Rabu, 9 Mei 2018

PAS Nafi Tarik Diri Di DUN Rantau Untuk Menangkan BN, Jawapan Kepada Wan Azizah.

PAS menafikan tuduhan dan fitnah yang dibuat Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail, kononnya parti itu sengaja menarik diri daripada bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Negeri Sembilan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, parti itu tidak pernah berhasrat meletakkan calon mereka di kawasan berkenaan sejak awal lagi untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), selepas menilai potensi, kebolehan serta kekuatan PAS untuk menang di kawasan itu.

 

“DUN Rantau memang tidak termasuk dalam senarai kawasan yang kita ingin bertanding. Dan sepatutnya inilah ruang terbaik Pakatan Harapan masuk,” katanya kepada Ismaweb.net.

DUN Rantau mempunyai pengundi Melayu seramai 54 peratus; Cina (19 peratus); India (27 peratus) dan kaum lain (satu peratus). Bagaimanapun, mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PAS turut meletakkan calon di kawasan yang majoriti pengundi Melayu lebih rendah daripada kaum Cina.

Antaranya ialah di DUN Jementah di kawasan Parlimen Segamat apabila PAS meletakkan calonnya menentang dua calon daripada PKR dan Barisan Nasional (BN), sedangkan pecahan pengundi ialah Melayu 40 peratus, Cina (51 peratus), India (lapan peratus) dan kaum lain (satu peratus).

Begitu juga PAS meletakkan calonnya bertanding di DUN Kota Darulaman di Kedah, walaupun pengundi Melayu hanya 33 peratus, berbanding Cina 60 peratus dan India (tujuh peratus) dan kaum lain (satu peratus).

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim bagaimanapun tidak setuju terhadap apa yang berlaku kepada calon PKR pada hari proses penamaan calon di DUN Rantau.

Tuan Ibrahim menyifatkan tindakan pihak polis menyekat calon parti terbabit hanya semata-mata tiada pas SPR, tidak sepatutnya berlaku.

“Pas itu pas calon, pas calon hanya ada bila seorang calon menghantar borang mereka. Bila terima borang baru dianggap sebagai calon.

“Ada kawasan yang diberikan pas lebih awal, ada yang setelah menyerahkan borang. Namun, tindakan menyekat calon itu sememangnya satu tindakan tidak betul,” katanya.

28 April lalu, calon PKR DUN Rantau, Dr S Streram tidak dibenarkan masuk ke Dewan Sri Rembau untuk menghantar borang pencalonan kerana tidak memiliki pas khas yang dikeluarkan SPR.

Ia sekali gus menyaksikan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa bertanding dan mempertahankan kerusi yang didudukinya untuk penggal keempat.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, tuduhan Wan Azizah bahawa PAS menarik diri bertanding di Rantau sebagai satu fitnah, dan seolah-olah menyalahkan parti itu kerana tidak meletak calon di kawasan berkenaan.

“Saya ingin bertanya kepada Wan Azizah dan mewakili semua dalam PKR. Di tempat yang calon PKR tidak boleh bertanding, apa ‘stand’ PKR? Apakah mereka nak suruh ahlinya sokong BN atau PAS?

“Kita harap di sini ruang terbaik rakyat lihat dan mengharapkan seluruh penyokong bersama PAS bagi menumbangkan UMNO, BN. Tetapi setakat ini tiada sebarang arahan dibuat yang menyebabkan ahlinya mungkin tidak keluar mengundi dan sebagainya,”
katanya.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...