Pada 7 April, TMJ memberikan pandangan peribadinya bahawanya Bangsa Johor dicadangkan untuk terus kekalkan pentadbiran Barisan Nasional dan memperbaiki kerosakan parti itu dari dalam.
Bagaimanapun kenyataan TMJ itu kemudiannya dikritik oleh ramai netizens dan akibatnya PDRM telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat komen-komen jelek netizens terhadap Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
Dalam kenyataan itu TMJ turut memperkatakan insiden yang membabitkan Prebet Adam.
"Begitu juga dengan kisah Prebet Adam dimana Almarhum Sultan Iskandar iaitu datuk saya yang tidak ada peluang untuk mempertegakkan diri kerana ketika zaman itu tiada kemudahan internet, semua media dikawal oleh kerajaan.
Media mengeluarkan kenyataan kononnya prebet Adam mengamuk apabila mendapat tahu adik beliau dibunuh oleh Sultan Johor ketika itu. Sedangkan Prebet Adam tiada adik lelaki dan hanya ada adik perempuan yang meninggal dunia ketika berumur 2 tahun dalam tragedi rumah terbakar. Saya juga ada berjumpa dengan seorang individu berasal dari Kedah pada tahun lepas. Beliau yang bercerita kepada saya yang beliau berjumpa dengan Prebet Adam dan Prebet Adam menceritakan bagaimana dia dipaksa sepanjang 10 hari di dalam bilik sel yang gelap oleh anggota polis untuk mengaku yang Sultan Johor membunuh adiknya. Inilah yang sanggup dilakukan oleh kepimpinan tertinggi kerajaan ketika itu demi mendapatkan kuasa sepenuhya di dalam negara," kata Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim pada sabtu.
Tahun lepas penulis dan juga bekas wartawan yang pernah berkhidmat di Berita Harian, A.Syahril Kadir menghasilkan buku yang bertajuk Konfesi Prebet Adam yang mana ia adalah mengenai kisah benar tentang insiden Prebet Adam yang mengamuk di Chowkit pada 31 tahun yang lepas.
Penulis itu mengakui berjumpa sendiri dengan Prebet Adam yang berada di Pulau Pinang bagi mendapatkan cerita sebenar tentang apa yang terjadi pada tahun 1987.
Ketika itu (tahun 2017), Adam dikhabarkan seorang gelandangan yang disisihkan masyarakat dan keluarga.
Adam juga mengakui beliau melihat sendiri kematian adiknya namun bukan kerana dibunuh oleh Sultan Johor sebaliknya kerana ditimpa sisa kebakaran ketika rumah keluarga mereka terbakar pada tahun 1975.
Baca sini : Kisah Benar Prebet Adam Yang Ramai Pihak Tidak Tahu!
Dan di laman sosial pula, surat akuan bersumpah Prebet Adam ditularkan bagi menyokong kenyataan TMJ sebelum ini.
Portal Free Malaysia Today hari ini turut melaporkan kenyataan ahli keluarga Prebet Adam, Hawa Jaafar yang menafikan dakwaan kononnya Adam mengamuk kerana Sultan Johor membunuh adiknya.
Adam katanya mengamuk selepas tertekan dengan penderaan mental dan seksual yang menyeksa dirinya secara fizikal dan emosi ketika itu.
Hawa dalam kenyataan itu juga meminta maaf kepada Sultan Johor dan mahu semua pihak berhenti menyebarkan cerita fitnah itu lagi.
Katanya, keluarga mereka tidak dibayar bagi menutup cerita sebenar kerana sememangnya adik mereka tidak pernah dibunuh oleh Sultan Johor.
Malahan mereka hidup secara serdahana dan tinggal di flat. Hawa juga katanya merasa malu kerana terpaksa mendedahkan abangnya, Adam seorang penagih dadah dan pernah masuk penjara kerana terlibat dalam kesalahan dadah apabila isu amuk Chowkit kembali diperkatakan masyarakat. - 12 April 2018.