Sabtu, 24 November 2018

Kerajaan Tak Jadi Ratifikasi ICERD Kerana Bimbang Kehilangan Sokongan Melayu Lapor TMI.

THE MALAYSIAN INSIGHT | PAKATAN Harapan (PH) bimbang kehilangan sokongan pengundi Melayu yang sememangnya kritikal kepada parti itu jika meneruskan rancangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD), kata sumber kerajaan.

Difahamkan, keputusan itu juga dibuat bagi meredakan ketegangan, kata sumber kerajaan itu yang menjelaskan pengumuman Pejabat Perdana Menteri semalam untuk tidak meratifikasi ICERD.



Mesyuarat Kabinet hampir tiga jam di Parlimen itu tidak mencapai keputusan dengan mudah.

Menurut sumber, ada beberapa menteri berpandangan kerajaan PH tidak seharusnya tunduk kepada tuntutan Umno dan PAS sebaliknya menerangkan manfaat ICERD kepada masyarakat.

Bagaimanapun, keputusan dicapai untuk meredakan suasana dingin yang berlegar di akar umbi selain tidak mahu mengeruhkan keadaan.

“Ada beberapa menteri berpendapat, ratifikasi ICERD ini perlu dijelaskan pada masyarakat manfaatnya dan bukannya tunduk kepada gesaan PAS dan Umno.

“Ada yang minta jangan hentikan terus tetapi tangguh. Tapi memandangkan keadaan ground (akar umbi) panas, ia terpaksa dihentikan,”
kata sumber di pejabat seorang menteri Kabinet.

Sumber yang rapat dengan keputusan itu menjelaskan, ketegangan timbul ekoran serangan pembangkang selepas kerajaan mengumumkan akan mengesahkan enam triti hak asasi manusia, termasuk ICERD.

“Kerajaan putuskan untuk tidak meratifikasi ICERD kerana khuatir hilang sokongan pengundi Melayu dan juga ia bakal menjadi bola tanggung kepada Umno dan PAS menyerang kerajaan,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insight.

Keputusan itu muncul sewaktu sokongan orang Melayu ke atas PH di tahap yang rendah, seperti yang ditunjukkan dalam satu kajian Ilham Center.

Kajian yang dilakukan selepas pilihan raya umum 9 Mei mendapati kerajaan PH hanya memperoleh 17% sokongan pengundi Melayu di Semenanjung Malaysia, walaupun mereka berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN).

Malah BN hanya memerlukan peralihan undi sebanyak 11% sahaja untuk kembali memerintah dan menumbangkan PH.

Kajian itu mendapati PAS menerima 35% sokongan manakala BN menerima 46% sokongan pengundi Melayu.

Kedua-dua pembangkang utama itu merupakan parti yang paling lantang dalam menyatakan bantahan ke atas ICERD dan merancang untuk mengakan perhimpunan besar pada 8 Disember.

Maka keputusan untuk tidak meratifikasi ICERD dibuat bagi memastikan rancangan Umno dan PAS untuk mengadakan himpunan itu tidak lagi relevan, kata satu lagi sumber kerajaan.

“Keputusan mesyuarat Kabinet mengenai ICERD adalah untuk memastikan asakan PAS dan Umno tidak relevan. Mereka hendak himpun besar-besaran apa lagi selepas ini.

“Itu strategi Dr Mahathir hendak matikan suara lawan, bila isu ICERD dah mati, himpunan terus tak jadi relevan,” kata sumber itu.

Bantahan ke atasnya ICERD mula timbul apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy pada 26 Oktober menyatakan komitmen kerajaan untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia, termasuk ICERD.

Ia susulan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, dalam ucapannya di perhimpunan Pertubuhan Bangsa Bersatu pada akhir September bahawa kerajaan baharu Malaysia akan mengiktiraf semua baki instrumen badan dunia itu berkaitan perlindungan hak asasi manusia.

Susulan bantahan yang timbul, Dr Mahathir kemudian mengakui ia bukan perkara mudah memandangkan Malaysia merupakan negara dengan penduduk berbilang kaum dan masing-masing dengan kepentingan tertentu.

Katanya, rundingan melibatkan semua kaum juga perlu dilakukan sebelum meratifikasi ICERD.

Kumpulan masyarakat sivil bagaimanapun mengalu-alukan usaha kerajaan meratifikasi konvensyen itu alasan ia penting bagi negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Malaysia merupakan salah satu daripada 14 negara yang masih belum mengesahkan perjanjian berkenaan.

Susulan keputusan semalam, PAS bagaimanapun mengumumkan parti itu tetap akan berhimpun di Dataran Merdeka pada 8 Disember untuk meraikan kejayaan. - 24 November 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...