Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 14 Mac 2019

Inisiatif Terengganu Bebas Asap Rokok & Kempen Bersih 2019.

SEBARAN MEDIA | INISIATIF TERENGGANU BEBAS ASAP ROKOK DAN KEMPEN TERENGGANU BERSIH

1. Sebuah program latihan "Training of Trainers, Terengganu Bebas Asap Rokok dan Terengganu Bersih" telah berlangsung pada hari ini - 9 Mac 2019 di TD 1303. Program ini telah mendapat sokongan penuh dan dirasmikan YB Ahli Parlimen Kuala Terengganu. 




2. Program ini telah melibatkan sesi ceramah bagi meningkatkan pengetahuan peserta dan sesi praktikal di kawasan Batu Buruk yang melibatkan penyebaran brosur bagi menambahkan kesedaran pengunjung, kutipan puntung rokok dan sampah serta diakhiri dengan "flashmob".

3. Pada kali ini, program telah dihadiri oleh peserta dari pelbagai NGO termasuk PAPISMA, Majlis Belia Kuala Terengganu, i-Medik, Terengganu Bersih, serta staf dari Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

4. Sesungguhnya, Inisiatif Terengganu Bebas Asap Rokok ini telah bermula sejak diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu pada 19 Februari 2014, dengan diwartakan Jalan Haji Busu, Jalan Persinggahan, Jalan Kelab Kerajaan dan Pantai Batu Buruk sebagai kawasan Bebas Asap Rokok seperti dalam peta P.W. 1009 pada 1 Julai 2017.




5. Usaha pewartaan kawasan bebas rokok adalah usaha yang telah berlangsung di Melaka, Kelantan, Pulau Pinang selain melibatkan usaha peringkat antarabangsa seperti di New York (USA), Hillsborough (United Kingdom), Luang Prabang (Laos), Davao City (Filipina) dan Tobacco Free Singapore.

6. Umum telah mengetahui keburukan rokok yang boleh menyebabkan kanser paru-paru, kanser tekak, kanser usus, kanser pangkal rahim, leukemia dan sakit jantung malah ia juga mendatangkan kesan negatif pada ekonomi dan juga sosial dalam masyarakat dan negara.

7. Ia juga menimbulkan isu kebersihan kerana puntung rokok adalah diperbuat dari Cellulose Acetate yang apabila dibuang merata-rata bukan sahaja mengotorkan bahkan memakan masa berdekad lamanya untuk reput. Sebelum ini beberapa siri "plogging" telah dijalankan oleh Kempen Terengganu Bersih sebagai usaha meningkatkan kebersihan di Kuala Terengganu.

8. Maka, dengan demikian pihak YB Ahli Parlimen Kuala Terengganu menyokong penuh usaha penganjur program iaitu PAPISMA dan Terengganu Bersih, serta menyeru semua agensi kerajaan dan masyarakat turut bersama mendokongnya.

YB HJ AHMAD AMZAD BIN MOHAMED @ HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...