Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 31 Mei 2018

Subsidi Petrol 40 Sen Seliter, Orang Kaya & Orang Singapura Pun Dapat, Wajar Ke?

Oleh : Syahir
 
Harga minyak mengikut kiraan formula mekanisme apungan terkawal sekarang adalah sekitar RM2.60. Ini bermakna kerajaan mensubsidi hampir 40 sen bagi setiap liter RON95 yang dijual di pasaran.

Carta yang saya lampirkan di bawah menunjukkan harga RON95 yang ditetapkan kerajaan vs harga pasaran sejak 2 tahun yang lepas.



Di bawah apungan secara bulanan dan mingguan harga RON95 yang ditetapkan kerajaan mengikut pergerakan harga minyak pasaran (dunia) jadi tidak ada elemen subsidi mahupun cukai berterusan.

Walaubagaimanapun atas faktor pilihanraya yang semakin hampir pada masa itu, sejak hujung Mac kerajaan sebelum ini terus mengekalkan harga RON95 pada harga RM2.20 walaupun harga pasaran sebenar meningkat dan Ringgit menyusut.

Kerajaan baru selepas PRU14 terus mengekalkan harga yang sama bukan sahaja untuk RON95 dan Diesel, tetapi juga untuk RON97 yang harganya juga tidak berubah.

Janji ke-2 untuk tempoh 100 hari Pakatan Harapan adalah menstabilkan harga petrol DAN memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.

Harga petrol sudah pun stabil tetapi subsidi masih lagi pukal atau dalam erti kata yang lain subsidi sekarang untuk semua termasuk yang kaya, berpendapatan tinggi yang bawa kereta mewah berkuasa tinggi.

Jika dasar ini diteruskan kemungkinan besar perbelanjaan subsidi bahan api kerajaan akan mencecah sekitar RM20 bilion setahun sepertimana pernah direkodkan pada tahun 2011 - 2013.

Ini bermakna segala pertambahan hasil yang diraih kerajaan daripada kenaikan harga minyak dunia, akan dibelanjakan kepada subsidi petrol dan diesel. Dengan GST yang akan dimansuhkan, masih belum jelas daripada sumber mana hasil kerajaan akan diraih untuk menggantikan kehilangan hasil tersebut. Jangan lupa, kerajaan PH juga berjanji akan meneruskan pembayaran BR1M (tukar nama lain). Ini menambahkan lagi ketidaktentuan dasar fiskal kerajaan yang belum jelas lebih-lebih lagi dengan kesibukan Menteri Kewangan dengan isu 1MDB.

Apa-apapun kita tunggu dan lihat sama ada subsidi petrol secara bersasar akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari ini.



Subsidi pukal untuk semua lebih menguntungkan mereka yang kaya berpendapatan tinggi sepertimana kajian yang dibuat Bank Negara pada tahun 2014 yang mendapati bahawa 42% subsidi bahan api dinikmati oleh kumpulan 20% teratas (T20) dan hanya 4% subsidi dinikmati oleh kumpulan 20% terbawah (B20).

Ini bermakna jika kerajaan membelanjakan RM10 bilion subsidi bahan api, RM4.2 bilion dinikmati orang kaya dan hanya RM400 juta dinikmati mereka yang berpendapatan rendah. Ini kerana yang kaya lebih banyak menggunakan kereta dan mengisi minyak dan yang miskin belum tentu boleh memiliki kenderaan dan kebanyakan hanya menggunakan pengangkutan awam.

Ini kajian Bank Negara bukan kajian saya. 2014 pula zaman Tan Sri Zeti masih Gabenor Bank Negara. Mungkin media patut tanya pendapat Tan Sri Zeti sekarang berkenaan subsidi petrol dan diesel yang regresif ini.

Subsidi bahan api adalah dasar yang mengherot ekonomi dan tidak diamalkan negara-negara maju. Negara pengeluar dan pengeksport terbesar di dunia Arab Saudi dengan pengeluaran minyak lebih 10 juta tong sehari pun sudah hentikan subsidi, patutkah Malaysia yang keluarkan minyak kurang 700 ribu tong sehari terus berikan subsidi pukal yang untungkan orang kaya dan berpendapatan tinggi?

Rujukan: Pembaharuan harga: Dorongan, Kesan dan Langkah-langkah Sokongan - Bank Negara - Laporan Tahunan 2014: http://www.bnm.gov.my/…/pub…/ar/bm/2014/cp04_001_rencana.pdf

p.s. Sekurang-kurangnya apungkanlah harga RON97. Orang Singapore pun dapat subsidi 40 sen seliter bila harga RON97 kekal.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...