Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 27 Mei 2018

Kes Bunuh 'Perompak', Zulkifli Dijatuhkan Hukuman Mati.

Oleh : Bernama

“Jangan sesekali kita ambil kuasa undang-undang, seolah-olah melaksana ‘undang-undang rimba’ hingga meragut nyawa orang lain meskipun dalam keadaan marah,”
kata Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Datuk Zainal Azman Ab Aziz.


Beliau berkata demikian dalam penghakimannya terhadap seorang peniaga warung Zulkifli Ismail, 52 yang didakwa membunuh Zulkefle Abdullah, 40 dan mencederakan seorang orang kurang upaya (OKU) Faizul Awang, 33, yang kudung kaki kanan, pada 2015.

Zainal Azman hari ini telah menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas Zulkifli bagi kesalahan membunuh manakala hukuman penjara 14 tahun dari tarikh tangkap iaitu 7 Dis 2015 bagi kesalahan menyebabkan kecederaan setelah pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Dalam penghakiman kes tersebut, Zainal Azman berkata tertuduh tidak sepatutnya mengambil tindakan sendiri sebaliknya perlu menghubungi polis dan kemudiannya mahkamah akan bertanggungjawab menetapkan sebarang hukuman.

“Banyak berlaku di negara ini (kes sedemikian). Sesiapa juga jangan ambil alih kuasa polis dan mahkamah. Janganlah bila marah kita cepat ambil parang. Jangan sesekali kita ambil kuasa undang-undang,”
katanya.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di kawasan rumah tidak bernombor Jalan Kemaman-Dungun, Kampung Labohan Kerteh, Kemaman, kira-kira 10.30 pagi 7 Dis 2015.

Sebelum menjatuhi hukuman, Zainal Azman berkata berdasarkan keterangan 24 saksi pendakwaan dan tertuduh sendiri yang dipanggil membela diri serta hujah kedua-dua pihak, beliau mendapati tertuduh bukanlah mangsa dalam kes tersebut meskipun timbul dakwaan kedua-dua mangsa cuba merompak beliau.

Katanya Zulkifli telah menyerang kedua-dua mangsa yang sedang mencari besi buruk di kawasan sekitar tempat kejadian dan sekiranya tertuduh benar-benar terancam, sepatutnya telah bertindak menghubungi polis kerana mempunyai telefon bimbit ataupun meminta bantuan daripada orang ramai kerana rumahnya hampir dengan jalan raya.

“Tertuduh yang tiba di tempat kejadian telah datang dari arah belakang dan menikam dada kanan Faizul dan kemudiannya meluru dan menikam dada si mati (Zulkefle). Si mati cuba melarikan diri tetapi tertuduh bukan setakat mengejar mangsa sehingga 70 meter dengan parang tetapi tidak membenarkan rakannya (Faizul) membantu si mati.

“Saksi juga menyatakan si mati sempat merayu sambil mengangkat kedua-dua tangannya supaya tertuduh berhenti mencederakannya tetapi tidak dihiraukan,”
katanya.

Zainal Azman juga berkata mahkamah mendapati tikaman yang dibuat ke atas si mati dan juga mangsa kedua bukanlah sesuatu perbuatan yang tidak disengajakan ekoran mempertahan diri tetapi sebaliknya kerana tiada sebarang pergelutan dan provokasi berlaku sebelum tikaman dibuat dan kecederaan yang dialami juga adalah serius.

Pendakwaan telah dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud dan Syazwani Zawawi manakala tertuduh diwakili peguam Azizul Shariman Mat Yusoff dan Ariff Azami Hussein.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...