Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 7 November 2018

"Syed Saddiq Bodoh, Rasis, Jangan Undi Dia Lagi", Siti Kasim Marahkan Menteri KBS Kaw-Kaw.

LAPORAN | Hanya kerana mempertahankan artikel 153 dan hak bumiputera, Syed Saddiq dikecam hebat oleh peguam dan aktivis kemasyarakatan, Siti Kasim.


Pada 5 November lepas, Menteri Belia dan Sukan itu mengeluarkan kenyataan mengenai ICERD yang menjadi perbahasan hangat dikalangan netizens berikutan dianggap akan memansuhkan hak bumiputera di negara ini.


Dalam kenyataan itu mewakili ARMADA, Syed Saddiq menegaskan artikel 153 berkaitan hak kaum bumi dan sistem raja berperlembagaan akan dipertahankan oleh anak muda PPBM itu. 

Gambar oleh The Patriots.

Dan menurutnya, PPBM tidak akan teragak-agak menolak ratifikasi ICERD andai ianya bercanggahan dengan artikel 153.

Sebelum ini peguam PPBM dan Tun Mahathir, Tuan Haniff Katri juga nampaknya memberikan beberapa ulasannya mengenai ICERD. 

Ramai percaya ulasannya itu adalah bayangan sedikit sebanyak mengenai pandangan Tun Mahathir mengenai ICERD. Yang mana berkemungkinan PPBM tidak mahu kepada ratifikasi ICERD. Bagaimanapun kerana kuasa PPBM yang sedikit dan lemah dalam parti, penolakan PPBM perlu dilakukan dengan cara lembut dan berhemah bagi memastikan isu itu tidak menjadi virus dalam perpaduan Pakatan Harapan. 

Untuk rekod, dalam manifesto PRU PH yang lalu, meratifikasikan ICERD adalah sebahagian dari agenda Pakatan Harapan. Jika PPBM menjadi satu-satunya parti yang menolaknya secara terbuka, ia mungkin menjadi drama politik yang berpanjangan. 

Kenyataan oleh Syed Saddiq itu kemudiannya dipetik Siti Kasim dan beliau mengulasnya di Facebook.

"Tolak ahli politik yang rasis dan sukakan perpecahan.

Ingat orang ini (Syed Saddiq), pada pilihanraya umum yang akan datang, tolaklah ahli politik sebegini. Kita tak perlukan si bodoh ini dalam Parlimen menembak sana sini tanpa menyemak kesahihan fakta. 


Dia berkata seperti ini kerana mahu mendapatkan sokongan politik dari apa yang dia anggap, perlembagaan melayu (ketuanan melayu). Dia lupa ke yang non melayu (non muslims) undi dia juga. Dia lupa ke ada melayu yang macam saya juga. Kita tolak ahli politik seperti ini sekeras-kerasnya," kata Siti Kasim dalam satu kenyataan. 

Untuk rekod, Siti Kasim membuat ulasan itu dengan hanya membaca laporan berita dari Free Malaysia Today yang tidak menyiarkan laporan penuh kenyataan Syed Saddiq.

Dan disini kami siarkan kenyataan penuh Syed Saddiq mengenai isu ratifikasi ICERD;

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN | Merujuk kepada cadangan Kerajaan Malaysia untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum atau International Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination (ICERD) 1969, ARMADA selaku sayap pemuda bagi parti BERSATU ingin menegaskan beberapa perkara seperti berikut:

(1) Sekiranya proses meratifikasi ICERD akan melemahkan atau menghakis fungsi dan kesan Artikel 153, sistem Raja Berperlembagaan, kedudukan Islam, dan mana-mana hak yang termaktub di Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1957, pihak ARMADA tanpa kompromi akan menolak sekeras-kerasnya proses tersebut. Ini berdasarkan persefahaman dan ketetapan bersama yang dibuat oleh kesemua parti komponen di dalam Pakatan Harapan untuk meneruskan dan mensejahterakan Malaysia melalui asas dan dasar yang telah sedia ada di dalam Perlembagaan Persekutuan.

(2) Sebarang bentuk agenda untuk mengubah dan menggubal dasar-dasar kenegaraan Malaysia yang baru di dalam Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dibuat melalui proses di Parlimen yang memerlukan 2/3 undi majoriti. Ini bermakna ianya dibuat atas kehendak politik (“political will”) rakyat Malaysia sendiri (“internal force”) tanpa campur tangan pihak asing. Kami menolak sebarang unsur tekanan dan ancaman pihak luar (“external forces”) dalam proses menggubal apa sahaja undang-undang di Malaysia termasuklah Perlembagaan Persekutuan sekiranya ratifikasi ICERD dilaksanakan.

(3) Kami sedia maklum bahawa terdapat ruang undang-undang antarabangsa untuk melakukan pengecualian tertentu di dalam ICERD dan juga konvensyen-konvensyen lain, namun ARMADA meletakkan kepentingan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang Malaysia seperti yang disebut di dalam Rukunegara melebihi apa jua undang-undang luaran dan antarabangsa. Atas hujah itu, ARMADA mendesak pihak Kerajaan untuk mengkaji semula cadangan ratifikasi ini sama ada ia akan meletakkan undang-undang negara pada tahap yang sama dengan undang-undang antarabangsa kerana ia boleh mengakibatkan keseimbangan sosio-ekonomi dan hak-hak tertentu di Malaysia mula terhakis.

(4) Resepi kejayaan sesebuah negara adalah berdasarkan acuan masing-masing dan tidak semestinya perlu menurut kesemua aturan yang diwar-warkan oleh pihak luar. Dalam proses pembentukan sosio-ekonomi negara, akan terdapat perkara-perkara fundamental yang mungkin bercanggah dengan konsep universal yang digunapakai oleh negara-negara tertentu, namun kita berhak membina model negara ini menggunakan cara dan acuan kita sendiri mengikut hukum agama, adat dan kearifan tempatan sesuai dengan prinsip Islam yang sejagat dalam menjaga kemuliaan insan (karamah insaniyyah), namun Kerajaan Malaysia sama sekali tidak akan berlaku tidak adil dengan mana-mana pihak walaupun ICERD tidak diratifikasi.

(5) ARMADA percaya bahawa sesetengah bentuk diskriminasi positif dalam bentuk ‘affirmative action’ masih diperlukan dalam pembentukan masyarakat negara ini. Ini termasuklah polisi berkaitan pembangunan ekonomi, pendidikan dan pemilikan rumah Bumiputera. Namun, penambahbaikan dan urus tadbirnya akan diperkemaskan oleh Kerajaan Malaysia Baharu bagi mengelak ianya disalah guna untuk kepentingan peribadi, mengaut keuntungan secara salah dan penindasan. Di peringkat antarabangsa, jelas terdapat bukti bahawa diskriminasi positif dapat mengurangkan jurang perbezaan sosio-ekonomi sesuatu kaum atau agama. Contohnya Black Economic Empowerment (BEE) di Afrika Selatan berjaya meningkatkan tahap kehidupan penduduk berkulit hitam apabila “economic pie” negara Apartheid tersebut yang dahulunya dikuasai sepenuhnya penduduk kulit putih berbangsa Eropah telah dibahagikan mengikut keperluan dan kemasylahatan bersama dapat dijamin. Begitu juga dengan adanya skim kelebihan tertentu kepada “Indigenous People” dan “Aborigines” di Australia dan New Zealand yang pernah ditindas dahulu, berjaya menggalakkan penyertaan mereka di dalam sektor pekerjaan dan pemilikan harta. Pokok pangkalnya, tidak semua jenis diskriminasi kaum adalah negatif dari segi nama, perlaksanaan dan natijahnya.

Oleh yang demikian, saya selaku Ketua ARMADA akan membangkitkan perkara ini di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri akan datang dan mendapatkan penjelasan pihak-pihak berkenaan mengenai usul ini. ARMADA akan terus berusaha untuk memastikan Kerajaan Malaysia Baharu tidak lari daripada tujuan asal mentadbir negara tercinta ini. - 7 November 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...