang sepatutnya berlepas pada jam 10 pagi hari ini.

Laporan itu datang dengan spekulasi yang Najib dan Rosmah mahu melarikan diri namun satu tweet dari Najib menjelaskan yang beliau sebenarnya ingin bercuti dan menghabiskan masa bersama ahli keluarga selepas lama tidak berbuat demikian kerana kesibukan kerja.


Untuk rekod, sebelum pilihanraya umum ke 14, Najib beberapa kali ke luar negara bersama isteri dan anak-anaknya termasuklah anak tirinya yang bernama Riza Aziz. Mereka dilihat ke Amerika, China dan beberapa negara lain terutamanya tahun 2016 dan 2017.

Selain bercuti, Najib juga dilihat sering mengangkut ahli keluarganya dalam urusan rasmi yang membabitkan program kerajaan di seluruh Malaysia. 

Bagaimanapun penerbangan itu dibatalkan pada saat akhir. Laporan dari Sinar Harian mengesahkan penerbangan dibatalkan atas faktor keselamatan namun BERNAMA melaporkan Najib dan Rosmah sebenarnya telah 'diblacklist' dari sistem imigresen yang menghalang mereka untuk ke luar negara.


"Jabatan Imigresen sahkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Isteri Datin Seri Rosmah Mansor disenarai hitamkan dari keluar negara," memetik laporan Bernama.

Sinar Harian pula yang memetik sumber polis berkata, ini kerana terdapat ramai individu berkumpul di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah sejak awal pagi tadi.

"Ini adalah faktor keselamatan dan kehadiran ramai orang di sini pagi ini.

"Kami masih perlu memastikan keselamatan kepada semua individu. Rakyat ketika ini masih beremosi dan kami tidak akan membenarkan orang awam mengambil tindakan membelakangi undang-undang," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian sebentar tadi.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Najib dan Rosmah telah disenaraihitamkan oleh sistem imigresen ketika membuat semakan online yang menggunakan proksi luar negara namun Jabatan Imigresen menafikan hal berkenaan melalui Ketua Pengarah Imigresennya.

Semakan kedua kemudiannya dibuat dan mendapati larangan keluar negara telah ditarikbalik dan nama Najib dan Rosmah 'clear' untuk kemana sahaja.

Tidak dapat dipastikan kenapa terdapat perbezaan laporan dari beberapa portal berita setakat ini.


Najib pula dalam satu kenyataan terbarunya di Twitter mengesahkan larangan untuk ke luar negara. - 12 Mei 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...