Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 6 November 2018

ICERD, Kenapa PH Perlu Cari Masalah - Arif Atan.

ARIF ATAN | ICERD : Kenapa PH perlu cari masalah?

Sebenarnya tidak ratifikasi ICERD pun tidak mengapa. Korea Selatan negara maju itu pun tidak ratifikasi konvensyen yang mula berkuatkuasa pada 4 Januari 1969 itu. Niat ICERD itu murni tapi akhirnya bergantung pada kesesuaian negara.




Tuhan jadikan manusia ini pelbagai bangsa. Itu sebab hujah sama rata tidak boleh dipakai sepenuhnya. Yang hanya wajib ada - adil. Adil tak sama dengan sama rata. Rambut sama hitam, hati lain-lain.

Hatta, orang Kelantan pun panggil 'ore lua' (orang luar) kepada orang Melayu yang bukan dari negerinya. Sistem pemilikan tanah di Kelantan pun, orang Melayu bukan anak Kelantan tidak boleh miliki. Ada orang Melayu luar Kelantan sentap rasa tertindas dengan Melayu Kelantan?

Apa lagi orang bukan Melayu yang sebahagiannya walau jadi wakil rakyat lahir pun bukan di Hong Kong tapi cakap Melayu pun payah sungguh kalah orang Nepal dan buruh Myanmar. Jadi, tidak perlulah rasa sensitif atau 'warganegara kelas kedua' atau tertindas sangat.

Indikator hak asasi manusia dalam konteks PBB tentunya tidak 100% sesuai dipakai di Malaysia. Apa lagi di Malaysia, hak asasi orang bukan peribumi jauh lebih baik kalau dibandingkan dengan nasib bukan peribumi di Indonesia contohnya, orang Cina di sana yang diwajibkan tanpa kompromi untuk berasimilasi.

Hak asasi apa lagi yang dimahukan lagi apabila sebahagian kaum bukan Melayu di Malaysia sejak 61 tahun lalu enggan berasimilasi malah cakap bahasa kebangsaan pun tidak tahu bahkan membenci apabila melebihkan bahasa nenek moyang yang dipanggil bahasa ibunda serta bahasa penjajah penindas moyang mereka sendiri.

Apa lagi penindasan yang dialami ketika ramai orang bukan Melayu jadi golongan maha kaya dengan menguasai kek ekonomi negara serta bahagia sungguh dalam kepompong kaum mereka di sekolah aliran kaum sendiri sedangkan Singapura yang didominasi kebudayaan Cina pun sejak dulu tiada sekolah beridentitikan kaum?

Malaysia kita aman selepas 13 Mei 1969 hasil sikap tolak ansur orang Melayu. Orang bukan Melayu dan bukan Islam di Malaysia tidaklah menerima nasib seperti etnik Rohingya di Myanmar; etnik Uighur di China bahkan tidak diancam jati diri mereka seperti dialami orang Melayu di empat wilayah selatan Thailand dengan sentiasa diburu ketakutan termasuk kerapnya berlaku kes tembakan terhadap guru dan ustaz di sana.

Kita semua mesti sedar pelaksanaan dasar afirmatif sebelum ini selari mengikut peruntukan khas termaktub dalam Perlembagaan. Itu tidak harus dianggap orang bukan Melayu sebagai diskriminasi kalau mereka menghargai pemberian taraf kewarganegaraan pada 1957 lalu.

Sampai kiamat pun, kontrak sosial antara orang Melayu dan bukan Melayu ini mesti dihormati. Orang memberi, kita merasa. Orang Melayu telah sedia berkongsi, orang bukan Melayu mestilah menghargai. Jangan jadi kacang lupakan kulit. Jangan tuntut yang bukan-bukan.

Tanpa Malaysia ratifikasi ICERD pun, masyarakat Malaysia pasca 13 Mei 1969 secara relatifnya hidup aman makmur dengan rakyatnya rata-rata menikmati mutu kehidupan yang stabil. Tiada pula kita dengar orang bukan Melayu di Semenanjung dan orang bukan Bumiputera Sabah dan Sarawak mati kebulur atau dibunuh secara beramai-ramai oleh orang Melayu.

Ditambah dengan tiadanya ancaman bencana alam dahsyat seperti gempa bumi, gunung berapi dan tsunami, keturunan orang Cina dan India di Malaysia hidup makmur tidak seperti datuk nenek moyang mereka dulu yang turut diancam kebuluran malah peperangan sehingga memaksa dan dipaksa diangkut British jadi kuli di Tanah Melayu lebih 150 tahun lalu.

Sentimen sebahagian orang bukan Melayu (bukan semua - kena tulis, nanti dituduh rasis) yang asyik rasa ditindas, terancam sebenarnya tanpa sedar dan cubalah jujur akui datang dari sentimen rasis diri sendiri.

Tambah, apabila individu yang mula menyuarakan hasrat untuk meratifikasi ICERD datang dari P Waytha Moorthy yang latarnya dulu adalah pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf).

Tentunya kita tidak lupa tuntutan-tuntutan Hindraf dulu yang sebahagiannya jelas melampaui batas. Padahal, bagi orang Melayu yang setia sebagai penganut agama Islam telah diingatkan jangan melampaui batas dalam sejumlah surah di Al-Quran. Nampak? Cara fikir orang Melayu jauh berbeza dengan dilentur nilai toleransi yang tinggi, sentiasa terbuka dan berlapang dada tetapi tidak bermakna sehingga tahap rela dipijak kepala.

Alasan Waytha Moorthy yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) bahawa langkah meratifikasi ICERD selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) ibarat menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri.

Sebabnya, banyak lagi janji dalam manifesto PH tidak terlaksana malah belum nampak apa lagi dengan kesan paling ketara dirasai mereka di luar bandar dari warga Felda, nelayan pesisir, pekebun getah dan kelapa sawit yang majoritinya terdiri daripada masyarakat Melayu.

Malah, tanpa mengira kaum pun, gaji minimum RM1,050 mengundang rasa tidak puas hati golongan pekerja berpendapatan rendah di kawasan bandar termasuk pengundi PH yang sebelum ini serik dibuli dengan bebanan kos sara hidup ketika BN memerintah.

Itu belum sentuh lagi janji PH mereformasi struktur dan sistem ekonomi. Bahkan, paling penting seperti selalu diperjuangkan pihak yang faham tentang sosialisme tentang langkah ampuh merapatkan jurang kaya miskin. Setakat ini, golongan kaya terus kaya, orang miskin semakin dihimpit beban. Di jalan raya di sekitar Lembah Klang, sambil berhenti lampu merah, lihat kepada kelompok mereka yang bermotosikal, ramai Melayu ke bukan Melayu?

Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri jadi bukti tentang realiti agihan kemakmuran tanah air yang dimonopoli golongan tertentu. Jadi, wajarkah kita disibukkan dengan hasrat Waytha Moorthy mahu meratifikasi ICERD?

Hinggakan sampai timbul reaksi melampaui batas antara penyokong hak asasi manusia pro PH dengan parti pembangkang sehingga tahap mencerca Melayu dan keMelayuan.


Seolah-olah sepanjang 61 tahun lalu, kaum bukan Melayu gamaknya teruk sungguh ditindas, dipaksa berasimilasi jadi Melayu dan dikerah tenaga semahunya jadi kuli kepada 'ketuanan Melayu'.

Mengapa begitu terdesak kalau tentunya ada pelan perancangan seterusnya selepas ICERD diratifikasi? Persoalan itulah adalah tanda tanya yang timbul terutama bagi masyarakat Melayu umumnya meskipun sedetik merentas parti politik.

Bagi yang celik sejarah pula bimbang tragedi kemanusiaan yang membunuh orang Melayu dari golongan bangsawan sampai marhaen di sejumlah kerajaan Melayu di Sumatera Timur pada 3 Mac 1946 berulang. Hanya, era kurun ke-21 ini, episodnya tentu sekali dalam modus operandi berbeza bukan di hujung senjata secara tampak di mata.

Bagi orang Melayu Malaysia hari ini yang optimis dengan ICERD sehingga tanpa sedar menelanjangkan bangsanya sendiri mungkin tidak tahu individu yang mulanya yakin tidak diapa-apakan dalam tragedi yang dijenamakan atas nama 'revolusi sosial' Sumatera Timur itu juga jadi mangsa atas nama PERUBAHAN dan semangat zaman. Antaranya, penyair Tengku Amir Hamzah yang dibunuh di kebun pisang.

Bagi orang Melayu yang percaya bahawa Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan akan terjamin meskipun selepas meratifikasi ICERD, mungkin boleh ambil tahu bagaimana proses "perubahan" di Sumatera Timur itu menyaksikan masyarakat pendatang yang jadi buruh bekerja di kebun tanah milik sultan membunuh ribuan nyawa termasuk para ulama dan guru, membakar istana dan kediaman bahkan memperkosa di hadapan orang tua wanita itu atas topeng anti feudal dan kolonial.

Kembali kepada ICERD, tidak usahlah kerajaan PH seperti sengaja mencari masalah sibuk mahu ratifikasi ICERD. Tepuk belakang Waytha Moorthy supaya bersabar banyak lagi manifesto PH terutama berkaitan baik pulih agihan ekonomi melibatkan kepentingan semua kaum perlu lebih diberi keutamaan.

Bagi orang Melayu tegar PH pula bawalah mengucap panjang sempena Hari Penghulu Segala Hari ini. Yang mahu diubah PRU lepas adalah Umno-BN, bukannya apa saja berkaitan Melayu mahu dibuang.

Muhasabah dan sentiasa ingat, ada perbezaan nyata antara keadilan dan kesamarataan juga ada beza jelas antara hasrat murni dengan muslihat tersembunyi. - 5 November 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...