Rabu, 8 Mac 2017

Kenapa Malaysia Yang Dipilih Sebagai Lokasi Pembunuhan Kim Jong Nam?

Oleh : Utusan Malaysia

Kes pembunuhan Kim Jong-nam meninggalkan miste­ri­ yang belum terungkai se­takat ini selepas kaedah untuk membunuhnya dikatakan tidak seperti modus operandi biasa yang digunakan oleh rejim Korea Utara. 


Menurut portal Taiwan, thenewslens.com, ini kerana dua pembunuh wanita yang dituduh membunuh abang pemimpin ter­tinggi Korea Utara tersebut bukanlah warga negara terbabit, se­baliknya rakyat Indonesia dan Vietnam yang tidak mempunyai latar belakang atau pengalaman dalam kerja-kerja perisikan. 

Selain itu, menurut artikel bertajuk Kenapa pembunuhan Jong-nam berlaku di Malaysia? itu, banyak lagi persoalan yang timbul ekoran kematian lelaki terbabit. 

Antaranya portal itu membangkitkan, mengapa beliau kerap berulang alik ke Malaysia tanpa diiringi pengawal peribadi dan akhirnya mati dalam perjalanan kali ini? 

Menurut sumber portal itu, Jong-nam sering ke negara ini se­jak­ tahun 2010 kerana Duta Besar Korea Utara ke Malaysia sebelum ini, Jang Yong Chol merupakan saudaranya. 

Tetapi, jika dilihat pada sejarah dan rekod, Jong-nam sepatutnya menjauhkan diri dari negara ini selepas Yong Chol dan keluarga­nya dihukum bunuh di Pyongyang pada Disember 2013 atas alasan operasi pembersihan Korea Utara. 

Apa yang orang ramai sama ada penduduk luar atau Malaysia sendiri tidak ketahui kata thenewslens.com ialah tentang keha­diran ramai rakyat Korea – sama ada Korea Selatan atau Korea Uta­ra – di negara ini. 

“Dianggarkan hampir 20,000 penduduk Korea tinggal di Malaysia dengan sebilangan besar daripada mereka merupakan rakyat Korea Selatan. 

“Malah, kehadiran ramai penduduk Korea boleh dibuktikan dengan wujudnya dua ‘bandar Korea’ di Kuala Lumpur iaitu Ampang serta Mont Kiara – kawasan yang turut menjadi tumpuan rakyat Korea Utara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

“Selain itu, terdapat juga pe­nerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Pyongyang menerusi sya­rikat penerbangan rasmi Kore­a Utara iaitu Air Koryo dengan menggunakan pesawat jet lama Rusia,” menurut laporan portal berkenaan. 

Sementara itu, lapor artikel itu, banyak pihak tidak tahu bahawa terdapat rakyat Korea Utara yang bekerja dalam sektor perlombongan di Sarawak hasil perjanjian khas antara Pyongyang dan Kuching. 

“Apa yang luar biasa mengenai perjanjian ini ialah rakyat Korea Utara hanya boleh bekerja di syarikat perlombongan tertentu di Sarawak dan tidak dibenarkan bekerja di tempat-tempat lain di negara ini,” kata portal berkenaan. 

Dalam pada itu, artikel tersebut turut mendakwa Malaysia sentiasa menjadi destinasi pilihan bagi perlindungan tidak rasmi sama ada sebagai transit atau tempat berehat serta rekreasi bagi ahli politik dari seluruh pelosok dunia yang dibuang negeri malah ramai daripada mereka sebenarnya turut menjadi buruan kerajaan ma­sing-masing. 

 Perkara ini boleh dibuktikan dengan kehadiran pelarian kumpulan pemberontak Parti Rakyat Brunei sekitar tahun 1960-an, ahli keluarga diraja Kemboja yang menetap di Kuala Lumpur semasa zaman pemerintahan Khmer Rouge dan tempat perlindungan beberapa pemimpin Maldives sewaktu era 1990-an. 

“Daripada semua kenyataan di atas, maka kita tidak perlu berasa terkejut bahawa pembunuhan politik boleh berlaku di negara ini dan perkara ini boleh berulang. 

“Jong-nam mampu keluar ma­suk ke negara ini kerana Malaysia mempunyai sejarah panjang yang menyaksikan bagaimana buangan politik dari negara lain bebas mencari perlindungan di Malaysia. 

“Kita percaya selagi Malaysia memberi peluang kepada ahli politik dalam buangan untuk tinggal di sini, maka kita mungkin bakal me­nyaksikan perkara yang terjadi ke atas Jong-nam berulang. 

Apa yang pasti, kes seperti itu bukanlah yang pertama dan juga bukan yang terakhir,” kata portal itu.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...