Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 10 Disember 2018

Menteri Cari Pasal, Pakatan Tanggung Padah.

Zainal Rashid Ahmad |BERADA dalam perhimpunan anti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) satu pengalaman baharu sejak Pakatan Harapan (PH) berkuasa.

Ketika sampai di depan Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman pada 10.40 pagi, Perhimpunan ICERD atau Perhimpunan Ummah ini hanya terasa hanya suam-suam kuku. Jumlah yang hadir waktu itu, hanya sekitar 10,000 sahaja.


Namun, setiap sepuluh minit waktu bergerak, angka peserta naik mendadak. Menjelang 1.00 tengahari, di semua spot berkumpul, termasuk Masjid Negara, Masjid Jamek dan sekitar Dataran Merdeka - jumlah kepadatan manusia padat mendadak.

Sekitar 150,000 demonstran sudah siap sedia memulakan perarakan. Suasana jadi makin membara ketika lebih 30,000 manusia membina saf solat Zohor di depan Sogo sebelum perarakan bermula.

Walaupun sebagai wartawan yang bertugas melapor dan sekaligus mengendalikan pergerakan empat pasukan pelapor di lokasi strategik, saya juga berdiri di celah puluhan ribu demonstran di Jalan Tunku Abdul Rahman sebagai manusia biasa.

Ia lokasi pilihan tetap, setiap kali saya turun melaporkan mengenai perhimpunan awam di negara ini. Sejak era Reformasi 1998. Namun, hari ini, fikiran dan perasaan terasa lebih matang.

Saya terlatih berada dalam demonstrasi awam sejak menyaksikan Perhimpunan Bersih 1 pada 2007. Saya juga berada di lokasi yang sama hingga Bersih 5 pada 2016.

Jiwa wartawan dan perasaan seorang manusia serta harga diri sebagai rakyat Malaysia sentiasa bercampur baur. Perasaan ini mempengaruhi tiap momen terhadap setiap aksi dan laungan yang didengar.

Sebagai wartawan dan editor strategi, saya melihat fakta untuk siaran berita. Sebagai manusia, jiwa pula berbisik pelbagai kata yang terbit daripada segala macam rasa.

Menguruskan kerja wartawan dan editor tidaklah sukar. Komunikasi Whatapps memudahkan semua aliran kerja. Tiap minit maklumat bergerak dalam komunikasi pasukan kerja di lokasi dan di studio.

Artikel saya pada 28 November ada menyebut: ICERD boleh jadi punca jahanam. Satu amaran kepada kerajaan, sekiranya kenyataan-kenyataan yang boleh ditafsir sebagai anti Islam dan anti Melayu terus diungkapkan atas nama ICERD, pasti akan ada impak buruk.

Tidak perlu bercakap soal orang Melayu dan umat Islam tidak matang kerana menolak ICERD. Bahasa politik dan bahasa nurani berbeza. Orang Melayu akan tetap beranggapan, melalui Kontrak Sosial dan segala tolak-ansur menuju kemerdekaan pada 1957, orang Melayu dan umat Islam sudah jauh melangkaui idea ICERD.

Memberikan kerakyatan pada orang Cina dan India, serta kluasa agama-agama lain bebas diamalkan, adalah kebijaksanaan orang Melayu melangkaui idea ICERD.

Justeru, tindakan berterusan memperlekeh Melayu dan umat Islam atas nama memegahkan ICERD hanya akan membakar api yang sepatutnya tidak perlu dinyalakan.

Sikap buruk menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) yang terus menerus membangkitkan isu ICERD, menampakkan PH bukan kerajaan yang muafakat dalam memghormati keputusan sebulat suara kabinet menolak ratifikasi ICERD. Malah, macam berantakkan pula sifat kerajaan PH.

Selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan ICERD tidak akan dilaksanakan, masih ada menteri kabinet yang terus mengomel. Menghantar isyarat bahawa ICERD tidak dibatalkan. Sikap bercakap di luar kabinet sebagai individu ini antara punca yang melemahkan komitmen PM pada rakyat. Terutama orang Melayu dan umat Islam.

Apabila lebih 150,000 orang berhimpun pada 8 Disember, ia menampakkan realiti lain dalam apa yang gagal difahami kerajaan. ICERD yang muncul kerana mimpi buruk negara Barat akibat trauma Perang Dunia ke 2, tidak wajar dijadikan mimpi buruk rakyat Malaysia.

Berbalik pada cerita ketika berada dalam perhimpunan ICERD.

Suara protes Melayu Islam jelas dan ketara kerana ICERD. Namun, ia hasil kegagalan dan kegopohan kerajaan sendiri. Ada menteri yang membawa agenda peribadi atas nama kabinet. Melaungkan agenda ICERD sebagai misi peribadi ketika kabinet belum pun memutuskan pendirian kerajaan mengenai status ICERD.

Akibat sikap gelojoh menteri ini, kerajaan PH terpaksa menanggung kesan buruk. Impian peribadi seorang menteri telah meletakkan hubungan kaum dan agama dalam keadaan bahaya.

Ia bukan kerana orang Melayu dan umat Islam tidak matang, namun protes yang berlarutan hingga mencetuskan gegaran luar biasa dalam perhimpunan Sabtu lalu adalah akibat kegelojohan melulu.

Orang boleh saja memperlekeh kesan perhimpunan semalam sebagai agenda PAS atau Umno. Memperlekehkan suara 150,000 umat Islam sebagai suara kakasan pembangkang. Namun, ia bukan pandangan bijak. Tidak semua benda adalah politik.

Sebenarnya, PAS dan Umno hanya mengambil kesempatan politik kerana ICERD menyentuh langsung mengenai Islam dan Melayu. Perasaan marah orang Melayu Islam sebenarnya meletus kerana kegopohan Menteri Perpaduan, P Waytha Moothy.

Kalau Senator dan bekas pengasas Hindraf ini tidak bersikap prejudis dan gelojoh melaksanakan kempen untuk memaksakan ICERD dilaksanakan, kerajaan PH tidak perlu membayar dengan harga yang mahal. Melihat ratusan ribu rakyat bangkit ketika PH baru enam bulan berkuasa, sebenarnya budaya cari pasal yang tidak perlu terjadi.

Orang macam Waytha Moorthy tidak akan peduli pada perhimpunan 8 Disember. Sebagai menteri yang anarkis, perhimpunan semalam akan dijadikan cabaran untuk beliau lebih nekad. Sikap Waytha Moorthy jelas tidak mewakili aspirasi kerajaan PH. Tindak-tanduknya ketara mahu melaksanakan agenda peribadi melalui kedudukannya sebagai menteri.

Waytha Moorthy punya rekod buruk sebagai ultra agama. Tidak perlu merujuk pada video viralnya pada 2011, ketika menfitnah negara ini sebagai penindas penganut Hindu. Secara konsisten, Waytha Moorthy tidak menunjukkan semangat setia kawan sebagai kabinet kerajaan PH.

Percayalah, Dr Mahathir akan terus terpaksa mencuci segala kekotoran politik terutama isu agama dan kaum selagi orang seperti Waytha Moothy bersikap cauvinis dan anarkis.

Selagi sentimen anti Melayu dan Islam dilaungkan dalam kerajaan, nyawa politik PAS dan UMNO akan terus mekar dan subur dengan modal perhimpunan jalanan!

Perlukah kerajaan PH menghadapi semua ini ketika isu utama sekarang ialah rakyat mengharapkan negara segera bergerak ke hadapan dan aspirasi Malaysia Baru terpancar dalam konteks ekonomi dan kualiti hidup.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...