Jumaat, 30 Mac 2018

RORA, MAZA Nasihat Hanipa Maidin Tarik Balik Kenyataan "Kalau Saya Tuhan"..

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin digesa untuk menarik semula kenyataannya di dalam Parlimen yang mengatakan andai beliau ialah Tuhan beliau tidak akan mewujudkan Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Beliau menjawab kepada provokasi Datuk Abdul Azeez yang berterusan mencelah perbahasannya di Parlimen pada semalam yang ketika itu sedang membahaskan RUU Anti Berita Palsu 2018. 

  "Kamu tu Tuhan ke yang boleh tahu menang kalah," tempelak Datuk Abdul Azeez yang sebelum ini bertalu-talu mengatakan YB Hanipa Maidin sebagai riak, takbur dan menyeru agar Sepang bertaubat dengan segera.

Membalas kenyataan itu, YB Hanipa Maidin kemudiannya menjawab, "Kalau saya Tuhan dari awal saya tak jadikan kamu, menyusahkan orang sahaja. Sudah lama saya hapuskan kamu. Sebab saya tak Tuhan, Tuhan jadikan juga orang macam kamu, supaya orang lain nampak inilah orang yang patut dilawan. Nasib baik saya bukan Tuhan," katanya. 

Kenyataan oleh Ahli Parlimen Sepang itu kemudiannya mendapat perhatian ramai pihak termasuklah Mufti Perlis, Ustaz Asri Zainal Abidin (MAZA) dan Pakar Hadis, Ustaz Rozaimi Ramlee. 


Menurut Ustaz Rozaimi, Hanipa Maidin perlu menarik balik kenyataannya dan bertaubat.

"Perkataan "Jika saya Tuhan.." dalam perdebatan untuk merendahkan seseorang adalah suatu kesalahan besar kerana ia secara tidak langsung menafikan hikmah Allah dalam penciptaan makhlukNya. 

Penuturnya perlu menarik kembali kata-katanya dan bertaubat. Tidak perlu ego. Bertaubat itu sifat baik bagi mukmin," katanya dalam satu kenyataan ringkas di Facebook beliau hari ini.


Manakala MAZA pula menulis, kenyataan itu seakan merendahkan penciptaan Tuhan seolahnya apa yang dilakukan oleh Tuhan tidak tepat dan perkara itu sangat bahaya kepada akidah.

"Seorang muslim hendaklah berhati-hati dalam ungkapannya yang berkaitan ketuhanan. Tidak boleh seseorang muslim berkata: "Jika awak Tuhan..." atau "Jika saya Tuhan.. " melainkan diikuti dengan ungkapan yang menunjukkan keagungan Tuhan. 

Ini seperti "Jika awak Tuhan tak mungkin awak berjalan macam manusia". Namun, jika dia mengungkap "jika saya Tuhan saya akan lakukan begini... " atau "jika saya Tuhan, saya tidak akan lakukan begitu atau begitu...", maka itu secara langsung dan tidak langsung merendah penciptaan Tuhan dan menafikan hikmah ciptaanNYA," jelas MAZA dalam satu kenyataan. 

MAZA juga menyeru pihak tersebut untuk bertaubat kerana mengeluarkan kenyataan seumpamanya.


"Seakan apa yang Tuhan lakukan tidak tepat ataupun salah ataupun di sana ada cara yang lebih baik. Ini sangat bahaya kepada akidah yang mengungkapnya jika dia sedar apa yang diucapkan. Hendaklah dia bertaubat dari ucapan itu. Tuhan mempunyai hikmat atas segala penciptaanNYA. 

DIA juga akan mengadili segala kejadian dan peristiwa di dunia. Kerosakan dunia ini disebabkan tangan manusia bukan kerana kesilapan ciptaan Tuhan. Kita beriman segala yang Tuhan ciptakan ada rahsia zahir dan batin dan DIA Allah Maha Mengetahui segala yang zahir dan yang batin," tambah MAZA lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, YB Hanipa Maidin menegaskan yang beliau sama sekali tidak akan menarik semula kenyataannya itu dan mengakui beliau sedar dan faham tentang implikasi dari kenyataan tersebut. - 30 Mac 2018. 

Rakaman video ;
 

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...