Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 7 Mei 2018

Pandangan Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad Dalam #GE14.

Ketika ini di laman sosial, cybertroopers Barisan Nasional telah menyebarkan kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad mengenai pemerhatian dan analisisnya dalam pilihanraya umum ke 14.

Tidak dapat dipastikan samada kenyataan itu sahih ataupun rekaan semata setakat ini.

Berikut adalah kenyataan yang tular itu;

Oleh : Tun Abdul Hamid Mohamad
 
Saya bukanlah peminat ucapan-ucapan ahli politik tempatan, apatah lagi di musim pilihan raya. Ini kerana, pertama, saya tidak suka cara mereka menjerit-jerit, seolah-olah suara siapa yang paling kuat dialah yang betul. Saya teringat firman Allah dalam Surah Luqman ayat 19 yang bermaksud “….dan sederhanakanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai.”





Kedua, saya tidak tertarik dengan apa yang dikatakan mereka yang penuh dengan kata mengata, kutuk mengutuk, tuduh menuduh dan apa sahaja yang tidak baik mengenai lawan politik semasa mereka.

Jika kita mengharapkan “golongan ulama” untuk menunjuk teladan yang berlainan, kita akan kecewa. Mereka juga serupa.

Jika hendak mendengar apa yang tidak baik, dengarlah ucapan ahli politik di musim pilihan raya. Jika kita menerima semua yang dikatakan oleh mereka, penyudahnya ialah mereka membuktikan bahawa mereka semua, tidak kira parti apa, adalah sama, seperti yang mereka katakan.

Tetapi, sekali-sekali saya membuka juga youtube untuk melihat apa yang dinaikmuatkan. Mengenai sambutan orang ramai kepada ceramah Pakatan Harapan, di peringkat awal, ia cuma menunjuk penceramah dan tidak ditunjuk pendengarnya. Tetapi, di kebelakangan ini, terutama sekali jika penceramah itu Tun Dr Mahathir dan Mat Satu, ia menunjukkan pendengar yang puluhan ribu orang.

Kemudian, kebetulan saya terlihat seorang aktivis NGO yang saya tidak tahu namanya dan dari petubuhan mana dalam lingkungan umur awal 40an. Jika tidak silap dia berkata dialah yang melawan Khairy Jamaluddin dalam PRU13 dan mengurangkan majoritinya daripada lebih daripada 20,000 kepada lebih kurang 3,000. Kali ini dia berkempen bagi pihak BN.




Semasa membuat satu kenyataan akhbar di Langkawi, antara lain, katanya, “Hari Tun Dr Mahathir datang ke Langkawi, jeti dan lapangan terbang Langkawi sibuk.” Ertinya orang luar banyak datang.

Saya bertanya seorang orang Langkawi, penyokong BN, “Yang ramai pi dengar ucapan Tun Dr Mahathir tu orang Langkawi atau orang luar?”. Jawabnya, “Depa impot dari luar pun banyak.” “Penuh menginap kat (di) Pantai Cenang.”

Kemudian, saya terlihat pula youtube Tun Dr Mahathir berceramah di Putrajaya. Kelihatan beribu orang yang hadir, hampir kesemuanya lelaki, berumur 20an atau awal 30an, memakai baju T tanpa kolar dan seluar jeans, masing-masing membawa colok dan menjerit “reformasi” semasa Tun Dr Mahathir berucap.

Bagi saya, itu bukan rupa dan sifat orang Putrajaya. Orang Putrajaya adalah penjawat awam, kebanyakannya dalam lingkungan 40an. Jika mereka pergi untuk mendengar ucapan Tun Dr Mahathir pun, saya percaya mereka akan memakai baju kemeja atau, sekurang-kurangya, baju T berkolar, tidak membawa colok, mendengar diam-diam, apatah lagi menjerit “reformasi”.

Saya terus berpendapat bahawa mereka itu adalah penyokong atau orang upahan yang dibawa dari luar. Selain daripada apa yang saya telah sebutkan, rupa dan bentuk badan mereka adalah seperti pekerja binaan Indonesia. Ini selaras dengan kenyataan Dato Seri Najib bahawa pada malam itu berpuluh-puluh buah bas membawa orang luar masuk ke Putrajaya.

Orang-orang itu nampak seperti orang-orang yang sama dengan orang-orang yang menunjuk perasaan semasa Dato Seri Anwar dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah buat kali pertama dan mengambil bahagian dalam tunjuk-tunjuk perasaan anjuran PKR dulu. Mereka bukanlah ahli PPBM, AMANAH apatah lagi DAP yang tentu sekali tidak akan menjerit “reformasi” dan rupa orang Cina (DAP) juga tidak nampak. “Reformasi” adalah cogankata PKR apabila ia ditubuh, bukan cogankata PPBM, Amanah atau Pakatan Harapan. Lebih pelik lagi, ia dilaungkan semasa Tun Dr Mahathir berucap!

Tun Dr Mahathir pula nampak seperti orang yang sudah buang tabiat. Beliau membuat pusingan U dalam banyak perkara yang dilakukannya dahulu. Dulu beliau menggunakan UMNO dan orang Melayu sehingga beliau dilantik menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri selama lebih dari dua puluh tahun. Sekarang beliau bukan sahaja hendak menjatuhkan Dato Seri Najib, malah hendak menghancurkan UMNO. Beliau juga sudah tidak peduli kepada orang Melayu.

Beliau berkata beliau akan reform Badan Kehakiman. Sebenarnya beliaulah Perdana Menteri pertama yang campur tangan dalam kenaikan pangkat hakim. Sebelumnya, ia mengikut kekananan. Di samping itu, sudah lupakah kita kisah penyingkiran Tun Salleh Abas? Sekarang, beliau telah pun berkata beliau akan melakukannya semula, jika menjadi Perdana Menteri sekali lagi. Dalam hal ini beliau konsisten?

Dulu beliau memusuhi dan menyingkir Dato Seri Anwar Ibrahim. Sekarang beliau melutut kapadanya dan menggunakan logo PKR untuk melawan UMNO dan menjadi Perdana Menteri sekali lagi. Siapa menunggang siapa akan kelihatan kemudian.

Dulu beliau mengutuk DAP dan Lim Kit Siang. Sekarang mereka menjadi rakan seperjuangan hingga DAP sanggup membuang logo roketnya. Sekali lagi, siapa akan menunggang siapa akan dapat dilihat kemudian.

Apa yang nyata, dulu DAP yang mahu bilangan penjawat awam dikurangkan setengah. Serang Tun Dr Mahathir yang berkata demikian. Sudah lupakah beliau bahawa penambahan besar tentu telah berlaku semasa pemerintahan beliau selama lebih daripada dua dekad itu? Tidakkah beliau sedar beratus-ratus ribu yang akan dibuang dan menganggur itu adalah orang Melayu? Jika termasuk polis dan tentera, berjuta orang Melayu akan menganggur. Setakat ini pun kita sudah nampak siapa menunggang siapa.

Dulu Tun Dr Mahathir mengutuk Mat Sabu. Sekarang mereka sudah menjadi rakan seperjuangan, malah seolah-olah Mat Sabu adalah mentor Tun Dr Mahathir sekarang. Perhatikan bahasa dan perkataan-perkataan yang digunakan oleh Tun Dr Mahathir sekarang. Ia menyerupai bahasa dan perkataan-perkataan yang keluar dari mulut Mat Sabu dulu dan sekarang. Cuma Mat Sabu menjerit tetapi Tun Dr Mahathir tidak. Jika beliau hendak menjerit pun beliau sudah tidak ada tenaga lagi dan kesihatannya pun tentu tidak mengizinkanya lagi.

Sedikit mengenai Datin Seri Dr Wan Azizah. Jika beliau hendak menjadi Perdana Menteri, nasihat saya ialah buangkanlah kipas kertas itu dan berjalanlah dengan tegak supaya nampak lebih assertive dan confident. Janganlah nampak seperti pelakon opera Cina yang lengkap dengan kipasnya. Entah apa yang hendak dikipas atau adakah beliau cuba menutup mukanya kerana malu. Biar apa pun alasannya, jika hendak menjadi Perdana Menteri, kipas itu kena buang terlebil dahulu. Itu pun, saya masih tidak dapat membayangkan bagaimana beliau akan menjadi Perdana Menteri. Beliau bukanlah “material” untuk jawatan itu.

Sama-samalah kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku pada 9 Mei 2018. Jangan salah ibu mengandung.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...