Inilah dia hasil kecekapan menguruskan kewangan negara, dan langkah-langkah bijak yang diambil dalam Belanjawan 2019 seperti menjarah Petronas untuk bayar dividen tinggi bagi tampung kekurangan hasil.
Ini bermakna penarafan kredit negara pun berkemungkinan besar akan turut dipengaruhi.
Ini pun dalam keadaan harga minyak boleh dikatakan tinggi dan stabil sekarang ini.
Apa jadi kalau harga minyak jatuh?
Apa "buffer" atau penampan yang kita ada nak tampung sekiranya berlaku krisis harga minyak sekali lagi?
Kerajaan BN dahulu berusaha bersungguh-sungguh untuk kurangkan kebergantungan negara kepada hasil minyak dengan mempelbagaikan sumber, selaras dengan keperluan semasa dan sejajar dengan arus perkembangan ekonomi dunia.
Tapi Kerajaan PH nak kembali ke zaman lama pula. Tak pernah dibuat orang.
-----------
Moody’s Investors Service mengesahkan penarafan terbitan domestik dan mata wang asing tidak bercagar kanan PETRONAS pada A1, namun mengubah tinjauan daripada stabil kepada negatif.
Agensi penarafan itu juga mengesahkan penarafan A1 bagi nota tidak bercagar kanan Petronas Capital Ltd dan program nota jangka sederhana (MTN) jangka sederhana selain sukuk diterbitkan melalui Petronas Global Sukuk Ltd, namun mengubah tinjauannya kepada negatif daripada stabil.
Moody’s berkata, tindakan penarafan itu adalah susulan pengumuman kerajaan bahawa PETRONAS akan membayar dividen RM26 bilion pada 2018 dan RM54 bilion (termasuk dividen khas RM30 bilion) pada 2019.
“Tinjauan negatif kepada penarafan PETRONAS mencerminkan pandangan kami bahawa profil kewangannya akan terjejas jika kerajaan terus meminta syarikat mengekalkan dividen yang tinggi, khususnya jika harga minyak susut,” kata Naib Presiden Kanan Moody’s, Vikas Halan dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, walaupun syarikat minyak negara itu boleh menyokong pembayaran dividen yang diumumkan dalam belanjawan dan masih mengekalkan kedudukan tunai bersih, peningkatan selanjutnya dalam pembayaran dividen tetap tidak dapat diketepikan, terutama jika keperluan pembiayaan kerajaan meningkat.
"Pulangan pemegang saham yang tinggi akan mengurangkan keupayaan syarikat untuk menyerap turun naik harga minyak mentah dan mengekang fleksibiliti kewangannya. Bagaimanapun, Moody’s menjangka PETRONAS akan terus melabur dalam pertumbuhan pengeluaran dan rizabnya," katanya.
Halan menegaskan bahawa perubahan dasar kerajaan selanjutnya untuk sektor minyak dan gas boleh mempengaruhi kedudukan PETRONAS sebagai pemilik tunggal sumber petroleum negara dan meningkatkan royalti yang dibayar ke atas pengeluaran minyak dan gas huluannya.
Leveraj kewangan kasar Petronas, seperti yang diukur oleh jumlah hutang/pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan, meningkat kepada 0.7 kali bagi 12 bulan yang berakhir pada 30 Jun 2018 daripada kira-kira 1.0 kali pada 2016.
Moody’s menjangka syarikat itu mengekalkan leveraj kewangan kasarnya di bawah 0.8-1.0 kali dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Ia berkata, jumlah hutang/jumlah permodalan Petronas kekal konservatif, di bawah 15 peratus setakat 30 Jun 201, dan Moody’s menjangkakan nisbah ini akan kekal pada 15 hingga 20 peratus dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang berbanding penurunan tahap ambang melebihi 30 hingga 35 peratus. - 10 November 2018.