Sabtu, 10 Mac 2018

Pilih PAS Jika Mahu Selesai Masalah Kos Sara Hidup - TG. Hadi Awang.

Oleh : Malaysiakini

PAS percaya parti itu dapat menyelesaikan isu kos sara hidup yang menekan rakyat ketika ini jika parti itu diberi kepercayaan menjadi kerajaan nanti.



Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS memperkenalkan beberapa aspek Islam dalam manifesto mereka untuk ditawarkan kepada rakyat pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Katanya PAS sudah membuktikan kemampuan mereka membawa penyelesaian masalah seperti sedang ditunjukkan di Kelantan serta "pernah" di Terenganu dan Kedah.

"(Ia) dapat dilihat oleh rakyat dengan insaf dan sedar supaya memberi peluang kepada Islam untuk memerintah dan mentadbir, termasuk untuk mengendalikan urusan kehidupan rakyat yang berkait dengan sara hidup mereka," katanya semasa sesi siaran langsung di Facebook semalam.

PAS memasuki PRU ke-14 dengan percaturan Gagasan Sejahtera dan menyasarkan untuk meletakkan calon di sekurang-kurangnya 130 kerusi parlimen.

Abdul Hadi sendiri mengesahkan parti itu yakin mampu membentuk kerajaan melalui penguasaan majoriti mudah di Dewan Rakyat, atau menyertai parti lain bagi menubuhkan kerajaan baru selepas PRU ke-14.

Untuk rekod ketika ini parti yang terbesar menguasai Dewan Rakyat ialah Umno yang memenangi 88 daripada 121 kerusi yang ditandingi.

Kesan kesilapan manusia

PAS mengetuai kerajaan negeri di Kelantan sejak PRU kelapan yang diadakan pada 1990. Bagaimanapun ketika itu mereka bekerjasama dengan parti serpihan Umno, Semangat 46, yang dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah.

PAS juga diberi kepercayaan oleh pengundi Terengganu mentadbir negeri berkenaan pada PRU ke-10 dan Abdul Hadi dilantik menjadi menteri besar.

Namun PAS kalah teruk pada PRU berikutnya apabila hanya memenangi empat daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Kos sara hidup antara isu paling kerap dikeluhkan oleh orang ramai sejak akhir-akhir ini dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) didakwa menjadi antara puncanya.

Bagaimanapun kerajaan bertegas memberitahu keadaan ekonomi adalah baik.

Kata Abdul Hadi dalam sistem ekonomi Islam ada satu faktor yang kadang-kadang tidak diyakini manusia, iaitu keberkatan.

Katanya aspek itu tiada dalam teori ciptaan manusia.

Masalah kos sara hidup berlaku apabila wujud keadaan tidak seimbang di antara pendapatan dan perbelanjaan.

"Sebenarnya Allah SWT menyediakan rezeki yang cukup kepada manusia, bermula daripada rezeki roh dan jasad mereka (kemudian) diberi kepada mereka akal fikiran yang wajib diisi dengan panduan agama supaya berakhlak dengan akhlak yang mulia.

"(Selain itu) bertimbang rasa antara satu sama lain, diisi dengan ilmu dan akhlak. Termasuk rezeki (ialah) kehidupan yang berkait dengan makanan, kediaman, kemudahan untuk bergerak ke sana ke mari dengan sumber-sumber rezeki yang cukup di atas muka bumi.

"Sekiranya manusia dapat menyempurnakan petunjuk Allah dengan cara yang sebaik-baiknya, rezeki yang cukup itu tidak menjadi masalah kepada mereka.

"Apa yang berlaku (jika timbul) masalah, menandakan kesilapan manusia sendiri yang perlu dibetulkan,"
katanya.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...