Isnin, 2 Oktober 2017

Bekas Pegawai Kanan Kerajaan Nafi Masuk PAS.

Semalam Harakah Daily melaporkan dua bekas pegawai kanan kerajaan menyertai PAS.
Mereka iaitu bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jafar dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Abdul Rahim Che Daud. 
Laporan itu mendakwa Harakah Daily menjawab desas desus mengenai kejutan yang diumumkan oleh Nasruddin Hassan sebelum ini.
“Kita ada beberapa kejutan yang saya akan maklumkan seminggu sebelum Fastaqim 2.0.
"Apa yang paling penting ia menjadi medan dua peringkat iaitu akar umbi parti, pemimpin peringkat negeri dan penyokong PAS.
“Peringkat kedua pula iaitu sokongan orang ramai dari NGO, rakan yang lain, individu beri sokongan padu yang akan memenangkan Gagasan Sejahtera pada PRU nanti," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur pada 5 September lepas.
Namun tiada apa-apa pengumuman mengejutkan dibuat oleh pemimpin berkenaan seminggu sebelum Fastaqim 2.0 berlangsung mahupun ketika pada malam kemuncak Fastaqim 2.0 yang baru berlalu. Perkara itu kemudiannya menjadi bahan sindiran kepada Ketua Penerangan PAS itu di laman sosial.
Malaysiakini pada malam tadi pula melaporkan Zakaria menafikan beliau menyertai politik sebaliknya hanya menyokong usaha PAS "memperjuangkan isu rasuah".
"Saya bukannya masuk politik. Mungkin ada salah faham di sini.
"Saya boleh bekerjasama dengan semua pihak yang mempunyai komitmen untuk membanteras rasuah. Saya tidak menyertai PAS," katanya.
Menjelaskan keadaan itu Nasrudin yang juga ketua penerangan PAS mempertahankan Harakahdaily.
"Ya, laporan Harakahdaily tu betul," katanya.
Mengulangi kenyataan dibuatnya pada sidang media di Pantai Tok Jembal selepas Fastaqim 2.0 berakhir malam tadi Nasrudin berkata istlah "sertai PAS" itu tidak semestinya menjadi ahli parti.
“Dia masuk menyertai PAS di situ, bermakna bersama memperjuangkan PAS untuk menentang rasuah, berjuang untuk Islam dan sebagainya. Itu maksudnya. Dia bukan menjadi ahli," katanya.
Menurut anggota parlimen Temerloh itu menyertai dan bersama PAS mempunyai "banyak kategori".

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...