Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 11 Disember 2018

Disebalik Kejayaan Setiap Demo Anjuran PAS, Adanya Unit Amal..

Akhi Fairuz Al-Jengkawi | 1. Sepanjang aku hidup, beberapa siri demonstrasi dan himpunan pernah aku sertai. Bermula dari Bersih 1.0, Bersih 2.0, Bersih 3.0, Gabungan Mansuhkan ISA, Anti Judi World Cup dan Himpunan Blackout pasca PRU13.

2. Gas pemedih mata dah rasa. Water cannon juga pernah menjadi 'pembuka selera'. Pernahlah juga muntah-muntah. Siap berkongsi air dengan kawan dari bangsa Cina lagi. Pedih ya amat. Rasa tekak dijerut dan sesak nafas.

3. Bersih 1.0 (2007), aku berkumpul di Masjid Jamek. Yang mengepalai perarakan ke Istana Negara (Lama) adalah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Sedang beliau berucap, helikopter PDRM berlegar di angkasa. Langit mendung kemain, lalu awan memuntahkan air hujan secukup rasa.

 
4. FRU sudah menembak kami dengan water cannon. Lintang pukang dibuatnya. Ada yang masuk balik ke masjid, ada yang menyelit ke bank berhampiran, OCBC, hingga lolos ke jalanraya. Habis berpecah masa ni.

5. Aku antara yang berjaya lolos. Kelompok kecil kami dikepalai oleh Saudara Kamaruzaman (Seketeriat Himpunan ICERD) dan Dr Hatta Ramli (jadi menteri dah pun).

6. Jauhlah juga kami berjalan. Sambil berjalan, sambil chant. Bila Kamaruzaman habis suara, dia pass healer speaker pada aku. Apalagi, aku pun sebutlah Daulat! Daulat Tuanku! Tumbang! Tumbang BN! Hancur! Hancur! Kezaliman. Fuhh.. Padu sungguh. Kahkah

7. Sejam juga berjalan, akhirnya kami pun sampai ke Istana Negara. DS Anwar Ibrahim, TG Haji Hadi, Lim Kit Siang dan beberapa figure besar pimpinan Pakatan Rakyat (ketika itu) telah selamat menyerahkan memorandum NGO Bersih kepada YDP Agong (Sultan Mizan).

8. Rally Bersih 1.0 ni mendapat liputan meluas dari media antarabangsa. Ya lah, kali terakhir demontrasi besar pun tahun 1999, reformasi DS Anwar ketika itu. Wartawan Al-Jazeera yang melaporkan dari Masjid Jamek pun merasa water cannon. Virallah video temubual Zainudin Maidin bersama Al-Jazeera ketika itu. Gelabah sungguh beliau menjawab.

9. Bersih 2.0 lagi dahsyat. Siapa yang pakai baju kuning, awal-awal lagi dah kena tangkap. Sampai yang pakai jersi bola Brazil pun polis angkut. Bersih juga dikaitkan dengan komunis dan lain-lain. Walhal tujuan Bersih jelas, menuntut satu pilihanraya yang adil, SPR yang bebas dari penyelewangan.

10. Aku antara kumpulan yang memanjat bukit belakang Hospital Tung Shin. Sebelum ditembak tear gas, pimpinan yang bersama (Sivarasah dan lain-lain) negotiate dengan pihak polis. Sebaik sahaja kami selesai menyanyikan lagu Negaraku, polis dah lepaskan gas pemedih mata. Entah jin apa yang merasuk anggota FRU pun aku tak tahu.

11. Lintang pukang kami lari. Polis kejar beberapa orang protestor dan menangkap mereka untuk dibawa masuk Black Maria dan dihantar ke Pulapol.

12. Yang panjat bukit selamat. Masa ni aku kenal kawan baru. Bangsa Cina juga. Kawan-kawan beliau hilang entah kemana. Sebelum kami berpisah, beliau ajak aku lepak kedai makan. Beliau belanja. Thanks!

13. Sebelum Bersih 3.0, berlangsung dulu Demontrasi Mansuhkan ISA (GMI), dan sebelum itu bantah PPSMI (tak hadir, ada komitmen lain). Demo GMI pun dahsyat juga. Kena kepung di Jalan apatah namanya. Belakang kami Bukit Aman, depan kami Kelab Sultan Sulaiman (kalau tak silap).

14. Yang lead masa ni Dr Mujahid Yusof Rawa. Kami dah kena kepung, kiri polis kananpun polis. Depan belakang ada trak FRU dan anggota yang lengkap bercota.

15. Kami ada wuduk lagi masa ni. Maka, Dr Mujahid ajak kami semua mengadap kiblat dan laksanakan Solat Sunat Hajat. Beliau jadi imam. Selesai sahaja sujud yang terakhir, kami tahiyat akhir. Aku dah dengar trak FRU berbunyi locengnya.

16. Tak sempat bagi salam ke belah kanan, tembakan dari trak FRU pun kedengaran. Keluarlah asap puaka berkenaan. Boleh matilah kalau duduk lama-lama di situ. Kami berlari menyelamatkan diri dan berlindung beberapa jam di dalam Kelab Sultan Sulaiman tu. Di luar, siri tangkapan dan tembakan water cannon diteruskan.

17. Bersih 3.0 adalah demontrasi terakhir yang aku sertai. Aku antara kelompok paling depan yang menghampiri Dataran Merdeka. Kami hormat keputusan DBKL yang tidak membenarkan padang keramat itu untuk dimasuki. Tapi entah macam mana, barricade yang memisahkan protestor dengan Dataran Merdeka dirempuh.

18. Polis akhirnya bertindak. Tear gas dan water cannons menjadi juadah kami. Anwar ke, Azmin ke, Ambiga ke, semua kena. Sesedap rasa.

19. Cuma, nadi paling penting yang menjayakan demontrasi aman (yang akhirnya tak jadi aman) ini adalah Unit Amal Pas. Mereka yang menjadi tulang belakang kelancaran Demontrasi.

20. Maka, aku tak pelik andai kawan-kawan share gambar selepas himpunan siang tadi, bersih dan teratur. Percayalah cakap aku, disebalik semua itu adanya Unit Amal. Untuk siang tadi, tahniah aku ucapkan kerana sungguh berjaya menjaga kebersihan.

21. Namun, dari sudut yang lain, pembangkang hari ini wajib bersyukur kerajaan PH tak sama seperti BN yang lepas. Siap Tun M selaku PM ucap lagi semoga himpunan berjalan dengan lancar. Polis beri kerjasama yang baik, SB pun nampak mainkan peranan sebenar, DBKL pun ok, semuanya jadi mudah dan lancar.

22. Maunya tidak, menteri yang ada sekarang pun adalah alumni pejuang di jalanan juga. Menjadi pemimpin tertinggi negara setelah dihidangkan makanan dan minuman yang 'berzat' tinggi, tear gas dan water cannons. Thanks PDRM! (Alangkah elok andai Zahid Hamidi, Najib Razak dan lain-lain merasa gas pemedih mata ini. Barulah lengkap imej pejuang. Hmm)

23. Ramai atau sikit yang datang bukanlah prioriti satu-satu demontrasi. Macam geng Gamis berdemo PTPTN, tak ramai pun, yang penting mesejnya sampai.

24. Kerajaan tak boleh memandang ringan sebarang isu yang dipanjangkan oleh pembangkang, apatah lagi yang dibawa oleh rakyat, soal tol, harga barang, minyak, harga rumah, pendidikan, keselamatan, kesihatan dan lain-lain.

25. Check and balance perlu berlaku. Paling penting, jangan jadikan rakyat mangsa kerakusan segelintir politician untuk berkuasa. Yang berkuasa sekarang jangan sombong dan angkuh hingga melupai keperitan bersama saat susah payah berjuang demi rakyat ketika di blok pembangkang.

Sekian.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...