Selasa, 27 Mac 2018

Mahathir Tak Layak Jadi PM Sebab Pemikirannya Tentang Islam Tersasar.

Oleh : Dr. Kamarul Yusoff

PEMIKIRAN ISLAM YANG TIDAK BETUL SEBAB TERBESAR TUN DR MAHATHIR TIDAK LAYAK JADI PERDANA MENTERI

Sebenarnya soal usia bukanlah penentu terbesar kemampuan untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi kerana Wacana Sinar Harian Ke-53, Apakah Tun M Terlalu Tua Untuk Jadi PM, yang saya menjadi panelisnya Khamis lalu hanya menghadkan perbincangan kepada usia Tun Dr Mahathir sahaja maka perkara lain yang lebih penting tidak dapat dibincangkan.



Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan menyebut “kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong...” manakala Perkara 43 (1) pula menyebut “Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri (yang dipengerusikan oleh seorang Perdana Menteri) untuk menasihatinya dalam penjalanan fungsinya”.

Di dalam Sumpah Jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong, Baginda melafazkan “Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam” manakala Perkara 3 (1) pula menyebut “Islam ialah agama bagi Persekutuan”.

Bagi membolehkan ikrar untuk “memeliharakan pada setiap masa Agama Islam” sekali gus bagi membolehkan peruntukan “Islam ialah agama bagi Persekutuan” ini dapat dilaksanakan, maka adalah wajib seorang Perdana Menteri mempunyai kefahaman Islam yang betul.

Berdasarkan rekod-rekod, ternyata Tun Dr Mahathir tidak mempunyai kefahaman Islam yang betul kerana, seperti disebut oleh Almarhum Datuk Dr Haron Din, pemikiran Islam beliau adalah pemikiran golongan 'muktazilah' yang “mengutamakan akal dalam tindakan mereka dan sanggup membelakangi ayat al-Qur'an, al-Hadith dan apatah lagi pandangan ulama'”.

Turut disebutkan oleh Almarhum betapa Tun Dr Mahathir, waktu masih menjadi Perdana Menteri, telah mempertikaikan hadith yang sahih bahawa Nabi Muhammad menyimpan janggut di mana perkara ini, mengikut Almarhum, “boleh menjejaskan aqidah”, di samping boleh menyebabkan “ramai orang lain yang akan turut sesat sama” bila dikeluarkan.

Sikap Tun Dr Mahathir mempertikaikan hadith terpancar di dalam banyak ucapan dan kenyataan beliau, malah telah diakui sendiri oleh Dr Kassim Ahmad di dalam buku “Mencari Jalan Pulang” yang menulis betapa buku anti-hadith, “Hadis – Satu Penilaian Semula”, yang telah diharamkan telah diberikan sokongan peribadi dan disemak oleh Tun Dr Mahathir.

Persamaan antara Tun Dr Mahathir dan Dr Kassim dalam mempertikaikan hadith ini turut didedahkan oleh Datuk Mohd Nakhaei Ahmad di dalam buku “Meniti Hari Menuju Senja” yang menyebut betapa, berdasarkan satu perbincangan mereka, Datuk Mohd Nakhaei mendapati “kemusykilannya menyamai apa yang difahami oleh (Dr) Kasim Ahmad”.

Penolakan Tun Dr Mahathir terhadap undang-undang Islam, khususnya hudud, telah menjadi satu rekod umum, malah selepas beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri pun penentangan beliau ini berterusan dengan menyebut di UNIMAS, Sarawak, pada 26 Februari 2012 bahawa “hukum hudud ini dibentuk oleh ahli-ahli feqah” dan “tidak terdapat dalam al-Qur’an”.

Lebih baru ialah kenyataan Tun Dr Mahathir yang disiarkan dengan agak meluas oleh portal-portal berita tempatan pada 19 Februari 2017 yang menolak hukuman sebat 100 kali dalam Islam dengan berkata “ini nak sebat orang sampai 100 kali, mati, kalau sebat 100 kali” di mana ini “ini bukan cara Islam, cara Islam ialah cara yang adil dan bertimbang-rasa”.

Disebabkan tiadanya kefahaman Islam yang betul inilah maka Tun Dr Mahathir, melebihi faktor usia beliau, sangat tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri kerana ia tidak akan membolehkan ikrar untuk “memeliharakan pada setiap masa Agama Islam” sekali gus bagi membolehkan peruntukan “Islam ialah agama bagi Persekutuan” dapat dilaksanakan.

Gambaran terhadap apa yang boleh berlaku malah telah jelas kelihatan di dalam Manifesto Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 yang langsung tidak menyebut sebarang komitmen untuk memartabatkan Islam sebagai agenda di dalam mana-mana satu daripada lima terasnya, mana-mana satu daripada 60 janjinya mahupun mana-mana satu daripada lima iltizam khususnya.

Dan ini jauh berbeza daripada Firman Allah di dalam Ayat 41 Surat Al-Hajj yang bermaksud: “Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...