Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 14 April 2018

Shahrizat Kata Bertanding Di Parlimen Bandar Tun Razak Hanya Cerita Spekulasi.

Oleh : Berita Harian

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, belum menerima arahan daripada kepemimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Malah, Shahrizat melahirkan rasa terkejut dengan khabar angin yang bertiup, menyatakan beliau bakal calon kawasan itu yang secara tradisinya ditandingi oleh wakil daripada MCA.




Katanya, beliau beranggapan desas desus itu sebagai hanya satu spekulasi politik semata-mata menjelang PRU-14 pada 9 Mei ini.

"Spekulasi. Serius (betul). Saya akan maklumkan kalau sudah dapat berita (makluman) mengenainya (pencalonan Parlimen Bandar Tun Razak," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (sms) kepada NSTP, hari ini.

Beliau mengulas laporan portal tempatan yang mendakwa calon UMNO akan diletakkan di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak namun ia bukan Ketua UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.

Portal itu memetik sumber mendakwa BN dijangka mencalonkan Shahrizat, dan disahkan beberapa sumber UMNO, termasuk dari kepemimpinan pusat.

Pada PRU lalu, kerusi Parlimen Bandar Tun Razak ditandingi wakil MCA tetapi dipercayai akan berlaku pertukaran kerusi di antara MCA dan UMNO pada PRU-14.

UMNO mahu meletakkan calonnya atas alasan mendapat sokongan baik masyarakat Melayu setempat, yang 50 peratus daripada jumlah pengundi kawasan itu.

Pada PRU-13, wakil MCA kalah kerusi Bandar Tun Razak kepada calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dengan majoriti 11,832 undi.

Abdul Khalid, 72, menjadi Ahli Parlimen bebas selepas keluar dari PKR dan difahamkan, enggan bertanding mempertahankan kedudukannya di situ pada PRU-14.

Sementara itu, Shahrizat adalah ahli UMNO Kepong yang menceburi arena politik pada 1982 sebagai Ketua Wanita UMNO Cawangan Kepong Baru.

Beliau dipinjamkan ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika PRU 1995.

Sejak itu, Shahrizat yang menjadi calon payung terjun, memenangi tiga penggal pilihan raya di Parlimen Lembah Pantai sekali gus, menyandang jawatan Ketua Wanita UMNO.

Pada 1995, beliau mengalahkan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas, yang mewakili Parti Semangat 46 dengan majoriti 13,361 undi.

Pada PRU 1999, Shahrizat menumbangkan calon PKR, Zainur Zakaria, dengan majoriti 1,417 undi dan menang besar pada PRU 2004 mengalahkan bekas Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Sanusi Osman, yang bertanding atas tiket PKR dengan majoriti 15,288 undi.

Bagaimanapun, Shahrizat kalah dengan majoriti 2,895 undi kepada Nurul Izzah Anwar (PKR) pada PRU 2008. Pada PRU-13, Shahrizat tidak bertanding di mana-mana kawasan

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...