Rabu, 9 Mei 2018

MTUC Nafi Seru Undi #PakatanHarapan #GE14.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tegas dengan pendiriannya menyokong teguh Barisan Nasional (BN) di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor, berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan menggesa 14 juta pekerja di negara ini menyokong pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) esok.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan J Solomon atas kapasiti sebagai Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) tiada kaitan dengan MTUC.




“Saya sudah melihat kenyataan Solomon itu. Ia sebenarnya sudah dimanipulasi oleh portal dalam talian pro pembangkang, yang seolah-olah mahu melaga-lagakan hubungan sesama ahli MTUC dengan kerajaan.

“Malah, dalam kenyataan yang dikeluarkan itu, Solomon tidak menyebut pun beliau mewakili MTUC, sebaliknya ia dibuat atas kapasiti NUBE.

“Jika hanya untuk NUBE yang mempunyai kira-kira 20,000 ahli, beliau bebas membuat sebarang kenyataan kerana bukannya mewakili MTUC yang mempunyai gabungan 200 kesatuan dengan keahlian 14 juta orang,”
tegasnya kepada NSTP, hari ini.

Beliau menegaskan demikian ketika dihubungi bagi mengulas kenyataan Solomon yang dilaporkan portal dalam talian hari ini yang mengajak pekerja di negara ini mengundi pembangkang untuk menukar kerajaan dengan alasan mereka ditindas.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, mengikut polisi, apa saja kenyataan rasmi dibuat atas nama MTUC perlu mendapat kelulusan Majlis Am MTUC dan tidak boleh dibuat tanpa persetujuan keseluruhan kira-kira 200 kesatuan gabungan.

“Dalam kes ini, kenyataan dibuat Solomon itu adalah berkenaan NUBE, membabitkan pertikaian di antara majikan dan undang-udang, malah perkara itu tidak boleh diselesaikan oleh mana-mana kerajaan yang memerintah pun.

“Jadi, pada pandangan saya, taktik yang digunakan portal berita terbabit adalah untuk mempopularkan kenyataan itu iaitu daripada menggunakan kapasiti Solomon sebagai Setiausaha Agung NUBE yang kecil, lebih baik mereka gunakan jawatan sama beliau dalam MTUC yang lebih besar,”
katanya.


Sumber : Berita Harian

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...