Ahad, 25 Mac 2018

PAS Tak Relevan Lagi Diberi Peluang Tadbir Kelantan - Zulfahmie.

Oleh : Zulfahmie, Tumpat.
 

SAYA anak Kelantan. Saya dilahirkan di Tumpat kira-kira 54 tahun lalu. Semua sepak terajang yang berlaku dalam pentadbiran Kelantan, sama ada oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) mahupun Pas, saya tahu sedikit sebanyak.

Saya pernah merasai kehidupan di zaman Allahyarham Datuk Mohd Asri Muda. Saya juga pernah lalui kehidupan di zaman Allahyarham Datuk Mohamed Nasir. Kemudian bertukar kepada Allahyarham Tan Sri Mohamed Yaakob. Kemudian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan sekarang Datuk Ahmad Yakub.

Walaupun Kelantan sering bertukar kerajaan, namun dari segi pembangunan ada nampak perubahan sedikit demi sedikit. Dari zaman daif Allahyarham Datuk Mohd Asri sehingga zaman canggih dan maju di zaman Ahmad Yakub.

Semua perubahan itu boleh dikatakan berpunca daripada pembangunan yang dibawa masuk oleh kerajaan Pusat ke Kelantan, atas kerjasama baik yang ditunjukkan pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, saya agak terkilan apabila Pas mengambil alih Kelantan pada tahun 1990, negeri yang pada mulanya nampak ceria dan maju, bertukar menjadi mundur dan malap.

Pemerintahan Pas bawah Allahyarham Nik Abdul Aziz ketika itu nampak sangat ‘totok’ keislamannya. Beliau mula melakukan perubahan dasar dari perlembagaan kepada hukum. Perempuan bekerja dilarang bergincu ke pejabat. Qariah diharamkan menyertai tilawah al-Quran. Panggung wayang ditutup. Kaunter bayaran di pusat borong diasingkan lelaki dan perempuan.

Itu tak mengapalah, kita sebagai rakyat Kelantan boleh menerimanya, tetapi kalau semuanya dilakukan dalam jangkamasa pendek, ia merimaskan rakyat, terutama yang beragama Islam.

Nik Abdul Aziz pula menunjukkan sikap anti yang tebal kepada kerajaan Persekutuan. Apa saja yang kerajaan Persekutuan buat, semuanya tak kena. Dikritik dan dicaci makinya sehingga kerajaan Persekutuan terguris hati.

Saya sebagai rakyat yang mengharapkan pembaharuan berlaku dalam kerajaan negeri yang baharu menunggu dan terus menunggu perubahan hidup. Namun, dari setahun ke setahun kerajaan Pas Kelantan makin galak berpolitik.

Kebajikan rakyat tidak terjaga. Keperluan rakyat tidak dipenuhi. Malah kebudayaan rakyat turut diharamkan, satu per satu sehingga pengisian yang selama ini menceriakan rakyat jadi kering dan kosong.

Kini, 28 tahun sudah berlalu, pentadbiran Kelantan masih juga lagi ditakuk lama. Alasan sama dari awal pemerintahannya di tahun 1990 sehingga hari ini, “Kami miskin, kami tak ada duit, kami zuhud” masih diguna pakai untuk mengelirukan rakyat.

Padahal, dalam “kemiskinan”, dalam “tak ada duit” dan dalam “kezuhudan”, hampir separuh bumi Kelantan yang sebelum ini penuh dan padat dengan balak sudah botak lagi gondol.

Di mana hasil yang diperolehi dari balak itu digunapakai? Rakyat tidak dapat merasakan, baik dalam bentuk prasarana atau kebajikan sosio ekonomi. Yang selalu dirasai oleh kami rakyat Kelantan ialah sumber dari kerajaan Persekutuan yang disalurkan melalui UMNO.

Pembangunan yang ada sekarang ini seperti Tesco, AEON Mall, hotel-hotel melebihi 10 tingkat itu adalah hasil usaha pemimpin UMNO yang berurusan dengan pelaburan di luar negara atau di peringkat pusat.

Nak mengharapkan kerajaan Pas Kelantan, tidak ada. Pemimpinnya tidak proaktif. Tahap pemikiran dan hujah masih seperti katak bawah tempurung. Bila Kelantan nak maju kalau kebanyakan pemimpinnya berlindung di balik agama?

Islam tidak menganjurkan apa yang kebanyakan pemimpin Pas Kelantan buat. Islam adalah agama yang mudah dan sesuai dengan fitrah manusia. Islam juga agama yang tidak sulit. Tetapi Pas menyulitkannya dengan pentadbiran yang kolot dan kuno.

Pada saya, sebagai anak Kelantan yang berjiwa pahlawan Tok Janggut. Eloklah dan tiba masanya kita tukar kerajaan pula. Cukuplah beri kepada Pas selama 28 tahun, tetapi mereka tidak pandai ambil peluang dan kesempatan itu untuk memajukan rakyat.

Pilihan raya umum sudah tidak lama lagi. Eloklah kita tukar.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...