Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 31 Mei 2018

Hapuskan JAKIM, Elak Agama Ditunggang. - Satu Ulasan Dari Dr. Mujahid Rawa.

JAKIM : YANG TERSIRAT DAN TERSURAT
1. Kebimbangan kepada sesuatu yang baru adalah tanda positif tentang perasaan mahu yakin bahawa sesuatu perubahan akan menguntungkan kita atau tidak. Begitu juga kebimbangan ini bagi sesetengah pihak turut dikuasai sikap prejudis dan pesimis terhadap apa sahaja yang baharu.

".....Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya."

(Al Ra'd: 11)


2. PH konsisten sejak awal lagi menyatakan hasrat mahu membawa reformasi institusi negara. Sementara isu kebobrokan tatakelola kewangan negara bawah BN menjadi topik utama, isu reformasi pentadbiran agama Islam juga sebenarnya berada dalam pelan reformasi menyeluruh PH.

3. Kita harus akur bahawa mengkritik pentadbiran agama bukan bermakna mengkritik intipati agama itu, kerana aspek pentadbiran adalah atas usaha daya manusia yang terdedah kepada kelemahan dan kesilapan. BN selama ini melalui institusi agama mendoktrinkan seolah mengkritik institusi agama seperti JAKIM, Jabatan Agama, Mahkamah Syariah dll adalah seperti memandang rendah kepada agama Islam itu sendiri. Ini doktrin yang songsang dan mendedahkan Islam menjadi 'tunggangan' pihak tertentu.

4. Keadaan ini amat berbahaya kepada nasib pentadbiran Islam yang senantiasa dianggap jumud dan tidak profesional kerana merasakan ia tidak boleh ditegur dan dikritik. Lebih buruk institusi ini ada nama Islam sedangkan Islam menuntut Itqan (professionalism) dalam konsep pemulihan berterusan.

5. Amat membimbangkan lagi ialah institusi Islam ini dipolitikkan bagi tujuan persaingan untuk membuktikan siapa yang lebih Islamik. Institusi Islam juga menjadi platform doktrinasi permusuhan antara kaum dan agama melalui teori konspirasi yang tidak berbukti. Siapa yang berani pertikaikan mereka kerana mereka 'mewakili Islam?' Sepatutnya institusi Islam mendekatkan hubungan antara agama seperti diperintahkan bukan menanam bibit kebencian seperti yang dilarang oleh Islam.

6. Isu RUU 355 sebagai contoh adalah taktik politik semata-mata untuk meraih sokongan politik tanpa ada tanggungjawab kesatuan umah sehingga ramai yang jadi 'kafir' 'anti-Islam' 'liberal' dan kerajaan BN membiarkan 'penunggang agama' berleluasa tanpa kawalan malah BN ambil kesempatan untuk membuktikan keislamannya dalam isu ini.

7. Islam menjangkau politik dan kepartian, Islam adalah cara hidup dan teras kepada kewujudan negara ini. Bagi sesetengah pihak, agama menjadi alat radikalisasi untuk mencapai maksud 'kebenaran mutlak' dari partinya dan kelompoknya, justeru bibit pemikiran keganasan menjadi medan subur menggugat keselamatan negara. Di mana peranan institusi Islam membendung semua ini? lebih buruk kerajaan BN sebelum ini membiarkan radikalisasi terancang untuk kepentingan politik mereka melalui institusi Islam.

8. Fenomena agama dipolitikkan sebagai alat dalam kerangka negara tanpa disedari telah membelakangkan fungsi utama Raja-raja Melayu sebagai penentu dasar pentadbiran Islam sebagaimana termaktub dalam perlembagaan. Mengembalikan fungsi Raja- raja Melayu dalam pentadbiran Islam adalah tunggak utama untuk memulakan reform atau Islah yang dimaksudkan oleh PH.

9. Bila PH mengatakan Raja-raja Melayu perlu dikembalikan peranannya menjaga Islam dan segala kepentingannya dalam kerangka negara, ia satu kenyataan penting bagi membebaskan Islam dari dieksploitasi untuk alat politik dan radikalisasi. Raja-raja Melayu sebagai institusi tiada kepentingan politik ( a political) boleh berperanan dalam 'de-politicising' Islam bagi memastikan Islam itu menjangkau kepentingan politik dan bangsa.

10. Bila isu JAKIM diperkatakan, mereka tidak melihat gambaran lebih besar hasrat PH membebaskan pentadbiran Islam dari menjadi 'tunggangan' pihak berkepentingan samada kelompok politik mahupun kelompok pengganas atau golongan agamawan. Ia bukan isu JAKIM hendak dihapuskan atau tidak, ia usaha PH mengembalikan semangat dan amalan bahawa Islam itu menjangkau semua kepentingan politik dan untuk memulakan proses itu ia perlu dikembalikan kepada kuasa Raja-raja, barulah usaha reformasi pentadbiran Islam dapat berjalan lancar.

إن صلاتي و نسكي و محيى و مماتي لله رب العالمين لا شريك له وبذالك امرت و انا أول المسلمين....

Yb Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden Amanah
Ahli Parlimen Parit Buntar


31 Mei 2018

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...